ShellSelamatSampai sasar golongan muda


Melentur buluh biar dari rebungnya. Itulah hasrat Shell Malaysia dalam menerapkan kesedaran keselamatan jalan raya. Edisi tahun 2018 ditunjangi empat program utama yang bertujuan menekankan kepentingan keselamatan jalan raya di kalangan penunggang muda dan belia.

Shell Malaysia Road Safety Movement atau lebih dikenali sebagai #ShellSelamatSampai (#SSS) adalah program pelaburan sosial oleh Shell Malaysia yang menggerakkan kesedaran keselamatan jalan raya dan perubahan tingkah laku secara menyeluruh di kalangan penunggang motosikal dan belia. Golongan ini dikenalpasti sebagai golongan yang menyumbangkan kadar kematian tertinggi dalam statistik kemalangan jalan raya di Malaysia. Empat program utama tahun ini, #ShellSelamatSampai (#SSS) terdiri daripada #SSS School Outreach, #SSS MyLesen, #SSS School Challenge dan #SSS Varsity Challenge.
Program #SSS School Outreach akan menyaksikan usaha Shell Malaysia untuk menyampaikan mesej zon bebas kemalangan ‘Goal Zero’ melalui pertunjukan jelajah yang menyeronokkan, mempunyai unsur pendidikan dan interaktif kepada 20 buah sekolah di seluruh negara.

Dalam program #SSS MyLesen, Shell akan menaja 40 orang pelajar Sabah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin di Tuaran dan SMK Inanam di Kota Kinabalu untuk mendapatkan lesen motosikal yang sah. Pelajar yang terpilih akan berpeluang untuk menjalani latihan penunggangan berhemah, kesedaran keselamatan jalan raya dan bagaimana menghadapi kecemasan, serta bengkel penyenggaraan motosikal oleh Shell Advance. Program ini adalah kerjasama antara Shell Malaysia dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis trafik (PDRM) dan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, #SSS Varsity Challenge bertujuan mencabar penuntut di enam universiti terpilih di seluruh negara, iaitu Curtin University, Monash University, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara, untuk menghasilkan prototaip atau peranti teknikal bagi tujuan campur tangan keselamatan jalan raya yang dapat membantu mengelakkan kemalangan yang berkaitan dengan jalan raya di kalangan pengguna jalan raya. Hadiah Utama iaitu wang tunai sejumlah RM10,000 menanti projek yang paling mengesankan, kreatif dan mampan.
Pada tahun ini, 20 buah sekolah yang terpilih di seluruh negara akan turut mengambil bahagian dalam #SSS School Challenge, yang mempunyai objektif dan ganjaran yang sama dengan #SSS Varsity Challenge.

Buat julung kalinya, Shell Advance, jenama minyak enjin motosikal yang terkemuka di Malaysia, akan terlibat secara aktif dengan mengadakan bengkel penyenggaraan motosikal untuk memupuk kebiasaan penyenggaraan yang proaktif dan amalan pelinciran yang sewajarnya. Kenderaan yang disenggara dengan baik, termasuklah motosikal, adalah sangat penting dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sejak tahun 1957, Shell Malaysia merupakan pendukung yang kuat bagi peningkatan budaya keselamatan jalan raya di kalangan rakyat Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai #ShellSelamatSampai, sila layari www.shell.com.my.

No comments: