SIC dan ISN jalin kerjasama strategik

Dari kiri:  Encik Ahmad Zawawi bin Zakaria-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Hafizh Syahrin Abdullah-Pelumba MotoGP dan Dato Razlan Razali- ketua Pegawai Eksekutif SIC
Sepang International Circuit (SIC) kini merupakan satu lagi rakan strategik ISN Institut Sukan Negara (ISN).

Kerjasama di antara ISN dan SIC ini merupakan yang julung kalinya diadakan khusus di dalam sukan permotoran yang kini tersenarai sebagai bidang sukan berprestasi tinggi.  Ia merupakan langkah positif bagi memajukan sukan permotoran negara.

Dalam kerjasama strategik ini, pihak ISN bersetuju untuk memberikan khidmat prestasi tinggi sukan dengan merancang dan melaksanakan program-program berteraskan aspek sains dan perubatan sukan kepada pelumba-pelumba PETRONAS Sepang Racing Team dan pelumba-pelumba di bawah program pembangunan bakat SIC, Impian Ke MotoGP (IKM) yang dalam persediaan pelbagai kejohanan seperti Kejuaraan Dunia Remaja CEV Sepanyol (CEV), European Talent Cup, Idemitsu Asia Talent Cup dan Asia Road Racing Championship (ARRC).

Pihak ISN juga akan memberikan khidmat aplikasi sains sukan yang komprehensif dan sistematik berasaskan amalan terbaik dan penyelidikan dalam pengkhususan seperti pemakanan, psikologi, fisiologi senam, biomekanik dan suaian fizikal spesifik untuk sukan permotoran.

ISN juga akan memberikan perkhidmatan perubatan sukan seperti pemeriksaan kesihatan, rawatan kecederaan, rawatan fisioterapi dan rehabilitasi, rawatan pemulihan sukan dan ujian-ujian klinikal.

Kedua-dua pihak iaitu ISN dan SIC mengharapkan lebih banyak pertukaran pengalaman dan kajian sukan berprestasi tinggi bagi sukan permotoran dapat dilaksanakan melalui kerjasama ini. Malah kerjasama yang dijalankan ini merupakan suatu kerjasama yang penting bagi pertukaran maklumat, pengalaman, pengetahuan dan kajian penyelidikan terkini ke arah kemajuan sukan permotoran negara.

Syabas diucapkan kepada kedua dua pihak yang terlibat. Majulah sukan untuk negara.