Majlis pelancaran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 yang memasuki edisi ke-20 pada tahun ini diraikan bersama-sama penaja utama, PETRONAS, rakan-rakan korporat, pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba dengan pengenalan format baru perlumbaan khususnya bagi kategori CP115 di Kuala Lumpur, hari ini.
Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) memperkenalkan peraturan baru ‘Shoot Out’ bagi menentukan grid pelumba di dalam saingan kelas perlumbaan CP115, menggantikan pusingan saringan yang diguna pakai pada tahun-tahun terdahulu.
Format ini menyaksikan 10 pelumba terbaik pada sesi ujian masa secara automatik akan layak ke pusingan ‘Shoot Out’ dan akan bersaing bagi menentukan grid permulaan untuk perlumbaan akhir.
Berbeza dengan sesi Superpole yang digunakan di dalam kategori CP130 di mana pelumba akan keluar ke litar bersendirian, 10 pelumba ini akan bersaing secara serentak untuk mendapatkan catatan masa terpantas manakala baki pelumba lain akan ditentukan grid mereka berdasarkan catatan terpantas sesi ujian masa.
Selain itu, antara perubahan lain yang turut diperkenalkan ialah peningkatan jumlah pusingan perlumbaan akhir bagi tiga kelas terbuka di mana kategori CP130 kini menjadi 18 pusingan berbanding 15 pusingan, kategori CP115 ditambah kepada 15 pusingan berbanding 12 pusingan dan pertambahan dua pusingan di dalam kategori Wira menjadikan 12 pusingan keseluruhan.
“Melihat keputusan positif selepas memperkenalkan Superpole, kali ini kita memperkenalkan pula ‘Shoot-Out’. Tujuannya adalah untuk melihat setiap pasukan dan pelumba lebih giat mempersiapkan jentera dan lebih bersedia pada sepanjang minggu perlumbaan. Pada masa sama, pelumba-pelumba juga dapat melakukan catatan masa terpantas mereka di dalam kelompok yang lebih kecil. Sama seperti Superpole, kami percaya format baru ini pasti memberi lebih debaran dan keseronokan kepada peminat-peminat yang hadir di venue perlumbaan,” kata Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg.
Bercakap tentang harapannya menjelang pusingan pembukaan Cub Prix yang akan berlangsung di Batu Kawan pada 6 dan 7 April ini, Ron berkata, “Musim 2013 akan menjadi musim yang sangat menarik kerana empat pengeluar motosikal di Malaysia, Honda, Yamaha, Suzuki dan Modenas mengambil bahagian –satu perkembangan baik buat industri permotoran negara,” jelasnya.
“Selain itu, kita dapat melihat ramai pelumba baru, khususnya di dalam perlumbaan satu pengeluar yang diterajui oleh Honda, Yamaha dan Suzuki. Sambutan yang diterima terhadap setiap pengeluar oleh remaja-remaja yang ingin menceburkan diri dalam Kejuaraan ini cukup menggalakkan di mana kami menerima lebih 500 permohonan bagi mengisi 60 slot yang disediakan.
“Seperti kebiasaanya, saingan untuk memburu takhta Kejuaraan pastinya semakin sengit dan musim 2013 ini akan cukup mencabar dan sukar untuk diramalkan,” jelas Ron.
Di luar litar, pihak penganjur Cub Prix mengadakan kerjasama dengan pihak kerajaan bagi mendidik orang awam terutama remaja tentang dunia perlumbaan motosikal dan pada masa sama mendedahkan mereka dengan kesedaran dan keselamatan di jalan raya melalui program Klinik Perlumbaan Cub Prix yang akan dilangsungkan di semua venue perlumbaan tahun ini.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Motorsports, Pn. Anita Azrina Abdul Aziz memuji semua pihak yang terlibat dengan Kejuaraan ini sehingga menjadikan ia sebagai acara sukan yang cukup berprestij pada hari ini.
“Bagi kami di PETRONAS, jalinan kerjasama dengan Cub Prix ini sangat-sangat kami hargai. Kejuaraan ini berkembang menjadi satu penanda aras di dalam industri perlumbaan motosikal negara dan kepada semua yang terlibat, penaja-penaja, pasukan dan pelumba pastinya turut berbangga dengan pencapaian ini. Semoga ia akan terus berkembang dan juga mudah-mudahan kita dapat lihat juara dunia dari Malaysia akan dilahirkan dalam sedikit masa lagi.”
Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diwww.malaysiancubprix.com
No comments:
Post a Comment