Perodua kekal sasar jual 209,000 unit dalam 2018


Perodua bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai cabaran pada separuh tahun kedua 2018 (2H18) dan mengekalkan sasaran jualan sebanyak 209,000 unit menjelang akhir tahun ini walaupun angka jualan dan lepas jualan mencatat rekod baru pada separuh tahun pertama yang lepas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata syarikatnya juga turut mengekalkan sasaran pengeluarannya sebanyak 215.300 kenderaan pada tahun ini iaitu peningkatan 7.5% berbanding 200,100 kenderaan yang dikeluarkan pada tahun lepas.
Setakat ini Perodua telah menjual 117,100 kenderaan untuk 6 bulan pertama tahun ini. Ia merupakan peningkatan jualan sebanyak 17.5% berbanding 99,700 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas dan seterusnya mencatat rekod setengah tahun baharu buat syarikat itu. Dengan jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 289,700 unit untuk separuh pertama 2018. Perodua telah meraih sebanyak 40.4% bahagian pasaran, yang juga merupakan satu rekod setengah tahun yang baharu.
"Disebabkan peningkatan di bahagian jualan, Perodua juga telah menambah jumlah pengeluaran kenderaannya kepada 109,000 unit (antara Januari dan Jun 2018), peningkatan sebanyak 10% berbanding 99,000 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas," kata Datuk (Dr) Aminar. Beliau berkata pembelian Perodua daripada pembekal (vendor) untuk enam bulan pertama tahun ini berjumlah RM2.28 bilion, kurang daripada RM2.33 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.
"Pengurangan tersebut adalah disebabkan penjimatan yang diperoleh daripada kadar pertukaran mata wang asing yang balk pada 1H18 walaupun jualan meningkat," ujar Datuk (Dr) Aminar. Jumlah pendaftaran sebanyak 117,100 adalah terdiri daripada 46,860 Myvi, 33,870 Axia, 23,555 Bezza dan 12,815 Alza, mengekalkan kedudukan teratas untuk kesemua empat model di dalam segmen masing-masing.
"Kami menyifatkan rekod jualan ini adalah berikutan permintaan yang tinggi buat Myvi baharu serta model kami yang lain pada suku pertama dan menjelang akhir suku tahun kedua kami menyaksikan peningkatan dalam jualan disebabkan oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar, "kata Datuk (Dr) Aminar. Myvi baharu terus menjadi model Perodua yang paling popular - sejak dilancarkan Novefmber 2017, dengan lebih daripada 65,000 telah berjaya didaftarkan daripada 115,000 tempahan yang dikumpulkan.

Perodua mengakhiri setengah tahun pertama 2017 (1H17) dengan 35% daripada 284,500 unit TIV. Manakala bahagian pasaran bulanan dalam separuh pertama 2018 atau 1H18 adalah 39.7% untuk Januari, 42.2% Februari, 41.5% Mac, 42.3% April, 51 % Mei dan 31% Jun. Penurunan peratusan pada bulan Jun adalah disebabkan oleh kenaikan jualan keseluruhan industri berikutan kadar sifar GST.

"Jualan kami memuncak pada bulan Mei dengan hampir 22,000 unit. Walau bagaimanapun, kami tidak mampu untuk meramalkan sama ada momentum ini akan berterusan pada suku-suku akan datang tahun ini. Walaupun perhubungan kami dengan kerajaan sudah bermula, namun kami masih belum jelas mengenai mekanisma penuh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi. "Berdasarkan ramalan, akan ada kenaikan harga kenderaan bermula dari bulan September dan seterusnya; kami menjangkakan bahawa orang ramai akan melalui tempoh penyesuaian seterusnya mengakibatkan pengurangan permintaan dalam tempoh tersebut." "Berkemungkinan impak tersebut akan berlangsung sehingga Disember 2018, walaupun pada kebiasaannya, ketika itu kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan akan memberi tawaran yang hebat untuk mengelakkan stok dibawa ke tahun hadapan," kata Datuk (Dr) Aminar. Dari sudut tempahan, Perodua menerima lebih daripada 185,000 pesanan dalam 1H18, rangsangan 24% berbanding 1H17 dan menjadi lagi satu rekod setengah tahun. Pada bulan Jun sahaja tempahan melepasi 40,000, dan Perodua sedang bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan itu, kata Aminar.

"Dukacitanya, selain daripada beberapa unit Alza, kami menjangkakan semua tempahan yang dibuat bulan ini akan dipenuhi hanya bermula dari 1 September. Kami ingin memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul, namun begitu kami percaya kami masih menawarkan nilai terbaik di pasaran pada masa ini," tambah Datuk (Dr) Aminar. Mengenai lepas jualan, jumlah permintaan untuk servis kenderaan di 179 pusat servis Perodua di seluruh negara menyaksikan pertumbuhan 6% daripada 1.026 juta kenderaan pada I H17 kepada 1.083 juta pada 1 H18. Pengeluaran juga naik sebanyak 10% dari 99,000 kepada 109,000 unit, sejajar dengan peningkatan dari segi permintaan.




No comments: