Helmi Azman Juara Keseluruhan UB150 ARRC


Mohd Helmi Azman sah dinobatkan juara keseluruhan Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) setelah muncul naib juara Perlumbaan 1 pada pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand Sabtu lepas.


Masih berbaki satu perlumbaan akhir pada hari Ahad, penamat di tempat kedua di Thailand sudah cukup untuk menyaksikan Helmi bergelar juara dengan mengumpul 192 mata manakala pencabar tunggal yang mampu melengahkan kemenangan Helmi, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) sekadar tamat di kedudukan ke-14 untuk menjadikan 124 mata keseluruhan.
Kemenangan Helmi bagaimanapun dilihat sukar pada peringkat awal apabila terpaksa bermula dari petak ke-19 setelah mengalami masalah enjin pada sesi kelayakan, semalam namun berjaya memaksimumkan keupayaan jentera untuk berada di kelompok hadapan dari peringkat awal perlumbaan.
Helmi berjaya menamatkan tujuh pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’19.362s di belakang pelumba wildcard, Wawan Wello (Yamaha Yamalube SND Factory) yang menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’18.788s.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba berpengalaman negara, Md Affendi Rosli ((Team One For All) dengan masa keseluruhan 16’19.544s.
“Musim ini sangat sempurna untuk saya kerana berjaya memenangi gelaran Underbone 150cc. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras dan menyediakan jentera terbaik kepada saya pada musim ini sehingga impian kami semua menjadi kenyataan,” jelas Helmi yang turut membantu pasukan SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan berpasukan dengan mengumpul 192 mata selepas kali terakhir memenangi gelaran pasukan terbaik Asia pada tahun 2009.
“Perlumbaan hari ini sedikit mencabar setelah terpaksa memulakan perlumbaan dari kelompok belakang. Walaupun begitu, saya memang bertekad dari awal lagi untuk menamatkan singan di atas podium dan ia berjaya. Walaupun sudah memenangi gelaran, saya berharap dapat memenangi perlumbaan terakhir musim ini di atas podium pada hari esok.”
Kemenangan tersebut juga menyaksikan pelumba muda negara itu berjaya memastikan gelaran Underbone 150 kekal di Malaysia selepas dimenangi Md Akid Aziz pada musim lepas.

KEPUTUSAN PERLUMBAAN 1
UNDERBONE 150CC
1 Wawan Wello(INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16:18.788s
2 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 16:19.362s
3 Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All 16:19.544s
4 Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 16:19.562s
5 Gupita Kresna (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16:19.563s

Kedudukan Keseluruhan
1 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 184 mata
2 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha YY Pang Racing 124 mata
3 Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 109 mata
4 Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 95 mata
5 Gupita Kresna Wardhana (INA) Yamaha Yamalube SND Factory Yamaha 85 mata

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan
1 SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 192 mata
2 RCB Yamaha YY Pang Racing 141 mata
3 Yamaha Yamalube SND Factory 136 mata
4 UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 128 mata
5 ONEXOX TKKR Racing Team 112 mata