Honda Dash 125 baharu diperkenal dari RM5,999

Boon Siew Honda Sdn Bhd (Boon Siew Honda) semalam memperkenalkan model terbarunya, Dash 125 baharu. Model baru ini dikuasakan oleh enjin serba baharu 125cc yang menyampaikan prestasi yang lebih baik untuk menawarkan tunggangan yang lebih mengujakan dan dinamik.
Pada pelancaran itu, Boon Siew Honda mengumumkan bahawa Dash 125 baru akan menjadi jentera lumba baharu Honda One-Make Race di Malaysian Cub Prix. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, En. Keiichi Yasuda juga mengumumkan pelantikan juara Asia Road Racing Championship (ARRC) dua kali, Zaqhwan Zaidi sebagai Duta Rasmi Dash 125 baru.
Model 125cc baharu ini merupakan pilihan kepada penunggang yang mahukan sebuah motosikal yang mempunyai pakej lengkap dan prestasi lebih baik dan reka bentuk bergaya.

Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda berkata, "Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran cub bersesaran cc besar didapati berkembang pesat, kompetitif dan mencabar berikutan permintaan pelanggan yang kian meningkat. Sebagai sebuah syarikat yang komited untuk menawarkan nilai baru untuk keseronokan pelanggan, Boon Siew Honda telah menambah baik tawaran model demi memenuhi keperluan para penunggang di Malaysia. Kami faham akan kehendak dan trend terkini di Malaysia. Oleh itu, kami sangat teruja untuk memperkenalkan Dash 125 baharu yang dijangka menetapkan penanda aras lebih tinggi dalam segmen cub."

Dash 125 baharu menerima beberapa naik taraf berbanding model terdahulu iaitu Wave Dash yang mula diperkenalkan pada 7 tahun lalu. Ia kini menggunakan enjin 125cc yang memberikan tunggangan lebih baik dan berprestasi, sekali gus menjadikan Dash 125 baharu sebuah motosikal terbaik untuk mereka yang mencari sebuah cub yang memiliki prestasi lebih baik pada harga berpatutan. Dash 125 baharu didatangkan dengan rekaan luaran baru yang lebih bergaya serta bentuk keseluruhan yang dinamik. Model baharu ini kini dilengkapi lampu utama LED bagi memberikan iluminasi lebih baik dan keselamatan kepada penunggang yang menunggang pada waktu siang dan malam dalam persekitaran yang pantas bergerak.
Bagi menjadikan estetikanya lebih agresif, Dash 125 baharu dilengkapi dengan pelindung kaki yang bergaya, jalur rim bergaya, rekaan cermin sisi yang menarik dan rekaan meter serba baharu.

Dash 125 baharu didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu Hitam Mutiara (Pearl Magellanic Black), Merah (Vivacity Red), Biru Mutiara (Pearl Nightfall Blue) dan Edisi Repsol.Varian dan harga adalah seperti berikut:

Dash 125 (Brek cakera tunggal) RM5,999
Dash 125 (Brek cakera berkembar) RM6,299
Dash 125 Repsol Edition (Brek cakera berkembar) RM6,499
Harga yang dinyatakan adalah harga bilik pameran yang disyorkan dengan 0% GST, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran.

Dash 125 baharu didatangkan bersama jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana terdahulu) bagi memastikan pelanggan dapat menikmati penyenggaraan berkualiti tinggi dan juga ketenangan minda.
Rakyat Malaysia akan menyaksikan prestasi mengujakan Dash 125 baharu kerana ia akan menjadi jentera lumba terkini dalam acara Honda One-Make Race untuk saingan Cub Prix Malaysia. Sebelum ini dikenali sebagai 'Honda Wave Alpha Challenge' untuk model Honda Wave Alpha, nama perlumbaan kini dikenali sebagai 'Honda Dash 125 Challenge', selari dengan penukaran kepada model ini. One-Make Race terbukti menjadi satu platform ideal untuk penunggang muda berbakat mengambil langkah pertama sebelum masuk ke dalam dunia sukan bermotor, dengan bimbingan dan sokongan yang mereka perlukan sebelum mara ke peringkat antarabangsa.

Boon Siew Honda mengumumkan pelantikan juara dua kali Asia Road Racing Championship (ARRC), Zaqhwan Zaidi sebagai duta Dash 125 baharu. Penunggang terkenal Honda itu merupakan pelumba Malaysia pertama yang berjaya berlumba dalam All Japan Road Race Championship (AJRRC). Kesungguhan dan perjalanan kerjaya beliau selaku pelumba motosikal nyata memberi inspirasi kepada anak muda untuk mencapai impian masing-masing. Ini menjadikan beliau duta yang ideal buat Dash 125 baharu.





No comments: