BMW Shorties edisi ke-13 dilancarkan

BMW Group Malaysia mengumumkan penganjuran acara BMW Shorties edisi ke-13. BMW Shorties merupakan  sebuah pertandingan filem pendek yang paling berprestij dengan yang paling lama dianjurkan di Malaysia.

“BMW Shorties telah menemui lebih daripada 900 bakat untuk filem dan industri kandungan digital sejak 12 tahun yang lalu. Sebagai pertandingan filem pendek yang paling tersohor dan diiktiraf di Malaysia, BMW Shorties akan meneruskan ikhtiarnya untuk menyediakan wadah bagi para pembikin filem dan kandungan digital yang ingin menempah nama mereka dengan menterjemahkan kreativiti masing-masing sekali lagi pada tahun ini," ujar  Ketua Komunikasi Korporat, BMW Group Malaysia, Sashi Ambi.
Juara 2018 - Colourless
"Kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pencapaian yang digarap oleh para alumni yang dilahirkan oleh BMW Shorties sejak tahun 2006. Dengan nukilan yang berjaya ke layar lebar seperti ‘Jagat’ oleh Shanjey Kumar, ‘Guang’ oleh Quek Shio Chuan, dan ‘Fly By Night’ oleh Zahir Omar, kami berasa teruja untuk menyaksikan bakat-bakat baharu daripada BMW Shorties 2019,”

Tema bagi BMW Shorties edisi ke-13 ialah ‘UNCHARTED’. Meraikan konsep penerokaan dan penjelajahan, ia melambangkan sebuah kombinasi sempurna – sifat ingin tahu serta kecekalan.
Never Was The Shade - Juara 2017

Barisan para juri buat tahun ini terdiri daripada pembikin-pembikin filem dan veteran yang teriktiraf dalam industri perfileman tanah air. Juri-juri tersebut ialah: Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang dan Rise: Ini Kalilah); Indrani Kopal (The Game Changer dan Incarcerated Rhythm), Amanda Nell Eu (Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu), serta panel penasihat bagi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) – Nadira Ilana (The Silent Riot) dan Adrian Teh (Ice Kacang Puppy Love dan PASKAL The Movie).

BMW Shorties 2019 akan menghadiahkan pemenang utama sebuah geran produksi yang bernilai RM 80,000. Pelbagai faset pembikinan filem yang lain juga akan diiktiraf melalui kategori penganugerahan seperti: Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Terbaik, Rekaan Bunyi Terbaik, Anugerah Pilihan Popular serta kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini, Anugerah Pelajar Terbaik.

Acara BMW Shorties akan dibuka untuk menerima penyertaan bermula 8 Ogos 2019 sehingga 11 Oktober 2019 pada jam 6:00 petang untuk para pembikin filem serta kandungan digital yang beraspirasi menghantar penyertaan masing-masing.

Tahun ini, BMW Shorties juga akan menerajui segmen filem Urbanscapes - pesta seni kreatif yang paling lama di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai BMW Shorties dan cara untuk menyertainya, boleh didapati di laman web rasmi BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my atau laman Facebook rasmi BMW Shorties di www.facebook.com/bmwshorties serta laman Instagram di www.instagram.com/bmwshorties.



No comments: