Seribu Perodua ditempah syarikat perkhidmatan panggil-tumpang

Perodua telah menerima tempahan 1,000 unit Bezza dan Axia bagi perkhidmatan panggil-tumpang (ride-hailing) dan panggil-kongsi (ride-sharing) oleh syarikat perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, YBhg Dato’ Dr Zahari Husin berkata bahawa jualan tersebut amat penting buat Perodua kerana ia membuka pasaran baharu buat syarikat kereta kompak itu.

“Ini merupakan tanda kepercayaan syarikat-syarikat tersebut kepada kenderaan kami yang berkualiti, selamat serta mempunyai kos operasi yang rendah,” katanya.

“Perkembangan perkhidmatan ride-hailing dan ride-sharing di Malaysia telah merevolusikan pengangkutan bagi rakyat Malaysia, dan Perodua amat berbangga menjadi sebahagian daripada usaha ini ke arah pengangkutan yang lebih cekap dan mampan untuk semua,” tambah Zahari.
Lebih 300,000 Axia dan 100,000 Bezza telah dijual sejak pelancarannya masing-masing pada 2014 dan 2016. Kedua-duanya merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang telah diperakui kerajaan dan menguasai segmen kenderaan masing-masing.

Perodua baru-baru ini telah melancarkan varian baharu Bezza GXtra di Autoshow Malaysia 2018, yang diadakan pada 26-29 April di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS). Bezza GXtra menggantikan varian 1.0 Standard G dan menawarkan spesifikasi trim setanding dengan varian 1.3 Premium X tanpa sebarang kenaikan harga, dengan itu memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan.

No comments: