Sebut "Hai, Proton" untuk mula interaksi dengan X70

Hampir sebulan selepas sesi pratonton statik SUV baharu Proton, para media di Malaysia dijemput pula untuk berkongsi lebih banyak maklumat tentang X70 mereka tersebut.

Sesi pratonton kedua untuk kereta pertama yang dihasilkan dari usahasama Geely dan PROTON ini memberi tumpuan eksklusif kepada Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI), yang menawarkan pelbagai fungsi pengguna melalui aplikasi serta pilihan untuk kekal berhubung dengan kereta melalui telefon bimbit mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Dr Li Chunrong,  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Dato' Radzaif Mohamed dan barisan pengurusan kanan PROTON hadir sama bagi memperkenalkan sendiri ciri-ciri GKUI dan menjawab pertanyaan berkaitan model SUV yang dinanti-nantikan itu.

Sistem GKUI yang terdapat pada Proton X70 itu dihubungkan kepada dunia melalui kad eSIM, dan telah dipramuatkan dengan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara. Aplikasi dan fungsi-fungsi ini dicapai melalui antara muka skrin sesentuh 1280 x 720 piksel bersaiz 8 inci yang berasaskan platform Android dengan paparan warna penuh yang dilengkapi ruang memori dalaman 16GB. Sistem ini juga mempunyai sambungan Wi-Fi agar X70 tersebut boleh digunakan sebagai hotspot mudah alih.
Pengguna boleh memadankan kereta mereka dengan telefon bimbit peribadi mereka melalui Proton Link dengan menggunakan identiti individu yang diberikan kepada setiap pembeli, untuk menggunakan sepenuhnya keupayaan sambungan tersebut. Mereka kemudiannya boleh membangunkan profil peribadi mereka sendiri melalui papan telematik yang boleh merakam data seperti jarak perjalanan, penggunaan bahan api, tempoh perjalanan serta maklumat servis berkala kereta pengguna. Terdapat juga fungsi ‘cari kereta saya' yang akan membantu pengguna untuk mencari kereta mereka di kompleks tempat letak kereta yang besar.
"Sistem GKUI yang terdapat pada Proton X70 membolehkan pemiliknya sentiasa berhubung dengan kereta mereka. Ia adalah sistem dua hala aktif yang menawarkan beberapa pilihan yang sesuai dengan kemudahan pemilik individu. Kelak, keupayaan untuk memuat turun aplikasi tambahan juga akan ditawarkan dan sama seperti telefon bimbit, ini bermakna tiada persamaan dalam setiap kereta," kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa.

Oleh kerana model ini menggunakan sistem pengendalian Android, GKUI menawarkan pengguna telefon bimbit dengan kemampuan penayangan skrin telefon mereka pada paparan kereta. Ini bermakna pemilik boleh mengakses aplikasi telefon bimbit mereka pada skrin sentuh Proton X70 dan menikmati ketersambungan sepenuhnya. Pengguna OS Apple belum lagi mampu melakukan perkara yang sama namun mereka boleh memperolehi ketersambungan ke kenderaan X70 mereka melalui Bluetooth untuk mengakses fungsi panggilan telefon dan senarai kenalan.
Kini anda boleh memberikan arahan lisan kepada kereta Proton anda! Kemudahan fungsi bebas tangan yang ada pada Proton X70 kini dimuatkan dengan teknologi perisian pengecaman suara yang membolehkan pengguna memberi arahan secara lisan. Apabila pemilik dengan mengucapkan frasa 'Hai Proton', ia membuka laluan kepada pelbagai pilihan yang boleh dikawal melalui arahan lisan. Ini termasuklah mengendalikan sistem tingkap dan penyaman udara serta mengakses aplikasi navigasi bagi mencari tujuan, contohnya seperti mencari tempat makan yang berdekatan.
"Proton X70 adalah model Proton pertama yang menggunakan teknologi pengecaman suara, iaitu fungsi yang akan dihargai oleh pemilik. Beratus-ratus sampel suara telah dicatat untuk setiap frasa untuk memastikan sistem itu mempunyai ketepatan yang tinggi walaupun anda menggunakan dialek yang berlainan. Untuk kemudahan penggunaan, GKUI juga akan menunjukkan setiap frasa yang diucapkan di skrin untuk mengesahkan setiap arahan”, tambah Abdul Rashid.

Pun begitu, buat masa ini, GKUI ini menawarkan pengecaman suara untuk frasa bahasa Inggeris sahaja kerana terdapat batasan perisian. Proton telah berusvha untuk memastikan bahawa frasa yang diiktiraf adalah mudah digunakan walaupun pemilik yang tidak fasih untuk bertutur dalam bahasa tersebut.
Kini anda juga boleh menempah X70 anda dalam talian iaitu melalui internet. Seiring dengan teknologi terkini yang ditonjolkan pada SUV pertama mereka ini, PROTON akan mengaktifkan tempahan dalam talian di laman sesawangnya pada 17 Oktober 2018 ini. Pelanggan yang berminat untuk membeli Proton X70 boleh menempah dan membayar deposit secara dalam talian, yang memudahkan pelanggan yang tidak mempunyai masa untuk berkunjung ke pusat cawangan 3S dan 4S PROTON.

"Kami mahu menjadikannya semudah mungkin bagi rakyat Malaysia untuk menempah Proton X70 kerana kami fikir ini adalah bersesuaian ke arah itu. Untuk mempromosikan saluran baharu kami, kami akan menjalankan promosi selama tiga hari dari tarikh pelancaran, di mana mereka yang membuat tempahan untuk Proton X70 akan menerima hadiah khas," kata Abdul Rashid.

No comments: