Nama OneXox TKKR Racing boleh dianggap baru dan masih hijau dalam lapangan sukan permotoran tempatan. Namun untuk musim 2018, mereka telah memperuntukkan sejumlah RM 3 Juta untuk menakluk saingan Cub Prix tempatan, tapi memasang impian untuk muncul pencabar terkuat dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
Antara langkah berani yang diambil pasukan ini adalah dengan mengambil 10 pelumba di bawah naungan mereka.Harus diamati bahawa nama nama yang dibawa masuk bukanlah calang calang, sebaliknya merupakan mereka yang mempunyai reputasi tersendiri baik di peringkat tempatan mahupun Asia.
Antara yang menarik perhatian adalah penglibatan bekas pelumba Moto3 negara, Amirul Hafiq Azmi yang disunting bagi membantu OneXox TKKR Racing dalam saingan peringkat Asia.
Selepas 2 tahun menyepi, bekas pelumba Moto3 negara itu kini dedia menggegar semula litar lumba apabila sah menjadi pelumba sepenuh masa The Komanz Kru Racing Team (TKKR) bagi kategori Supersport 600 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
Selepas episod kecederaan patah tulang rusuk pada tahun 2015 yang hampir memadamkan kariernya sebagai pelumba, Hafiq kini kelihatan bersemangat apabila bakal menjadi sandaran dalam kategori perdana, Supersport 600 cc dalam kancah ARRC. Selain Hafiq, dia akan ditemani lagi seorang lagi pelumba berbakat iaitu Muhammad Muzakkir Mohamed.
"Saya agak kecewa dengan nasib saya dulu, tapi kini saya bakal membuat penampilan dalam pentas Asia, ia ibarat menghidupkan kembali karier saya sebagai pelumba motorsikal profesional".
Hafiq menggalas cabaran untuk mencapai sasaran yang tinggi oleh prinsipal pasukan, Bobby Farid Shamsuddin yang mahukan pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke 5 keseluruhan. Ini merupakan penampilan pertama pasukan ini dalam saingan perlumbaan motosikal di peringkat Asia.
Selain Haziq, pasukan ini diperkuat dengan kehadiran pelumba senior Ahmad Fazli Sham Walat bagi mengharungi kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas musim ini.
Fazli punyai dua tugasan bersama pasukan, dalam saingan tempatan Cub Prix, dia akan bersaing dalam kategori perdana CP 150 manakala di pentas Asia ARRC, Fazli bakal membuat penampilan semula setelah berehat selama semusim dan bakal berikan cabaran dalam kategori Underbone 150.
"Saya memang menantikan saat ini, kerana bagi saya saingan di pentas Asia adalah yang paling mencabar, dan saya tak sabar nak buktikkan kemampuan saya bersama pasukan baru" ujar pelumba yang berasal dari Taiping, Perak ini.
Pasukan ini turut di mantapkan lagi dengan pelantikan Alizan Tambi bekas juara cubprix sebagai Pengurus Pasukan untuk Cub prix dan Syed Ahmad Nizam Syed Ahmad pula sebagai Pengurus Pasukan bagi ARRC. Mereka cukup berpengalaman dalam arena pemotoran negara bagi menempuh cabaran yang sangat kompetitif.
Pasukan yang baru ditubuhkan pada 2016 ino mahu mencipta sejarah bukan sahaja untuk menjadi pasukan persendirian pertama beraksi dalam saingan perdana Supersport 600cc ARRC, namun mahu buktikan bahawa tenaga tempatan yang menjadi pendokong belakang tadbir boleh menyediakan jentera mantap yang mampu mengegar persada lumba motosikal Asia.
No comments:
Post a Comment