Memandu ketika musim hujan dan banjir

Musim hujan yang dialami sekarang sudah tentunya menyukarkan pengguna jalanraya ketika ke tempat kerja saban hari. Hujan menyebabkan jalan basah dan kejadian banjir kilat kadangkala nya sudah tentu mengundang masalah. Air yang bertakung di jalanraya mampu menyebabkan kemalangan, samada disebabkan lubang yang tidak kelihatan atau oleh kerana jalan licin yang menyebabkan kenderaan anda sukar dikawal.

Selalulah mendapatkan berita terkini mengenai cuaca sekitar laluan yang akan anda gunakan. Amat penting bagi anda untuk menjangkakan hujan dan banjir, supaya anda boleh bersiap sedia menghadapi nya. Jika cuaca dijangkakan akan hujan amat lebat, anda dinasihatkan berhati hati apatah lagi jika menunggang motosikal, kerana ia nya mampu memberi kesan kepada kesihatan anda dan juga kepada motosikal. Tetapi jika anda mempunyai urusan yang sangat penting dan tidak boleh dielakkan sudah tentu penunggangan dalam hujan akan terpaksa juga dilalui.

Memandu dalam keadaan hujan lebat boleh mengurangkan jarak penglihatan dan air bertakung akan mendatangkan bahaya layangan air atau aqua-planing iaitu bilamana tayar menjadi terapung di atas lapisan air dan tidak lagi meencengkam jalan. Berhati hati ketika melalui kawasan air bertakung walaupun air tidak dalam, kerana stereng mungkin menjadi tidak responsif. Perlahankan kenderaan dan redah secara perlahan. Hanya pandu melalui air banjir jika anda tahu ia tidak terlalu dalam dan kekalkan kelajuan yang stabil, tetapi perlahan untuk mengelakkan mewujudkan gelombang air yang besar. Lubang pengambilan udara pada kebanyakan kereta adalah rendah di bahagian hadapan, dan hanya semangkuk air yang masuk ke dalam kebuk pembakaran anda sudah cukup untuk menghancurkan enjin. Ini adalah kerana air yang masuk kedalam enjin akan memampat, dan omboh atau piston seolah olah melanggar sesuatu yang padu, lalu membengkok atau mematahkan rod penyambung.

Jika enjin anda mati dalam hujan lebat, jangan biarkan bonet terbuka sementara anda menunggu bantuan tiba. Ini adalah untuk mengelakkan komponen elektrik menjadi basah dan enjin menjadi lebih sukar untuk dihidupkan.

Adalah tidak digalakkan untuk meredah kawasan berair yang melebihi sepertiga daripada ketinggian tayar anda. Bergantung kepda kelajuan redahan, air mungkin merecik ke dalam kawasan enjin dan membasahi bahagian dan komponen enjin di bawah bonet atau hud. Sekiranya meredah air yang tidak terlalu dalam sehingga menenggelamkan karburetor sekali pun, air yang merecik mungkin meresap ke dalam penutup palam pencucuh. Penutup ini mempunyai getah penebat , dan getah ini mungkin telah pecah atau keras dan menyebabkan air mampu masuk membasahi terminal palam pencucuh dan menyebabkan litar pintas. Ini menyebabkan palam pancucuh tidak menyala dan enjin akan mati. Periksa semua penebat getah pada kabel palam pencucuh dan pastikan semuanya masih berada dalam keadaan baik, dan sapukan bahan penebat (sealant) jika boleh supaya ianya kalis air. Percikan air juga mampu membasahi bahagian dalam penutup pengagih (distributor cap) dan turut menyebabkan litar pintas. Perkara yang sama juga sering terjadi jika kita tidak berhati hati sewaktu membasuh enjin kereta.

Elakkan meredah air ketika enjin agak panas terutamanya bagi kereta moden yang kebanyakan nya menggunakan komponen enjin daripada logam aloi. Meredah air dengan kenderaan ketika enjin dan komponen kereta agak panas juga lazimnya akan mendatangkan beberapa kerosakan, walaupun air tidak begitu dalam. Bergantung kepada tahap kepanasan bahagian enjin, penyejukkan enji yang mendadak mampu mengubah bentuk komponen yang panas dan merosakkan nya. Bahagiah rerumah atau housing luar mungkin akan berubah bentuk, dan menyebabkan posisi tapak bagi pelbagai komponen tidak lagi selari walaupun amat sedikit. Ini masih mampu memberikan kesan buruk kepada operasi enjin.

Sekiranya anda mengesyaki kereta anda telah ditengelami air, elakkan dari teruscuba menghidupkan kereta anda kerana ini mampu menyebabkan lebih banyak kerosakan lagi. Anda boleh memastikan samada kereta itu telah tenggelam dengan memeriksa samada kerusi atau permaidani telah basah atau terdapan kesan garis air atau selut.

Enjin yang telah dimasuki air perlu dibersihkan secara menyeluruh. Minyap pelincir harus ditukar baru, dan buka kesemua palam pencucuh untuk membantu mengeringkan ruang pembakaran dengan memutarkan enjin bagi mengeluarkan air terkumpul. Sehiranya minyak pelincir yang telah ditukar itu menjadi putih selepas beberapa kali enjin diputar, ia mungkin telah bercampur baki air di dalam enjin, dan perlu diganti sekali lagi. Kesemua ini melibatkan proses yang agak rumit dan lazimnya memerlukan khidmat pakar, terutama sekali pencucian karburetor atau badab pendikit penyuntik bahanapi.
Periksa penapis udara pada enjin anda. Jika penapis didapati basah, jangan cuba menghidupkan kereta. Jika kereta anda tidak diinsuranskan bagi perlindungan bencana alam (yang tentunya memerlukan bayaran tambahan kepada perlindungan insurans biasa anda), tentunya anda perlu bantuan profesional untuk mengeringkan kereta anda dengan kipas kuasa tinggi. Tidak kira apa yang anda lakukan, anda akan menghadapi risiko untuk mengalami masalah kulat yang teruk. Kipas kegunaan rumah tidak akan mampu mengeringkan kereta anda sepenuhnya. Dan jangan sesekali gunakan pemanas atau apa-apa peralatan yang menggunakan haba untuk mengeringkan kereta anda. Terdapat petrol dalam tangki, ia mungkin ianya telah meresap ke dalam kereta dan mampu mengundang bahaya.

Selepas enjin dicuci sepenuhnya dan berjaya dihidupkan, sentiasa berhati-hati sewaktu memandu kereta anda walaupun selepas ia nampak kering. Bahagian mikro-elektronik yang telah basah mungkin tidak akan memberikan prestasi yang sama, dan boleh mendatangkan masalah yang teruk.

Dengar bunyi enjin dengan teliti. Jika ada bunyi yang tidak sepatutnya, ia harus dikenalpasti puncanya, terutama sekali jika ianya merupakan bunyi ketukan atau geseran yang bersifat metalik seberti bunyi logam. Adakalanya ia hanya berpunca dari posisi ekzos yang telah beralih sedikit ataupun penutup kepala selinder yang menjadi renggang. Cuba kenalpasti punca bunyi dengan meminta pendapat mekanik anda, dan jika ianya tidak menyebabkan penurunan prestasi enjin, mungkin tiada kerosakan serius yang telah terjadi. Jika terdapat titisan air atau minyak seperti keputihan akibat tercampur air, ini juga mungkin penyebab bunyi enjin menjadi lebih kuat kerana kemampuan pelinciran telah menurun.

No comments: