Kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela percuma dari PUSPAKOM

Menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) akan menganjurkan Kempen #drivesafenoregrets Pemeriksaan Kenderaan Sukarela secara percuma bagi pemilik kenderaan persendirian akan bermula pada 25 Januari hingga 4 Februari 2019, dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di semua cawangan PUSPAKOM di seluruh negara, kecuali Shah Alam, Lahad Datu dan Pasir Gudang.
Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM juga akan menawarkan pemeriksaan percuma di lokasi berikut dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Orang ramai digalakkan untuk memeriksa kenderaan mereka secara percuma sempena kempen ini:

Tarikh & Lokasi
25-27 Januari 2019 
Shell Jelutong
SH Jelutong Expressway (Milyar Mutiara Enterprise, Jalan Perusahaan Jelutong, Tun Dr. Lim Chong Eu Highway, 11600 George Town, Malaysia)
28-29 Januari 2019
Dataran Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor
29-31 Januari 2019
Shell Ipoh
SH NTI Jalan Tasek (SSS ENERGY RESOURCES, PT251113, Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh, Perak)
1-2 Februari 2019
Parkir Tesco Extra, Selayang


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail, kempen #drivesafenoregrets ini merupakan salah satu komitmen dan tanggungjawab korporat PUSPAKOM dalam usaha
meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap aspek keselamatan kenderaan bagi memastikan keselamatan jalan raya ketika musim perayaan.
“Kami berasa gembira kerana ribuan pemilik kenderaan persendirian mengambil peluang ini setiap kali pemeriksaan percuma ditawarkan. Statistik kami menunjukkan kempen pemeriksaan percuma sempena musim perayaan pada tahun 2018 mencatat sebanyak 4,270 buah kenderaan persendirian, iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus (50%) berbanding hanya 2,822 buah kenderaan pada 2017. Ternyata usaha yang dijalankan oleh PUSPAKOM berkesan dalam memupuk kesedaran keselamatan kenderaan dengan meningkatnya jumlah kenderaan yang diperiksa setiap tahun,” kata Shukor.
“Semua pemandu kenderaan perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan kenderaan mereka terjamin di jalan raya. Kami percaya kadar kemalangan dapat dikurangkan sekiranya setiap pemandu mengambil berat terhadap keselamatan kenderaan masing-masing,” ujar Shukor.
 Sempena kempen ini, PUSPAKOM juga menganjurkan pertandingan Instagram 'Snap & Win' dan pertandingan Facebook 'Share & Win', di mana pelanggan berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan seperti Huawei Y9 Smartphone, Lenovo Tab 7 Essential, Full HD 1080 DVR Dash Cam, Smart Watch dan juga Kad Touch’n Go PUSPAKOM Eksklusif bernilai RM88.

Semua kakitangan PUSPAKOM bersedia dan komited dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Pelanggan yang hadir menjalani pemeriksaan percuma ini akan diberi keutamaan tanpa perlu menunggu dan membuat sebarang temujanji, serta tidak memerlukan sebarang dokumen.
Pemeriksaan kenderaan sukarela ini merangkumi ujian pengeluaran asap, suspensi, gelincir sisi, bahagian atas dan bawah kenderaan, brek dan ketelusan cahaya cermin. Laporan pemeriksaan akan diserahkan kepada pelanggan sejurus selesai pemeriksaan dan boleh dijadikan sebagai rujukan bagi memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan dan pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen pemeriksaan percuma #drivesafenoregrets ini, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPAKOM 1-800-88-6927 atau layari
laman sesawang PUSPAKOM di www.puspakom.com.my atau Facebook rasmi PUSPAKOM.

No comments: