Litar Batu Kawan medan ujian sebenar jentera Honda

Litar Batu Kawan yang menjadi venue pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS minggu ini menjadi medan ujian sebenar bagi membuktikan keupayaan jentera Honda pada musim 2019.
Pelumba Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman yang juga Naib juara CP150 sewaktu pusingan pembukaan di Jasin itu menjelaskan penguasaan tiga pelumba Honda di Jasin tempoh hari banyak dibantu oleh faktor litar yang dilihat memberi kelebihan untuk mereka memaksimumkan keupayaan jentera.
“Kalau kita perhatikan sewaktu di Jasin, walaupun laluan lurus hanya 159 meter berbanding di Batu Kawan yang mempunyai jarak 293, namun sudut selekoh kedua-dua litar ini agak berbeza,” jelas juara Underbone 150cc Asia 2018 itu.
“Sudut selekoh di Jasin agak lebar dan laju, jadi ia banyak memberi kelebihan kepada kami untuk mengekalkan kelajuan namun sedikit berbeza di Batu Kawan yang lebih teknikal.
“Di sini, sudut selekoh lebih kecil terutama di laluan ‘S’ dan terdapat bulatan yang akan memperlahankan kelajuan jentera dan pada masa sama memerlukan jentera kami untuk memberi tindak balas yang lebih tangkas berbanding jentera Yamaha,” jelas Helmi.
Tambahnya, “Kalau diperhatikan pada musim lepas, jentera Yamaha mempunyai banyak kelebihan di litar teknikal seperti ini, jadi sebab itu perlumbaan minggu ini sangat penting dan menjadi medan ujian sebenar untuk kami mengukur prestasi jentera bagi menghadapi pusingan akan datang,” jelas Helmi yang sekali lagi meletakkan sasran untuk menamatkan saingan di atas podium.

Pasukan AFB TECH Racing yakin kekal cemerlang

  Ahmad Fuad Baharudin yakin barisan pelumbanya akan terus beraksi cemerlang dalam saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim 2019 sebagaimana yang diraih pada musim lepas melalui Md Danial Syahmi yang muncul naib juara keseluruhan kelas WIRA KBS.
Saingan musim 2018 menyaksikan Danial bersaing sengit bersama Md Syarifuddin Azman dalam pemburuan gelaran keseluruhan sebelum terpaksa menarik diri dari dua pusingan terakhir akibat kecederaan kaki sekaligus menyaksikan pencabarnya itu menjulang gelaran keseluruhan.
Meskipun ketiadaan Danial bersama pasukan dan beberapa pelumba lain, Ahmad Fuad boleh merasa lega setelah pelumba mereka, Md Shahrul Ezwan M Sharil berjaya menghadiahkan podium di tempat ketiga sewaktu pusingan pembukaan di Jasin, Melaka, Mac lepas.
Dua lagi pelumba, Daniel El Fahim Harris El Hadi dan Danish Haiqal S Rudzin turut berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok 10 pelumba terbaik.
Menjelang perlumbaan pusingan kedua di Batu Kawan, Pulau Pinang minggu ini, Ahmad Fuad memberi bayangan mereka semakin bersedia untuk bersaing memburu lebih banyak kejayaan pada musim ini.
“Kami hampir memenangi gelaran keseluruhan musim lepas namun Danial terpaksa melepaskan gelaran kepada Md Syarifuddin setelah terpaksa menarik diri dari dua pusingan terakhir,” jelas pengurus yang pernah meraih tiga gelaran keseluruhan kelas perdana itu.
Tambahnya, “Walaupun tahun ini kami kehilangan beberapa pelumba termasuk Danial Syahmi, namun saya yakin barisan pelumba ketika ini mampu untuk membawa cabaran pasukan. Mereka sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dan bersedia menerima teguran dalam usaha untuk memastikan prestasi mereka terus meningkat.
“Selain Md Syahrul, saya yakin Daniel El Fahim juga mampu bersaing di kelompok depan terutama apabila turun beraksi di halaman sendiri minggu ini,” jelas Ahmad Fuad yang turut membimbing Md Aiman Tahiruddin menjulang gelaran WIRA pada musim 2017.