Helmi semakin hampir tampil Juara Underbone 150

Mohd Helmi Azman semakin hampir untuk menjulang gelaran keseluruhan pertama dalam karier perlumbaannya menjelang perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada hujung minggu ini.

Selepas lima pusingan, pelumba SCK Rapido Hi Rev Honda Racing itu kini berkelebihan 42 mata di tangga teratas senarai keseluruhan Underbone 150cc. Pelumba berusia 19 tahun itu kini mengumpul 164 mata diikuti rakan senegara, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) dengan 122 mata.

Seorang lagi pelumba negara, Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR Racing) di kedudukan ketiga dengan 96 mata. Ini bermakna, gelaran juara keseluruhan Underbone 150cc akan terus kekal di Malaysia setelah dimenangi oleh Mohd Akid Aziz pada musim lepas.

Dengan baki dua perlumbaan, Helmi hanya perlu mengumpul sembilan mata atau sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dalam mana-mana perlumbaan bagi mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan Underbone 150cc musim 2018.

“Saya perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh memandang mudah saingan minggu ini. Walaupun hanya perlu mengumpul sembilan mata sahaja lagi, saya tetap akan memberikan yang terbaik dan mahu menamatkan perlumbaan di atas podium,” jelas Helmi.

Helmi memulakan karier di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada tahun 2013 sebelum beraksi selama dua musim dalam saingan Asia Talent Cup. Helmi kembali ke saingan ARRC padam usim lepas di mana dia menamatkan musim di kedudukan keempat keseluruhan.