Boon Siew Honda catat 30% kawalan pasaran dalam tahun 2018

Boon Siew Honda semalam mengumumkan strategi bagi tahun 2019 iaitu untuk menjadi jenama peneraju dalam industri motosikal di Malaysia menerusi penawaran produk serta kedudukan jenama. Strategi ini dirancang berdasarkan kepada momentum yang dipacu oleh prestasi jualan pada tahun 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda  menjelaskan bahawa demi memenuhi spektrum kegunaan dan gaya hidup utilitarian, riadah dan premium, Boon Siew Honda telah mengukuhkan barisan produk Cub, Transmisi Automatik (AT), motosikal keseronokan (Fun Bike) dan jentera berkuasa tinggi dengan memperkenalkan 12 model baharu serta 3 model yang telah dinaik taraf pada tahun 2018.
Boon Siew Honda juga telah melancarkan bilik pameran Honda BigWing dan Honda Impian X yang menawarkan pengalaman terbaik kepada para pelanggan mereka. Boon Siew Honda telah merekodkan prestasi jualan yang cemerlang, di mana lebih kurang 156,000 unit telah dijual pada tahun 2018.Ó

Jumlah jualan Boon Siew Honda pada tahun 2018 telah meningkat sebanyak 28.7% berbanding 121,000 unit yang berjaya dijual di Malaysia sepanjang tahun 2017. Prestasi yang memberangsangkan ini turut meningkatkan peratusan kawalan pasaran motosikal dari 26% pada 2017 kepada 30% pada tahun lepas dengan Wilayah tengah menjadi penyumbang utama kepada jualan keseluruhan Boon Siew Honda dengan 55,263 unit atau 35.4%, diikuti oleh Wilayah Utara sebanyak 40,903 unit atau 26.2%.
Model RS150R dan Wave Alpha menjadi penyumbang utama kepada jualan keseluruhan Boon Siew Honda pada tahun 2018 dengan masing-masing mencatat 43,948 dan 36,895 unit.

Untuk tahun 2019, Boon Siew Honda dijangka melaksanakan strategi lebih agresif untuk menaikkan lagi jenama di Malaysia. 

Bagi mencapai sasaran untuk menjadi jenama peneraju motosikal di Malaysia pada tahun 2019, Boon Siew Honda telah menggariskan lima strategi utama yang selari dengan hala tuju perniagaan mereka.


1. Peningkatan Jenama
Boon Siew Honda akan mengukuhkan barisan produknya pada tahun 2019. Syarikat dijangka melancarkan model baharu dan dinaik taraf yang memiliki reka bentuk, ciri dan prestasi lebih sporty sebagai maklum balas kepada permintaan daripada generasi muda.

2. Penambahbaikan Rangkaian Pengedar  Para pengedar merupakan rakan perniagaan yang sangat penting kepada Boon Siew Honda kerana kebanyakan pelanggan akan membeli motosikal Honda melalui mereka. Justeru, Boon Siew Honda akan terus menambah baik kualiti rangkaian pengedarnya menerusi pembukaan lebih banyak Honda Impian X. Honda Impian X ialah Bilik Pameran Konsep Honda Serba Baharu yang menawarkan satu pusat sehenti untuk jualan dan servis bagi motosikal Honda dengan enjin sehingga 300cc. Bilik pameran baharu itu dibina untuk menambah baik kualiti servis dan pada masa sama, menyediakan akses lebih mudah kepada pelanggan motosikal Honda. Buat masa sekarang, Boon Siew Honda mempunyai 5 Bilik Pameran Honda Impian X.

3. Penambahbaikan Perkhidmatan Selepas Jualan Untuk meningkatkan lagi kualiti selepas jualan, Boon Siew Honda akan menubuhkan Pusat Servis di kilangnya di Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, Boon Siew Honda kini sedang giat mengembangkan pusat servis di cawangan pejabat di Kuala Lumpur dari segi ruang dan tenaga kerjanya untuk menyokong permintaan yang kian meningkat di kawasan ini. Sehingga kini, Boon Siew Honda memiliki 251 pusat servis di seluruh negara. Boon Siew Honda juga akan melengkap dan melatih juruteknik dengan latihan yang komprehensif melibatkan aspek Latihan Jualan, Hospitaliti dan Teknikal.

4. Perkembangan Program Tunggangan Selamat

Boon Siew Honda amat menitikberatkan aspek keselamatan jalan raya. Justeru, syarikat telah menubuhkan Pusat Tunggangan Selamat Honda untuk mendidik penunggang di Malaysia mengenai etika dan disiplin ketika berada di atas jalan raya. Di samping itu, menerap pemikiran pentingnya keselamatan jalan raya serta kemahiran menunggang yang lebih baik. Objektif usaha ini adalah untuk membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan menambah baik situasi trafik di Malaysia. Boon Siew Honda akan terus menggalakkan orang ramai untuk mengetahui kepentingan keselamatan jalan raya dan akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan dalam menganjurkan seminar serta kempen keselamatan.

5. Perkembangan Pelumba Tempatan dan Sukan Permotoran

Menerusi sokongan padu Boon Siew Honda ke atas sukan permotoran dan pelumba tempatan, pelumba muda Honda dan pasukan mekanik Boon Siew Honda berpeluang meningkatkan pengalaman serta menambah baik kemahiran melalui latihan serta bersaing dalam banyak perlumbaan di peringkat antarabangsa dan tempatan.

Penyertaan jenama ini di litar lumba nyata membantu para pelumba tempatan untuk mengasah bakat mereka. Salah seorang daripadanya ialah juara Malaysia, Zaqhwan Zaidi yang telah mengesahkan penyertaan beliau di dalam kelas Asia Superbike 1000cc (ASB 1000) pada acara Asia Road Racing Championship (ARRC) 2019 bersama pasukan Honda Asia-Dream Racing.

Pasukan itu akan diketuai oleh Encik Makoto Tamada (bekas pelumba MotoGP) yang bertindak selaku Pengurus Pasukan. Beliau dibantu oleh Encik Zulhemi Ahmad (Pengurus Boon Siew Honda Motorsport) sebagai Penolong Pengurus Pasukan. Selain Encik Zulhemi, pasukan mekanik Boon Siew Honda juga akan menjadi sebahagian daripada pasukan untuk bersaing dalam musim yang cukup mengujakan ini.

Sementara itu, beberapa orang pelumba yang kian meningkat naik dari Malaysia, Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman dilihat menyahut cabaran lebih besar apabila menyertai pasukan MUSASHi Boon Siew Honda Racing dalam perlumbaan ARRC untuk kategori SuperSports 600cc bagi musim 2019.
Bagi permulaan tahun 2019 ini, Boon Siew Honda telah memperkenalkan tiga model baharu iaitu Super Cub C125, CBR1000RR Fireblade SP dan CB1100 RS. Model-model ini dijangka akan mengujakan pasaran dan seterusnya menerajui industri motosikal di Malaysia pada tahun 2019.

No comments: