Diskaun untuk pemilik Mitsubishi terjejas banjir

Mitsubishi Motors Malaysia menawarkan diskaun 40% untuk ala ganti dan upah buruh mulai hari ini hingga 31 Disember kepada pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir. Walaubagaimana pun, hanya kenderaan yang dibeli daripada pengedar sah MMM yang akan layak, dan tertakluk kepada pengesahan untuk memastikan kesahihan.

"Kami berharap Usaha Bantuan Banjir ini dapat membantu meringankan beban pelanggan kami dalam tempoh yang sukar ini. Doa dan hasrat terbaik kami pohonkan kepada para pelanggan dan keluarga mereka yang telah terjejas oleh banjir, "kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.

Selain diskaun alat ganti, MMM juga akan menawarkan perkhidmatan menunda kenderaan yang terlibat dalam banjir secara percuma untuk ke pusat servis Mitsubishi terdekat. Pelanggan yang terjejas perlu membuat laporan polis dan kemudian membuat panggilan ke talian Careline Pelanggan Mitsubishi Motors di 1-800-88-2166 atau 03-7803 1566 untuk mendapatkan perkhidmatan menunda percuma.

MMM bersama-sama dengan 120 ahli Kelab Triton Tuners dan pengedar Mitsubishi bertauliah juga telah memulakan program pembersihan di beberapa kawasan yang telah dilanda banjir.