GGR Motor bakal perkenal motosikal elektrik baharu

GGR Motor, jenama tempatan popular yang diinspirasikan dari filem Gila-Gila Remaja, kini masuk ke fasa baru dengan pelancaran motosikal elektrik (EV) terbaru mereka. 

Pelancaran ini adalah sebahagian daripada inisiatif “Go Green Revolution”, dengan gandingan rakan strategik utama dan pengedar sah EV mereka iaitu Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd.

Majlis pelancarannya akan berlangsung pada 28 Jun di Saloma Bistro KL, bakal dihadiri ramai artis terkenal yang akan turun padang untuk memeriahkan acara sehari ini.

Majlis ini juga bakal diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman. Pelancaran ini merupakan satu sokongan besar kepada inovasi dan teknologi hijau yang dibangunkan oleh anak muda tempatan, terutamanya graduan dari TVET MARA, IKM Beseri dan UNIKL MFI.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, kata pelancaran ni adalah langkah awal untuk mendekatkan motosikal elektrik dengan rakyat Malaysia, terutama golongan muda, memandangkan EV bukan sekadar teknologi baru, tapi jadi sesuatu yang mudah digunakan dan bergaya.

“Acara ini akan bermula dari jam 9.30 pagi sampai 4.30 petang – ada pelancaran, pameran, sesi jumpa pelabur dan media. Malam hari pula kita akan ‘up’ mood dengan persembahan komuniti, test ride EV, cabutan bertuah dan aktiviti santai untuk semua peminat kenderaan elektrik,” jelasnya.

Antara selebriti yang bakal muncul di acara pelancaran nanti termasuklah Bella Astillah, Johan, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Cat Farish. Tambah Mussadiq lagi, kehadiran artis dalam dunia EV boleh membantu menyampaikan mesej dengan lebih kuat, luas dan sebagai impak positif pada jenama.

“Contohnya Johan – selain terkenal dalam dunia hiburan, dia juga usahawan berjaya dengan jenama makanan Itik ke Ayam?. Dia bakal jadi salah seorang rakan kolaborasi utama kami untuk buka kedai EV selepas pelancaran nanti,” katanya.

Ini semua sebahagian daripada usaha GGR Motor bagi membawa jenama mereka ke tahap lebih tinggi – bukan saja dalam Malaysia, tapi juga pasaran antarabangsa.

Untuk menambahkan lagi semangat ‘go green’, GGR Motor juga umumkan penajaan dua unit LionG1 e-bike (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah cabutan bertuah sempena konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Julai di Litar Antarabangsa Sepang.

Untuk makluman, dua tahun lepas Bella Astillah pernah dihadiahkan skuter elektrik daripada GGR Motor masa mereka bekerjasama dengan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).

“Kami bukan nak jual produk semata-mata, tapi nak ubah cara orang pandang mobiliti. Kita nak EV jadi sebahagian daripada gaya hidup harian, macam telefon atau internet,” kata Mussadiq.

“Ini cara kami untuk memberi semangat kepada komuniti dan galakkan lebih ramai orang untuk cuba gaya hidup elektrik,” kata Mussadiq.

Sebagai penutup acara, GGR Motor sudah pun memanjangkan jemputan kepada Pejabat Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan berharap agar beliau sendiri akan melancarkan motosikal elektrik baharu mereka secara rasmi.





MGS5 dijual bermula RM115,900

MG Motor Malaysia secara rasminya mengumumkan harga bagi MGS5 EV serba baharu, sebuah SUV elektrik segmen-B yang tampil berani dan praktikal. Ditawarkan dalam dua varian dan dua pilihan kapasiti bateri, harga bermula daripada RM115,900 untuk 49kWh MGS5 EV COM, RM125,900 untuk 62kWh MGS5 EV COM Long Range, dan RM135,900 untuk varian tertinggi 62kWh MGS5 EV LUX Long Range.

Sempena pelancaran MGS5 EV serta sambutan ulang tahun pertama MG di Malaysia, MG Motor Malaysia memperluaskan tawaran akses awal eksklusif kepada 500 pembeli pertama. Pelanggan layak akan menikmati penjimatan sebanyak RM6,000 menjadikan harga permulaan serendah RM109,900. Sebagai tambahan, setiap pembeli turut menerima pengecas AC Wallbox 7kW secara percuma untuk kemudahan pengecasan di rumah.

"Dengan harga rasmi yang kini diumumkan, MGS5 EV mewakili antara cadangan nilai terbaik dalam segmen SUV elektrik. Ia bukan sekadar tentang kemampuan – tetapi tentang penyampaian teknologi EV termaju, reka bentuk yang luas serta ciri premium pada harga yang amat kompetitif," kata Emory QiFeng, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia. "Kami teruja untuk menawarkan pilihan EV yang menarik kepada pelanggan di Malaysia – tanpa kompromi dari segi prestasi, kepraktisan mahupun gaya."

MGS5 EV ditawarkan dalam lima warna menarik – Artic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte  memberikan pelanggan Malaysia pilihan EV moden yang mencerminkan gaya peribadi serta keyakinan memandu.

Pakej Waranti Komprehensif dan Pakej untuk Pembeli MGS5 EV

7-tahun atau Waranti Perbatuan Pada Kenderaan 

8-tahun atau 180,000km Waranti Perbatuan Pada Pek Bateri Voltan Tinggi 

8-tahun atau Waranti Perbatuan 160,000km Pada Pacuan Motor dan Unit Kawalan Motor 

Percuma Kotak Pengecasan Dinding 7kW  

Pengumuman Harga MGS5 EV Serba Baharu

Harga MSRP (sebelum yuran pendaftaran, tanpa insurans) untuk MGS5 EV serba baharu ialah

MGS5 EV COM : RM115,900

MGS5 EV COM Long Range : RM125,900

MGS5 EV LUX Long Range : RM135,900

Varian dan Prestasi MGS5 EV 

MGS5 EV akan ditawarkan dalam dua varian – COM dan LUX. Varian COM hadir dengan pilihan bateri 49kWh atau 62kWh, masing-masing memberikan jarak WLTP sehingga 340km dan 430km. Bateri 62kWh adalah standard untuk varian LUX, yang juga menawarkan jarak sehingga 430km. Semua varian dilengkapi dengan tork 170PS dan 250Nm disalurkan melalui konfigurasi Pacuan Roda Belakang (RWD) yang menjadi pilihan unik dalam segmennya serta sokongan pengecasan 7kW AC.

Varian LUX turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150kW membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 26 minit. Selain itu, varian ini menawarkan pengalaman pemanduan premium dengan ciri-ciri seperti roda aloi 18 inci, bumbung matahari panoramik, tempat duduk fabrik kulit dengan logo MG, tempat duduk pemandu boleh laras kuasa, stereng kulit dengan sistem penghangat, pad pengecasan telefon tanpa wayar, enam pembesar suara premium, pintu belakang berkuasa, dan kamera pandangan sekeliling 360 darjah.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan lampu depan LED dengan DRL bertemakan ‘Racing Flag’ dan lampu belakang Arch khas MG dengan motif tersendiri. Sorotan tambahan termasuk kefungsian Vehicle-to-Load (V2L), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, 12.8 inci skrin sentuh infotainment dengan arahan suara, 10.25 inci Instrumen Digital, dan sistem sambungan MG iSMART. Ruang but yang luas menawarkan sehingga 1,441 liter termasuk petak bawah lantai.

Dengan susun atur bateri mendatar ultra nipis, MGS5 EV mengoptimumkan ruang dalaman sambil mengekalkan pusat graviti yang rendah, menetapkan penanda aras baharu dalam kelasnya. Sistem kawalan suhu pintar membantu mengurangkan pengembangan bateri sekali gus meningkatkan keselamatan dan ketahanan jangka panjang.