Momos Pantera CX 135




Keseronokan sebuah motosikal serbaguna mungkin dapat dirasai dengan satu lagi model motosikal dari Mofaz Motosikal iaitu Momos Panthera CX 135. Jentera ini juga merupakan jentera seakan enduro yang menggunakan enjin satu selinder SOHC empat lejang sejukan udara dengan penyejuk minyak bersesaran 133.1 cc dengan nisbah mampatan 9.2:1, dilengkapi sistem nyalaan elektronik dan juga penghidup elektrik. Hantaran kuasa ke rantai pemacu disalurkan melalui kekotak gear empat kelajuan untuk mencapai kelajuan yang mencukupi untuk memotong kenderaan lain dengan agak cepat. Brek cakera hadapan nya yang digabungkan penggunaannya
dengan brek gelendung belakang menjanjikan kuasa pemberhentian yang cukup selesa dan selamat.

Berat 116kg
nya cukup selesa untuk kendalian mudah jentera ini, dan ia dilengkapi penyeraphentak belakang PDK dengan tangki simpanan (reservoir) yang mampu menangani ketidakseragaman jalanraya ataupun lopak kecil.

Dilengkapi tempat barangan hadapan dan belakang agar mudah menambat beg atau barangan, jentera ini sesuai digunakan untuk perjalanan meredah alam semulajadi, dengan kelegaan buminya sebanyak 220mm. Seperti abang abang enduro yang lain, pelindung tangan turut dipasang di hendalnya sebagai aksesori standard, dengan corak gentian karbon sama seperti pelindung kepanasan yang dipasang pada ekzosnya.

Paparan meter agak jelas dengan grafik terang dan merangkumi tolok bahanapi disamping maklumat kelajuan dan lampu isyarat yang lain.
Seperti jentera enduro lain, posisi duduk agak selesa untuk kawalan jentera yang baik, dan ianya tidak meletihkan jika terpaksa mengharungi kesesakan jalanraya di tengah bandar atau kota. Malah, kelegaan bumi yang tinggi mungkin mampu membantu untuk membolehkannya menggunakan simpanan jalan di tepi, atau menyeberang pembahagi jalan yang rendah. Sememangnya agak ramai juga pengguna motosikal yang gemarkan jentera berasaskan enduro sebagai alternatif praktikal di kota. Mungkin zaman kegemilangan enduro atau scrambler akan kembali bersinar seperti di awal 80an dulu. Jentera ini ditawarkan dengan harga atas jalan sebanyak RM5,647; satu lagi opsyen menarik untuk pilihan pengguna motosikal Malaysia, ataupun mungkin juga sebagai jentera pemula atau starter-bike bagi anak muda yang ingin berjinak dengan jentera klac mati.

No comments: