Litar Banting cabaran baru pelumba cubprix





Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang berlangsung di Bandar Mahkota, Banting hujung minggu lepas cukup mencabar kemampuan para pelumba. Dengan jarak sepanjang 1,225 meter, reka bentuk litar ini memerlukan pelarasan motosikal yang tepat dan juga mendambakan kemahiran perlumbaan yang tinggi. Laluan lurus sepanjang 251 meter perlu dilalui para pelumba, selain lapan selekoh kiri dan tiga selekoh kanan.

Perlumbaan minggu lepas telah menobatkan Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong Motorsports) sebagai juara kategori Wira dan pencabar utama kelas CP115 2012, Mohd Iskandar Raduan (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) menguasai perlumbaan kelas pertengahan tersebut.

Dalam kelas premier CP130, Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kini menerajui kedudukan keseluruhan setelah menjuarai perlumbaan sebanyak 15 pusingan itu. Pelumba muda, Mohd Fitri Ashraf Razali (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) turut tampil dengan prestasi cemerlang bagi menduduki tempat kedua manakala pelumba veteran, Ahmad Fuad Baharudin (Faito Motobert Racing) sekali lagi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Zaqhwan yang masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan patah ibu jari tangan kanan selepas terjatuh sewaktu beraksi di pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini berkata, “Walaupun jari saya masih sakit dan saya terpaksa menanggungnya pada sepanjang perlumbaan namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk memburu kemenangan. Tambahan pula, saya tidak mahu mengecewakan seluruh pasukan yang telah menyediakan jentera yang cukup baik pada perlumbaan kali ini,” jelas Zaqhwan yang meraih kemenangan kedua selepas memenangi perlumbaan pembukaan di Baatu Kawan.

Mengekori Zaqhwan di kedudukan kedua dalam senarai keseluruhan ialah rakan sepasukan Mohd Fitri, Azlan Shah Kamaruzaman yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 dengan 60 mata manakala Ahmad Fuad ketiga, 54 mata.

Pasukan Faito Motobert Racing yang diwakili Ahmad Fuad dan Ahmad Fazrul Sham kekal di tangga teratas dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 100 mata diikuti Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 kedua, 92 mata. Pasukan Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan / Wan Mohd Hadri Wan Mukhtar) ketiga, 84 mata.


Menilai tentang litar Banting, juara bertahan CP130, Norizman Ismail dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing berkata, “Walaupun permukaan litar tidak begitu rata di beberapa bahagian, namun litar ini sangat mencabar dan menyeronokkan. Dengan jumlah 11 selekoh semuanya, litar ini sangat teknikal dan mencabar buat pelumba-pelumba elit juga. Selain itu laluan lurus yang panjang pula memerlukan mekanik melaraskan jentera dengan kelajuan maksimum dan juga kekuatan brek tinggi. Selama ini kami hanya beraksi di litar teknikal ataupun litar yang laju, jarang terdapat litar yang menggabungkan kedua-dua ciri tersebut.”


“Selain itu, walaupun dilihat kami mempunyai banyak ruang untuk memintas, namun sebenarnya ia agak sukar kerana litar ini agak sempit. Namun begitu, kebanyakan pelumba begitu gembira dengan perlumbaan minggu lepas. Semoga promoter Kejuaraan dapat memperkenalkan lebih banyak litar seperti ini pada musim hadapan,” kata pelumba 26 tahun itu.

Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas akan berlangsung di Teluk Intan pada 9 dan 10 Jun.
Keputusan Perlumbaan

CP130
Final
1.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 13'44.722s 2.Mohd Fitri Ashraf Razali (Honda) 13'49.409s 3.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 13'49.585s 4.Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 13'55.784s 5.Mohd Affendi Rosli (Honda) 13'56.433s

Kedudukan Keseluruhan
1.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 70 mata 2.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 60 mata 3.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 54 mata 4.Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 46 mata 5.Norizman Ismail (Honda) 36 mata

Anugerah Berpasukan
1. Faito Motobert Racing (Ahmad Fuad Baharudin/ Ahmad Fazrul Sham) 100 mata 2.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 (Azlan Shah Kamaruzaman/ Mohd Fitri Ashraf Razali) 92 mata 3.Pachie Yuzy Honda Racing (Mohd Zaqhwan Zaidi/ Wan Mohd Hadri Wan Mukhtar) 84 mata 4.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/ Mohd Affendi Rosli) 63 mata 5.Petronas Syntium Moto Yamaha AHM (Mohd Ramdan Mohd Rosli/ Zulsyafiz Rosli) 51 mata

No comments: