Perodua jalankan tanggungjawab sosial hingga ke Sabah

Perodua sumbangkan peralatan perubatan dan mainan

Satu pasukan sukarelawan Perodua telah mengadakan lawatan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah pada hari Jumaat 18 Mei lepas untuk memberikan hadiah kepada pesakit kanak-kanak serta kelengkapan dan bekalan untuk hospital itu. Acara ini merupakan sebahagian dari sambutan musim Kaamatan dan untuk menyambut bulan Ramadhan.

Peralatan dan bekalan yang disumbangkan oleh Perodua terdiri daripada dua set Miller 3 pisau laryngoscope lurus dengan pemegang, bernilai RM1,800 setiap satu, dan 40 bantal bersarung PVC.

"Kami ingin mengiktiraf dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah yang berkhidmat kepada rakyat ketika orang lain sedang bercuti perayaan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Perodua dan Lego Malaysia juga mengukir senyuman pada kira-kira 250 pesakit kanak-kanak dengan memberi mereka hadiah permainan. Setiap orang diberikan set mainan yang melekakan bersama dengan barang-barang lain oleh sukarelawan Perodua.
"Perodua mengambil kesempatan ini untuk mengharapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada semua yang merayakannya. Semoga perayaan ini membawa kita semua lebih rapat, dan kita berharap untuk menuai hasil yang sama tahun depan," kata Datuk (Dr) Aminar.

Di Semenanjung Malaysia pula, Perodua sekali lagi mengunjungi Shan Children's Home di Perai, Pulau Pinang dengan sekumpulan 10 sukarelawan dari Pulau Pinang dan Kedah.

Pembuat kereta tempatan itu melawat Shan Children's Home pada malam ambang Deepavali, untuk menyumbang lebih RM20,000 dalam bentuk barang dan wang tunai dan mengumumkan komitmennya untuk program Tanggungjawab Korporat selama tiga tahun dengan rumah amal tersebut.

Kali ini, Perodua mengatur kelas membuat roti yang menyeronokkan dan berpendidikan untuk 19 kanak kanak di rumah itu. Para sukarelawan juga membantu kerja pembersihan tahunan dan menyampaikan mainan lembut kepada anak-anak di sana.

"Terdapat banyak cara untuk membantu kanak-kanak ini. Bantuan barangan dan kewangan dialu-alukan, tetapi kedua duanya akan habis dan dilupakan. Dengan melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti pendidikan seperti ini, kami berharap dapat melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang akan memberi manfaat kepada mereka sepanjang hayat mereka," kata Datuk (Dr) Aminar.

No comments: