Sisma kini edar Volvo

 Pengedar berdaftar Volvo Car Malaysia yang baharu iaitu  SISMA Auto telah membuka bilik pamerannya di pusat bandaraya di Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang. Bilik pameran tersebut, yang terletak di tengah-tengah kawasan kediaman dan komersial premier di Kuala Lumpur, membawakan sentuhan mewah gaya Sweden di Segi Tiga Emas dengan menampilkan persekitaran perniagaan Volvo Retail Experience (VRE) yang serba mewah dengan elemen reka bentuk Scandinavia.
 “VRE direka untuk mencerminkan nilai-nilai kami yang berasaskan inspirasi Scandinavia yang tenang dengan garisan bersih yang menyerlahkan daya tarikan visual luaran yang nyaman dan segar sementara bahagian dalamannya menawarkan suasana yang mesra dan menarik kepada pelanggan,” kata Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Lennart Stegland.

Pengarah Urusan SISMA Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim menambah bahawa bilik pameran baru ini akan membantu dalam menyerlahkan dan memperkenalkan barisan kereta mewah Volvo yang terkini.
 “Kami begitu bangga kerana dapat menyertai rangkaian Volvo, jenama yang nyata sedang meningkat selepas melancarkan barisan model baru yang mengagumkan dari XC90 hinggalah S90 T8 Twin Engine baru. Dengan adanya bilik pameran baru ini, kami berhasrat untuk membawakan pengalaman Volvo kepada mereka yang tinggal atau bekerja ibu kota,” kata beliau. 
 Pemilik Volvo yang tinggal atau bekerja di kawasan sekitar bilik pameran tersebut turut dapat menikmati pengalaman pemilikan premium yang menjadi lambang SISMA Auto. Bilik pameran baru ini akan menampilkan Perkhidmatan Concierge SISMA Auto, yang menawarkan pengambilan dan penghantaran kenderaan dari rumah atau pejabat.

Sempena pembukaan bilik pameran baru ini, SISMA Auto menawarkan peluang untuk memenangi lawatan ke Sweden yang ditaja sepenuhnya kepada pelanggan yang membeli mana-mana model baru Volvo dari syarikat tersebut. Bilik pameran Volvo Bukit Bintang SISMA Auto yang baru ini terletak di Tingkat Bawah, Menara Worldwide, 198 Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur. Nombor telefon untuk dihubungi ialah  03-2166 5155. Ia dibuka dari 9.00 pagi hingga 7.00 petang dari Isnin hingga Jumaat dan dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad.
Pengarah Urusan SISMA Auto Syed Khalil Syed Ibrahim menerima cenderahati dari Pengarah Urusan VCM  Lennart Stegland
 Sementara itu, Syed Khalil menyatakan bahawa syarikat tersebut masih amat komited untuk membangunkan jenama Jaguar Land Rover di Malaysia dalam jangka masa yang panjang. SISMA Auto akan terus menjalankan operasi cawangan Jaguar Land Rover di Glenmarie dan Pulau Pinang untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan setianya.

SISMA Auto merupakan pengedar dan penyedia perkhidmatan berdaftar bagi Volvo, Jaguar dan Land Rover di Malaysia. SISMA Auto juga merupakan rakan usaha sama di Jaguar Land Rover (Malaysia), pengimport dan pengedar eksklusif bagi Jaguar dan Land Rover di Malaysia.
 Kini, syarikat ini mengendalikan 3 perniagaan automotif – Jaguar Land Rover Glenmarie, Jaguar Land Rover Penang serta Volvo Bukit Bintang (Kuala Lumpur) yang baru dibuka.

SISMA Auto mula beroperasi lebih 20 tahun yang lalu pada tahun 1994 sebagai pengimport dan pengedar eksklusif bagi kereta Jaguar di Malaysia. Pada tahun 2014, Land Rover menyertai keluarga SISMA Auto menerusi penubuhan Jaguar Land Rover (Malaysia), dengan rakan usaha sama Sime Darby Motors. Pada tahun 2017, syarikat ini menyertakan jenama premium yang ketiga, iaitu Volvo, kepada portfolionya.

SISMA Auto adalah cabang automotif Kumpulan Syarikat SISMA. Ia diasaskan oleh Allahyarham Dato’ Syed Ibrahim Syed Mohamed dan abangnya, Syed Hussain Syed Mohamed, yang kini merupakan Pengerusi syarikat tersebut. Hari ini, Kumpulan SISMA adalah generasi kedua kumpulan syarikat milikan keluarga ini.

Yamaha menyerlah di Cub Prix Musim 2017

Kejayaan pasukan pasukan berasaskan jentera Yamaha yang bertanding dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 menjadi bukti kemampuan jenama tersebut dalam memenuhi cabaran getir dan ketahanan yang didambakan dalam dunia perlumbaan motosikal tersohor tempatan itu. Pasukan pasukan yang didokong Yamaha telah berjaya menguasai ketiga tiga jategori utama yang dipertandingkan dalam kejohanan tersebut iaitu kategori perdana CP150, kategori pertengahan CP115 dan kategori Wira yang merupakan kategori kemasukan pelumba muda.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor membuktikan kedudukan mereka selaku pasukan terbaik dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS setelah merangkul gelaran juara keseluruhan berpasukan dan juga individu. Ia merupakan tahun kedua berturut-turut mereka menyapu bersih kesemua piala utama selepas turut melakukannya pada musim 2016. Ayam tambatan mereka, Kasma Daniel Kasmayuddin telah merangkul gelaran juara keseluruhan kelas perdana yang kedua dengan memenangi kejuaraan julungkalinya untuk kategori CP150, selepas memenangi gelaran CP130 pada musim 2016. Pasukan ini turut diwakili Md Ramdan Rosli dan pelumba senior Ahmad Fazli Sham.

Tempat kedua bagi kategori ini telah dimenangi oleh pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ yang diwakili Md Iqbal Amri Abd Malek, Md Fitri Ashraff Razali dan Ahmad Afif Amran. Afif juga merupakan penyandang tempat kedua dalam kejuaraan keseluruhan. Tempat ketiga juga diduduki oleh satu lagi pasukan Yamaha iaitu pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang yang diwakili Md Adib Rosley, Md Izzat Zaidi Md Salehan dan Md Azhar Abd Jalil.
Dalam kategori pertengahan CP115 pula, seorang lagi pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor  iaitu Mohd Akid Aziz pula berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan CP115 buat tahun kedua berturut-turut. Akid telah digandingkan dengan Md Haziq Fairues untuk menghadiahkan gelaran juara berpasukan kategori ini kepada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor. Tempat kedua kategori ini juga diungguli pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ bersandarkan gandingan Nazirul Izzat Md Bahauddin dan Ahmad Syukran Aizat. Sementelah itu, gandingan Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Tengku Amirul Haffirudin dalam pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang telah menempatkan mereka sebagai pasukan ketiga terbaik dalam kategori CP115 ini.
Kejayaan yang sama turut dicatat pasukan Yamaha dalam kategori Wira bilamana Md Aiman Tahiruddin yang menunggang untuk pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - AFB Tech telah muncul sebagai juara keseluruhan musim 2017.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor juga mempunyai satu lagi misi penting iaitu untuk memenangi gelaran individu kategori Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang akan berlangsung di Thailand, awal Disember nanti. Pasukan ini telahpun dinobatkan sebagai gelaran pasukan terbaik kategori tersebut musim 2017 ini.