Hanya 3,000 AGV Pista GP R Edisi Terhad 20 Tahun ditawarkan

Valentino Rossi telah hadir dengan helmet AGV baharu bergaya retro pada hari kedua ujian Sepang yang lepas. Helmet SoleLuna itu bermotifkan seperti yang pernah digunakannya 20 tahun lepas apabila memenangi gelaran juara dunia pertamanya dengan reka bentuk matahari dan bulan yang terkenal.
Hiasan topi keledar yang mengiringi pelumba dari Tavullia pada penampilan awal kerjayanya dua dekad yang lalu kini akan digunakan untuk  topi keledar AGV Racing iaitu Pista GP R.
"Ini topi keledar yang cantik, saya amat berbesar hati kerana AGV memperkenalkannya lagi kerana ia membawa banyak kenangan dan kemenangan yang tidak dapat dilupakan," kata Rossi.
Grafik bersejarah itu telah diberi sentuhan moden. Pereka grafik AGV dan Drudi telah mengemas kini warna latar belakang: sisi yang pernah dicat hitam kini adalah serat karbon yang gelap, dan kuning kini menjadi neon. Logo yang direka khas merayakan ulang tahun ke-20 kejuaraan dunia pertama Valentino Rossi yang diletakkan di pelindung dagu.
Hanya sejumlah 3,000 AGV Pista GP R Edisi Terhad 20 Tahun ini akan ditawarkan mulai awal bulan Februari 2018 ini.





Ada beza ke RON100 Petron Blaze?

Baru baru ini kami berpeluang mengikuti konvoi menguji bahanapi RON 100 yang dianjurkan oleh pihak Petron yang merupakan satu satunya syarikat yang menawarkan bahanapi bertaraf RON 100 ini. Jadi, apa hasilnya setelah melalui perjalanan yang jauh menunggang dari ibu negara ke Pulau Pinang, yang disertai 16 petugas media?

Bila kita nak membuat perbandingan macam ni, kenalah kita mendalami sikit dari segi teknikalnya, kan? Kebanyakan kita tahu bahawa RON adalah kependekan untuk Nombor Oktana Penyelidikan atau Research Octane Number. Nombor oktana adalah petunjuk kasar nisbah mampatan maksimum bahan bakar tertentu yang boleh digunakan tanpa meletus secara spontan. Letusan atau peledakan pramatang ini mampu merosakkan enjin, dan tentunya mengurangkan kecekapan prestasi dan bahan api.
RON sebenarnya merupakan salah satu daripada DUA penarafan oktana lazim yang digunakan untuk mengukur kebolehan bahan api untuk menahan letupan spontan di dalam enjin. Penarafan satu lagi ialah MON (Motor Octane Number). Penarafan RON didasarkan pada beban enjin yang rendah, sementara penarafan MON didasarkan pada beban enjin yang tinggi. MON sesuatu bahan bakar boleh berada hingga 10 mata lebih rendah daripada penarafan RON. Di Asia dan Eropah, nombor yang anda lihat di stesen minyak adalah nombor RON.
Sebenarnya secara kimia RON 95, 97 dan 100 mempunyai jumlah tenaga haba yang sama semuanya. Reaksi kimia untuk 95 dan 97 adalah sama dengan 100, maka pelepasan tenaganya juga sama. Malahan, seperti yang diketahui umum, bahanapi petrol mahupun diesel dari pelbagai jenama di Malaysia iaitu Petronas,Shell,Petron dan juga jenama kecil yang lain datangnya dari sumber yang sama. Jika di bahagiah tengah negara iaitu di Lembah Kelang, bekalan bahanapi petrol dan diesel bagi Petronas,Shell dan Petron kumpulkan di Terminal Pengagihan Lembah Kelang atau Klang Valley Distribution Terminal (KVDT) yang terletak di KM 18 Jalan Dengkil Puchong, yang akan kelihatan jika anda menggunakan lebuhraya SKVE.
Produk petrol dan diesel yang di simpan di sini disalurkan terus melalui paip paip daripada loji penapisan di Melaka dan Port Dickson, dan akan diangkut oleh lori lori tangki untuk agihan ke stesen-stesen minyak petrol yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Selatan Perak. Di pantai timur, pusat pengagihannya adalah di Paka, Terengganu di mana semua jenama mengambil bekalan bahanapi mereka dari sana.


Bahanapi asas petrol dan diesel adalah sama sahaja untuk pelbagai jenama yang mengambil bekalan dari KVDT ini. Ketika pengambilan, bahan tambah atau aditif akan di campurkan melalui "injection point" yang berbeza ke dalam lori tangki pengangkut. Formulasi campuran inilah yang membezakan satu jenis bahanapi dengan yang lain, seperti Primax untuk Petronas, Shell Fuel Save dan Petron Blaze. Oleh itu, jika ada yang mengatakan terdapat pebezaan ketara sehingga berpuluh kilometer bagi setiap tangki penuh petrol jika menggunakan jenama berbeza, fikirkan lah sedalamnya.
Maka, setelah menjelaskan aspek ini, marilah kita ketepikan persoalan samada semua bahan api mempunyai tahap tenaga yang sama. Mari kita bandingkan pula faktor lain yang menjadikannya berbeza, dan lebih cekap.
Berbalik kita pada isu oktana. Perbezaan bahanapi oktana yang lebih tinggi adalah ia nya lebih 'sukar' untuk dibakar. Secara umumnya, oktana yang lebih tinggi ini dicapai dengan menambah etanol, yang mempunyai suhu nyalaan spontan yang lebih tinggi daripada petrol tulen. Semua petrol di Malaysia dan sebahagian besar dunia mempunyai sejumlah etanol di dalamnya.

Soalan-soalan cepumas yang sering diajukan:
Adakah penarafan oktana yang lebih tinggi memberikan prestasi lebih baik?
Adakah penarafan oktana yang lebih tinggi memberi kecekapan bahan bakar lebih baik?

Terdapat perbezaan di antara bahanapi RON 95, 97 dan 100. Masing masing mempunyai tahap aditif yang berbeza, dan itulah sebenarnya perbezaan yang anda rasakan, jadi ia bukanlah sebenarnya perbezaan RON. Malahan sebenarnya jika pakej aditif yang dimasukkan de dalam bahnapi RON 100 itu digunakan dalam bahanapi RON95, ia akan menghasilkan perasaan yang sama, dan tentunya tiada siapa yang akan membeli RON 100, dan memandangkan kosnya yang mahal para pengeluar juga tidak boleh menjualnya pada harga RON 95.
Zaimi Harun, Ketua Urusan Korporat Petron
 Jika anda menunggang motosikal sports atau memandu kereta sports berprestasi tinggi, ia lazimnya menggunakan enjin dengan nisbah mampatan yang tinggi. Mampatan yang tinggi menyampaikan lebih banyak kuasa dan kecekapan bahan api yang lebih baik dengan memasukkan lebih banyak campuran bahnapi ke dalam kebuk pembakaran. Walau bagaimanapun, enjin pemampatan tinggi itu memerlukan bahanapi oktana yang lebih tinggi. Bukan kerana bahanapi oktana yang lebih tinggi memberikan kuasa yang lebih tinggi, tetapi kerana ia tidak akan meletus secara spontan dalam silinder disebabkan oleh tekanan mampatan yang tinggi. Letusan pramatang ini menghalang pergerakan menaik piston, dan daya yang bertentangan dengan piston yang menaik ini akan mengakibatkan ketukan atau knock.
Mari kita bicara sedikit mengenai letusan ini. Ada yang mengatakan bahawa enjin moden motosikal atau kereta yang mempunyai nyalaan adaptif (adaptive ignition), mempunyai sensor anti-ketukan atau anti-knock. Sensor ini mengesan kitaran dalam silinder dan jika ia mengesan kemungkinan yang dikaitkan dengan ketukan, ia akan menghantar isyarat kepada sistem pengurusan enjin ECU untuk melewatkan pencucuhan awalan (iaitu masa palam pencucuh menyala sebelum piston atau omboh mencapai kedudukan paling tinggi atau Top Dead Centre). Pencucuhan awal ini diperlukan kerana petrol mengambil masa untuk membakar sepenuhnya, jadi menyalakan campuran apabila omboh sudah berada di kedudukan puncak akan membazirkan tenaga. Apabila rpm meningkat, pergerakan piston makin cepat, dan lebih banyak masa awalan diperlukan untuk pencucuhan.

Melewatkan masa awalan nyalaan (reduce ignition advance) akan menurunkan suhu dan tekanan juga adalah lebih rendah, dan ini mengelakkankan keadaan yang menyebabkan ketukan, namun begitu ia akan mengurangkan kuasa. MAKA inilah sebabnya mengapa anda memerlukan bahan api dengan oktana yang betul. Masuk akal?
Kadar daya mampatan juga adalah tidak linear. Pada revolusi yang lebih tinggi, campuran bahan api dimampatkan pada kelajuan yang lebih tinggi dan pada tekanan tinggi. Mungkin ada yang mengatakan kenapa ia tidak meletup walaupun menggunakan bahanapi RON lebih rendah? Sekali lagi, sensor anti-ketuk lah yang mengelakkan ketukan yang mungkin terjadi. TETAPI, jika kita mnggunakan bahanapi RON yang lebih tinggi, sensor ketuk ini tidak akan mengesan kemungkinan ketukan, oleh itu ia juga tidak akan memberitahu ECU untuk melewatkan masa awalan nyalaan semasa operasi revolusi tinggi jika anda menggunakan bahan bakar oktana yang lebih tinggi.

MAKANYA, pertimbangkan yang berikut.
Jumlah kuasa yang dihasilkan enjin yang menggunakan bahan api RON 97 semasa RPM yang tinggi dengan melewatkan masa awalan nyalaan  untuk mengelakkan enjin mengetuk,
pastinya akan lebih rendah daripada:
jumlah kuasa yang dihasilkan enjin yang menggunakan bahan api RON 100 semasa RPM yang tinggi tanpa perlu melewatkan masa awalan nyalaan.

Kenyataan berat yang boleh dipertikai?
Mungkin.

 Tetapi mungkin ini adalah sebab mengapa ujian dalaman Petron menunjukkan peningkatan kuasa yang ketara ketika menguji bahan api RON 100 mereka berbanding dengan penilaian RON yang lebih rendah. Perbandingan ujian litar oleh INNOSPEC (UK) terhadap prestasi Ron 100 berbanding RON 95 di dalam kereta dengan nyalaan adaptif (adaptive ignition) menunjukkan peningkatan 3.7% dalam masa pecutan, kenaikan 2.0% dalam kelajuan maksimum dan naik 2.9% bagi kadar pecutan. Ujian dynamometer pula menunjukkan peningkatan kuasa sebanyak 6.3% dan peningkatan tork sebanyak 2.95%.
Satu lagi faktor yang membezakan bahan api adalah bahawa bahanapi yang anda beli datangdengan aditif dan detergen (pencuci). Apabila sebuah syarikat petroleum memformulasi bahanapi, mereka menggunakan campuran yang dirasakan tepat. Isi campuran ini ditentukan sepenuhnya oleh pengilang. Jadi perbezaan yang dirasakan antara RON 95, 97 dan 100 mungkin bukannya psikologi. Blaze 100 mengandungi pengubah geseran yang diangkut melalui bahan api ke komponen dalam ruang pembakaran. Ia menyelaput permukaan logam untuk mengurangkan geseran dan kehausan, bagi meningkatkan kecekapan jentera. Bersama dengannya adalah aitif penggalak pembakaran organik yang memecah rantaian hidrokarbon panjang untuk penguraian yang lebih baik dan pembakaran yang cekap. Terdapat tiga penarafan oktana kini bagi bahanapi Petron, dan kebanyakan pengeluar menumpukan untuk memasarkan bahan api prestasi mereka dengan  oktana yang lebih tinggi. Dapatkan apa saja bahan api yang anda inginkan dan nikmati faedah dan kelebihannya. Ingat, bukan hanya RON yang berbeza, tetapi aditif dan jumlahnya juga mendatangkan perbezaan.
 Cuba RON 100 sendiri apabila anda menunggang keras dan mendesak rpm motosikal anda, terutamanya mereka yang menggunakan motosikal yang memerlukan RON 97 minimum seperti Kawasaki ZRX1200 Daeg atau Ducati Panigale.
Jika sanggup berbelanja minum kopi butik yang harganya hampir sama dengan mengisi petrol penuh tangki, apalah salahnya memberi minum sesuatu yang sedap untuk kuda kesayangan anda, kan...?