Yusmanida Auto buka pusat 3S Perodua RM11 juta



Pusat 3S Perodua baharu telah dibuka secara rasmi di Saujana Utama, Sungai Buloh, bagi menyediakan keperluan jualan, perkhidmatan dan alat ganti kepada para pelanggan dan penduduk sekitarnya.

Pusat ini dimiliki Yusmanida Auto Sdn Bhd,
di atas tanah berkeluasan 45,000 kaki persegi; dan dikendalikan oleh sejumlah 65 pekerja termasuk 30 penasihat jualan dan 12 penasihat servis.
 Cawangan tersebut dibuka secara rasmi petang tadi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Haji Ahmad Maslan. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Dato’ Madani Sahari, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Dato’ Haji Amiruddin Setro, Presiden Perodua dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

"Yusmanida Auto telah menjadi wakil jualan sah Perodua sejak 2003 yang mana sebelum ini ianya mengendalikan cawangan jualan yang terletak di Jalan Meru, Klang," kata
Aminar.

"Sepanjang 15 tahun ini, Yusmanida Auto telah menjalinkan hubungan yang baik dengan Perodua berdasarkan kepercayaan dan hasrat yang seiring untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan kami," tambah Aminar.
 Pengarah Urusan Yusmanida Auto Sdn Bhd, Sarizal Yusman Yusoff berkata, pembinaan cawangan ini bermula pada Ogos 2016 dan ianya siap pada April 2017 seterusnya mula beroperasi pada September 2017.

"Kami amat gembira dan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan pengeluar kereta paling laris negara.

“Kami berharap dengan meluaskan skop perniagaan kami dengan memasukkan servis dan alat ganti di lokasi baru ini, kami dapat menawarkan Pengalaman Perodua (Perodua Experience) yang terbaik kepada para pelanggan kami, selari dengan inisiatif Transformasi 2.0 Perodua” kata Sarizal.
 "Keselesaan, kemudahan dan kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami. Pusat servis kami mampu menyelenggara enam buah kereta pada satu-satu masa dan ini meminimumkan tempoh menunggu. Para pelanggan boleh beristirehat di kawasan menunggu yang luas dan menarik yang mana terdapat tiga buah TV set, sebuah perpustakaan mini, tempat permainan kanak-kanak, mesin layan diri dan kemudahan membuat minuman," katanya.

“Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Perodua kerana sokongan dan bimbingan mereka dalam memperkasakan usahawan-usahawan seperti kami,” kata Sarizal.

Pusat 3S Perodua baharu Yusmanida Auto terletak di Wisma Yusmanida, Lot 28808, Persiaran E1/1, Seri Pristana, 47000 Saujana Utama, Sungai Buloh.

Perodua kini mempunyai 186 cawangan jualan dan 183 cawangan servis serta 24 cawangan ‘Body & Paint’ di seluruh Malaysia.

No comments: