Laluan lebuhraya jajaran E37 KL-Seremban kini percuma!


Lembaga Lebuhraya Malaysia ingin memaklumkan bahawa bermula 12.01. 1 Jun 2018 tiada lagi bayaran tol dikutip bagi Jajaran Kuala Lumpur - Seremban Expressway dan Salak Expressway (yang dahulunya dikenali sebagai sebahagian daripada Jajaran Lebuhraya Metramac
0 di Plaza Tol Sungai Besi kendalian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Jajaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban Expressway E37 adalah lebuh raya utama di Kuala Lumpur, Malaysia sepanjang 8.1 km (5.0 batu) yang menghubungkan Kuala Lumpur di utara ke Seremban, Negeri Sembilan di selatan.

Jalan raya ini dikendalikan oleh ANIH Berhad (dahulunya dikenali sebagai Metramac Corporation (MetaCorp)). Kadar tolnya dikutip oleh PLUS bagi Metramac, akibatnya kadar tol di Plaza Tol Sungai Besi sebenarnya adalah termasuk bayaran tambahan untuk jajaran Kuala Lumpur -Seremban Expressway ini.

Pada tahun 2007, lebuh raya itu telah diberikan nombor laluan sendiri E37 bersama-sama dengan Lebuhraya Salak.

Jajaran ini bermula dari persimpangan Razak Mansion sehinggalah betul-betul di hadapan plaza tol Sungai Besi di Laluan Selatan Selatan Lebuhraya E2. Titik terakhirnya (KM8.1) juga merupakan titik terakhir Lebuhraya Utara-Selatan E2 (KM310.8).

lni bermakna, dengan penamatan tempoh Konsesi jajaran tersebut bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi dikurangkan (di antara RM 0.40 hingga RM1.70) bergantung pada jarak perjalanan dan kelss kenderaan.

Penamatan ini sekali gus akan memberi manfaat kepada hampir 130.000 kenderaan yang menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari. Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya PLUS yang dilalui mereka sahaja.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kadar kutipan tol yang baharu menerusi laman web atau aplikasi PLUS Mobile App.

#25 Azlan berdepan tugas getir di Suzuka

Juara Asia dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman yang merupakan pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu memulakan kempen musim 2017 dengan baik apabila meraih dua podium sewaktu pusingan pembukaan di Thailand. Namun begitu, masalah mekanikal menjadi penghalang sewaktu di Australia menyebabkan Azlan jatuh ke tangga ketiga dalam senarai keseluruhan ketika ini. Beliau  berdepan tugas mencabar dalam usaha untuk mempertahankan gelaran juara SuperSports 600cc apabila turun beraksi pada pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun pada 1 hingga 3 Jun ini.Lebih mencabar apabila jentera baharu yang digunakan pada musim ini masih belum berada pada tahap terbaik selain turut mengharapkan insiden kemalangan di litar Suzuka sepanjang dua tahun lepas tidak berulang.

"Litar Suzuka bukanlah litar kegemaran saya. Selain faktor bentuk teknikal litar, nasib saya juga tidak begitu baik di sini," jelas pelumba berusia 34 tahun itu.

Tambahnya, "Saya berharap nasib saya lebih baik pada tahun ini. Kami juga telah mengadakan ujian persendirian di sini bersama jentera baharu Kawasaki Ninja ZX6R untuk mendapatkan lebih banyak data jentera untuk menjadikannya lebih kompetitif berbanding di Australia. Saya akan bekerja keras minggu ini untuk kembali ke podium. Mudah-mudahan semua berjalan lancar."

Tiada tanda kapsul masa PLUS akan dibuka

Seperti yang mungkin sudah diketahui umum, sebuah kapsul masa telah ditanam sewaktu perasmian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 8 September 1994. Di dalamnya terkandung dokumen dokumen yang dikatakan akan dikeluarkan selepas tamat tempoh asal konsesi Lebuhraya PLUS iaitu pada 31 Mei 2018. Namun konsesi tersebut telah disambung beberapa kali sehingga tahun 2038 kelak.

Pun begitu, tinjauan kami di lokasi kapsul masa ini tiada menunjukan sebarang tanda atau upacara bahawa ianya akan digali dan dibuka. Malah tiada juga sebarang maklumat yang diumumkan oleh pihak PLUS setakat ini.




Kapsul masa ini merupakan kapsul masa Tun Mahathir yang terawal dijadualkan akan dibuka. 

Pada 12 Jun 1987, sewaktu merasmikan bangunan pusat membeli-belah Sunway Putra Mall, Tun M juga telah menanam sebuah kapsul masa yang dijadualkan untuk dibuka pada tahun 2087 iaitu 100 tahun akan datang. Pengurusan Sunway Putra Mall diberitakan memberitahu bahawa kapsul itu kini selamat tersimpan di pejabat Pengurus Besar bangunan tersebut.

Tun Mahathir juga telah menanam satu lagi kapsul masa di dasar Monumen Millenium di Putrajaya semasa menjawat jawatan Perdana Menteri, yang akan dikeluarkan pada tahun 2020 nanti.

Ramdan Rosli penuh semangat hadapi ARRC Suzuka

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Mohd Ramdan Rosli telah mencipta kejutan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam Perlumbaan 2 setelah Perlumbaan 1 dibatalkan sekaligus meraih podium pertamanya dalam kelas SuperSports 600cc sewaktu di Australia. 

Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) kini bertandang ke Litar Suzuka, Jepun bagi menghadapi perlumbaan pusingan ketiga  pada 1 hingga 3 Jun ini.

"Podium di Australia menjadi pembakar semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik di sini. Walaupun mungkin faktor nasib juga membantu saya tetapi ia tak boleh dicapai tanpa usaha saya dan pasukan sepanjang minggu tersebut. 
"Namun begitu, memang tidak dinafikan bukan tugas mudah untuk menaiki podium di Suzuka terutama dengan kehadiran ramai pelumba Jepun dan juara musim lepas, Anthony West yang kembali beraksi pada pusingan ini," jelas Ramdan yang kali terakhir beraksi di litar Suzuka pada tahun 2013.

Tambahnya, "Jentera kami semakin baik berbanding pusingan pertama di Thailand. Saya juga semakin dapat menyesuaikan diri dengan jentera dan yakin minggu ini pasukan akan menyediakan jentera terbaik. Sesi latihan bebas pertama sangat penting untuk mengumpul data dan menyesuaikan diri dengan litar," jelas Ramdan yang bergandingan bersama pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayuddin.

Anak Malaysia berjaya sertai perlumbaan Le Mans 24 jam

  Nabil Jeffri, Weiron Tan dan Jazeman Jaafar,
Trio Malaysia Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Nabil Jeffri bakal mencatat nama mereka dalam lakaran sejarah sebagai para pemandu pertama Malaysia untuk berlumba dalam perlumbaan berprestij 24 Jam Le Mans dari 16-17 Jun ini.

Mereka akan bersaing untuk pasukan Jackie Chan DC X JOTA Racing team di Le Mans pada pusingan kedua FIA World Endurance Championship (WEC). Trio itu berjaya mengungguli tempat ketiga dalam kelas mereka (LMP2) pada pusingan pertama di Spa-Francorchamps di Belgium pada 5 Mei, 2018 lepas.

Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Nabil Jeffri yang merupakan produk dari program Pembangunan Bakat SIC ditemui pada satu majlis berbuka puasa dengan anak anak dari Pusat Jagaan Kasih Mahligai Zadut Taqwa di Pusat Konvensyen KL hari semalam.

Perlumbaan ketahanan 24 Jam Le Mans adalah perlumbaan kereta ketahanan tertua di dunia yang telah diadakan setiap tahun sejak tahun 1923. Ia merpakan sebahagian daripada acara FIA World Endurance Championship (WEC), dan berlangsung di Circuit de la Sarthe dengan campuran jalan raya awam tertutup dan sebahagian khusus litar lumba. Pemandu dan kereta mestilah dapat melalui ketahanan perlumbaan selama 24 jam sambil mengelakkan kegagalan mekanikal.
Pada sesi iftar tahun ini, SIC menjemput 25 kanak-kanak dan penjaga dari Pusat Jagaan Mahligai Kasih Zadut Taqwa. Pusat kebajikan yang beroperasi di Shah Alam sejak tahun 2014, dan menempatkan sejumlah 64 orang termasuk anak-anak yatim dan orang kurang upaya.

Beberapa kelas akan bersaing dalam Le Mans 24 Jam iaitu:
LMP1 (Prototaip Le Mans 1) Memaparkan kereta prototaip kokpit tertutup, ini adalah kelas utama dalam WEC. Kereta ini dikuasakan oleh enjin hibrid atau bukan hibrid.
LMP2 (Prototaip Le Mans 2) Memaparkan kereta prototaip kokpit tertutup dan dikuasakan enjin Gibson 4.2L V8 yang menghasilkan 600hp.
LMGTE (Le Mans Grand Touring Endurance) Menggunakan kereta sports dua pintu jalan raya yang sah. Nama-nama terbesar dalam industri kereta akan bersaing termasuk Ferrari, Ford, Aston Martin, Porsche, BMW dan Chevrolet.