Periksa kenderaan secara percuma di Puspakom menjelang TBC mulai hari ini

 Menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) akan menganjurkan Kempen #drivesafenoregrets iaitu Pemeriksaan Kenderaan Sukarela secara percuma bagi pemilik kenderaan persendirian dari 5 hingga 15 Februari 2018. hidmat percuma ini berlangsung dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang di semua pusat pemeriksaan PUSPAKOM kecuali Shah Alam, Taman Bukit Maluri, Mak Mandin, Kota Bharu, Langkawi, Labuan dan Lahad Datu.
 Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM juga akan menawarkan pemeriksaan percuma di parkir Tesco Shah Alam, Seksyen 13 dan di kawasan Plaza Tol Alam Impian pada hari ini iaitu Ahad, 4 dan 11 Februari 2018 dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Orang ramai digalakkan untuk memeriksa kenderaan mereka secara percuma sempena kempen tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail, kempen #drivesafenoregrets ini merupakan salah satu komitmen dan tanggungjawab korporat PUSPAKOM dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap aspek keselamatan kenderaan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya khususnya ketika musim perayaan.
 “Inisiatif ini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan pemilik kenderaan. Sepanjang tempoh lima tahun ini, lebih 15,000 pemilik kenderaan persendirian telah memanfaatkan pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena musim perayaan. Kami rasa gembira kerana ribuan pelanggan mengambil peluang setiap kali pemeriksaan percuma ditawarkan.”

“Semua pemandu kenderaan perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan kenderaan mereka terjamin di jalan raya. Kami percaya kadar kemalangan dapat dikurangkan sekiranya setiap pemandu mengambil berat terhadap keselamatan kenderaan masing-masing. " ujar beliau.
 Sempena kempen ini, PUSPAKOM juga menganjurkan Pertandingan 'Snap & Win' atau Bergambar Bersama PUSPAKOM, di mana para pelanggan hanya perlu menjalani pemeriksaan percuma ini dan menghantar gambar melalui private message di Facebook rasmi PUSPAKOM. Gambar yang paling kreatif atau mendapat jumlah 'Like' tertinggi akan memenangi hadiah menarik. Sebarang pertanyaan lanjut berhubung pertandingan ini boleh diajukan ke laman rasmi Facebook PUSPAKOM.

Pelanggan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela ini boleh terus mengunjungi pusat pemeriksaan PUSPAKOM tanpa perlu membuat sebarang temujanji dan tidak memerlukan sebarang dokumen. Pemeriksaan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela ini merangkumi ujian pengeluaran asap, suspensi, gelincir sisi, bahagian atas dan bawah kenderaan, brek dan ketelusan cermin. Laporan pemeriksaan akan diserahkan kepada pelanggan sejurus selesai pemeriksaan dan boleh dijadikan sebagai rujukan bagi memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan dan pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen #drivesafenoregrets pemeriksaan percuma ini, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPAKOM 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang PUSPAKOM di www.puspakom.com.my, atau laman rasmi Facebook PUSPAKOM.

No comments: