Perodua Myvi juarai segmen Aras Mula di Anugerah Malaysia Car of the Year


Perodua Myvi telah diumumkan sebagai pemenang dalam segmen Aras Mula (Entry-Level) di majlis Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2018 yang diadakan di Saujana Hotel Kuala Lumpur pada malam Selasa yang lalu.

Dianjurkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI), acara tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Ignatius Darell Leiking dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Dato’ Madani Sahari.
“Sejak dilancarkan pada November 2017, hampir 85,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga telah dijual di Malaysia, daripada 138,000 tempahan setakat ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, YBhg Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, yang naik ke pentas untuk menerima anugerah bagi pihak Perodua.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas kepercayaan dan sokongan mereka terhadap Myvi kami.

“Kami gembira dan dalam masa yang sama berasa rendah diri kerana kami telah berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan menawarkan sebuah kereta yang disukai dan memenuhi keperluan mereka. Kami akan mengambil ini sebagai motivasi untuk kami berkhidmat dengan lebih baik lagi,” tambah Datuk (Dr) Aminar.

Populariti Myvi dapat dilihat semasa di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18), di mana Myvi GT, kereta rekaan yang sporty, telah berjaya menarik perhatian ramai.

“Reaksi positif pengunjung terhadap Myvi GT menjadi satu kejutan buat kami. Jadi sekiranya anda terlepas peluang untuk melihatnya di KLIMS18, kami memberi satu lagi peluang untuk melihatnya di pameran International Automodified Kuala Lumpur (IAMKL) yang julung kali berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hujung minggu ini dari 8hb hingga 9hb Disember!” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, YBhg Dato’ Dr Zahari Husin.

Anugerah tahun lalu menyaksikan kemenangan Perodua Bezza dan Perodua Myvi masing-masing di bawah kategori Bawah-RM50,000 dan RM50,001-RM60,000 manakala Dato' Dr Zahari Husin telah dinobatkan sebagai Automotive Man of the Year.

Di Anugerah MCOTY 2016, Perodua Bezza memenangi kategori Aras Mula (Entry-Level), Pilihan Ramai (People's Choice) dan Reka Bentuk Paling Signifikan (Most Significant Design Achievement).

No comments: