Perodua Alza kini berciri baharu bernilai lebih baik

Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) tujuh tempat duduk paling popular dan mampu milik di negara ini, Perodua Alza kini diperbaharui untuk tahun 2018 dengan berwajah baharu.

Ciri-ciri yang baharu dalam kesemua varian antaranya grafik panel instrumen dan kluster tengah yang direka semula, serta kunci kawalan jauh two-motion (tekan sekali untuk membuka pintu pemandu, tekan dua kali untuk membuka kesemua pintu).

Aliran penyaman udara ke barisan tempat duduk ketiga bertambah baik dengan adanya ciri baharu termasuk sirip tetap yang terletak di antara corong udara tengah hadapan serta penambahbaikan kepada sistem penyejatan dan saluran pertukaran haba.


Semua varian dilengkapi dengan lampu kabus depan, spoiler belakang, stereng kulit, filem tingkap keselamatan dan solar, sensor belakang dan aloi 15 inci dengan kemasan warna perak pada varian Standard dan titanium pada varian SE dan Advance.

Perodua Alza terbaharu didatangkan dalam varian Standard (MT), Standard (AT), SE (AT) dan Advance (AT) pada harga RM51,490 hingga RM62,690 (OTR tanpa insurans),  Kesemua varian dikuasakan dengan enjin 1.5 liter 3SZ-VE DVVT yang disambungkan kepada transmisi manual lima kelajuan pada Standard MT dan transmisi automatik empat kelajuan pada varian yang lain.

Varian Standard dan SE dilengkapi dengan sistem audio baharu dengan fungsi USB dan Bluetooth, manakala varian SE dan Advance kali ini tampil dengan lebih berani dan menonjol, dengan adanya bumper depan baharu, gril depan bar berkembar baharu dan skirt sisi baharu. Bumper belakang baharu dan garisan hiasan turut menghiasi sudut belakang kenderaan tersebut.
Ciri-ciri lain yang ada pada varian SE dan Advance adalah rekaan baharu tempat duduk kulit dan sensor sudut depan, manakala Advance secara eksklusif dilengkapi dengan monitor pasang siap di bumbung dan sistem multimedia dengan skrin sesentuh berasaskan Android dengan fungsi pintar (Smart Link), Bluetooth, navigasi dan kamera undur.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin berkata, "Perodua Alza terbaharu kami ini masih lagi menawarkan keselesaan, praktikaliti, fleksibiliti dan ruang yang cukup untuk tujuh orang – menjadikan ianya MPV yang digemari dan menjadi pilihan rakyat Malaysia selama hampir sedekad.”

"Dengan ruang simpanan yang banyak serta konfigurasi tempat duduk yang fleksibel, Alza terbaharu ini sesuai untuk aktiviti keluarga dan penggunaan harian seiring dengan kata jenamanya ‘Sehebat Anda,’” katanya, sambil menambah bahawa lebih daripada 344,200 unit Alza telah dijual sejak pengenalan model itu pada tahun 2009.

"Menyedari bahawa rakyat Malaysia lebih gemar mengubahsuai kenderaan mengikut keperibadian mereka, Perodua buat kali pertamanya akan memperkenalkan pelbagai aksesori GearUp yang unik untuk Perodua Alza baharu ini termasuk aksesori luaran, pembalut tempat duduk bercorak quilt dan pelindung matahari,” kata Dato' Dr Zahari.
Untuk ciri keselamatan, Perodua Alza baharu dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, ABS dengan Pengedaran Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (Brake Assist) dan poin ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di barisan tengah, memberikan model ini penarafan keselamatan empat bintang oleh ASEAN NCAP.
"Tempahan Perodua Alza baharu kini dibuka, yang mana ia akan menemui anda di  bilik pameran kami di seluruh negara secara berperingkat mulai 6hb September. Rasai pengalaman dengan memandu uji kenderaan kami dan penasihat jualan kami yang sah amat berbesar hati untuk membantu dan menjawab sebarang pertanyaan anda," kata Dato' Dr Zahari.
Perodua Alza baharu ditawarkan dengan waranti lima tahun/150,000km (yang mana terdahulu). Warna-warna yang terdapat pada Perodua Alza baharu adalah Granite Grey (warna baru dan eksklusif untuk varian SE dan Advance sahaja), Ivory White, Glittering Silver, Mystical Purple dan Electric Blue.

Perodua Alza Standard (MT)        RM51,490
Perodua Alza Standard (AT)        RM54,290
Perodua Alza SE (AT)            RM56,890
Perodua Alza Advance (AT)        RM62,690

Semua harga atas jalan (OTR) tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia









No comments: