Toyota patenkan tiang-A telus-pandang untuk tingkatkan pandangan pemandu

 Toyota dilaporkan telah memfailkan paten untuk penyelesaian pintar dan murah untuk mengurangkan titik buta penglihatan hadapan pemandu kereta dengan penggunaan tiang-A (A-pillars) yang telus penglihatan.

Pembuat kereta Jepun itu telah memfailkan paten baru dengan Pejabat Paten dan Tanda Dagang Amerika Syarikat. Teknologi ini mampu membantu memperluaskan bidang penglihatan pemandu kereta, dan membantu mengurangkan kemalangan yang berkaitan dengan titik buta (blind spot) iaitu kawasan yang terlindung dari penglihatan. Inovasi terbaharu itu dikatakan sebagai penyelesaian yang berkesan dan murah untuk membantu pemandu melihat 'melalui' tiang-A kereta mereka. Ia nya juga telah direka untuk menangani masalah yang semakin meningkat pada kenderaan yang lebih besar, yang memerlukan tiang tebal untuk menampung ujian kemalangan bergolek (rollover) bagi menguji ketahanan menampung bumbung dari menghimpit penumpang.
Tidak seperti Konsep Cermin 360 Maya Jaguar (360 Virtual Urban Windscreen concept) dan bonet telus-pandang Landrover, penyelesaian Toyota tidak menggunakan paparan imej ke tiang A. Sebaliknya, pembuat kereta Jepun mendakwa para juruteranya telah menyelesaikan masalah tersebut dengan memasang cermin secara teliti yang memperlihatkan pandangan sekitar tiang itu. Teknologi baharu ini telah dicipta untuk dipasang dengan mudah pada semua model Toyota baharu.

Namun belum disahkan lagi bila kita akan dapay melihat teknologi baharu ini pada model pengeluaran Toyota. Pun begitu ia adalah sesuatu yang hebat, yang tentunya akan membantu pemandu untuk nampak penunggang motosikal dengan jelas di persimpangan dan juga bulatan.

No comments: