28,000 Myvi telah diserahkan Perodua

Perodua setakat ini telah menyerahkan sebanyak 28,000 buah kereta Myvi baharu. Angka ini merupakan hampir separuh daripada 60,000 pesanan yang diterima mereka setakat ini. Jelas sekali pengeluar kereta kompak tersebut terus meningkatkan pengeluaran hatchback mereka yang popular.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato' Dr Zahari berkata pelanggan yang menempah Myvi baru kemungkinan besar akan menerima kereta mereka tepat pada waktunya iaitu untuk cuti Hari Raya kelak. Setakat ini, Perodua telah memenuhi semua pesanan Myvi baru yang dibuat dalam tahun 2017.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan dan rakyat Malaysia atas sokongan kuat mereka terhadap Myvi, dan kami akan terus meningkatkan masa penghantaran pelanggan kami," kata Zahari.
Beliau berkata berdasarkan sokongan kukuh terhadap  model Perodua terkini serta permintaan yang sihat bagi model-model lain, mereka menganggarkan akan melepasi 41% kawalan pasaran bagi bulan Februari, dengan 17,100 kenderaan yang terjual berbanding anggaran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 41,100 unit.

Dari jumlah 17,100 unit tersebut, 6,500 merupakan model Myvi, 5,000 unit Axia, 3,700 buah Bezza dan selebihnya 1,900 merupakan model Alza.

Prestasi jualan Perodua meningkat 13.1% kepada 34,800 unit dalam dua bulan pertama tahun ini berbanding 30,800 kenderaan yang dijual dalam tempoh yang sama pada tahun 2017.

Perodua mensasarkan untuk menjual 209,000 unit tahun ini iaitu kenaikan sebanyak 2% berbanding  204,900 unit yang dijual pada tahun 2017.

"Untuk pertanyaan atau tempahan, kami meminta para pelanggan kami untuk berurusan hanya dengan kakitangan Perodua yang bertauliah di cawangan Perodua yang diberi kuasa," ujar Dato' Dr Zahari sebagai penutup kata.

No comments: