Kasma Daniel akhiri kemarau podium

Kasma Daniel Kasmayuddin menamatkan penantian podium sekaligus kembali merapatkan jurang kepada pendahulu dalam usaha untuk mempertahankan gelaran keseluruhan selepas menjuarai perlumbaan akhir CP150 pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, hari ini.


Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu yang gagal menaiki podium pada dua pusingan lepas kembali mendapat rentak untuk menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’52.854s mengatasi pendahulu keseluruhan ketika ini, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing).
Afif yang pada satu ketika mendahului perlumbaan sebelum dipintas Kasma pada pertengahan perlumbaan menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa keseluruhan 13’53.055s diikuti rakan sepasukan, Md Hafiz Nor Azman di tempat ketiga dengan masa 13’56.529s.

“Perlumbaan hari ini sangat sengit dan seperti biasa Afif terus memberikan tekanan di belakang. NAmun kali ini saya cuba untuk terus menjarakkan diri dengannya kerana sedar peluang untuk memintas di litar ini agak terhad,” jelas Kasma.

Afif bagaimanapun terus kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 135 mata manakala Kasma naik ke tangga kedua dengan 95 mata. Hafiz di tangga ketiga dengan 90 mata.

Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 akan bersambung di Kuala Terengganu, Terengganu pada 5 dan 6 Oktober depan.

KEPUTUSAN PUSINGAN 6 – KANGAR, PERLIS

CP150

1 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:52.854s

2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 13:53.055s

3 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 13:56.529s

4 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:59.632s

5 Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 14:00.101s


Kedudukan Keseluruhan

1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 135 mata

2 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 95 mata

3 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 90 mata

4 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 53 mata

5 Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 45 mata

No comments: