Jualan Proton naik 12.5%


Nampaknya seperti keyakinan pembeli terhadap produk keluaran PROTON kekal utuh. PROTON dilaporkan mengalami kenaikan jualan 12.5% setakat tahun sehingga kini, dengan jumlah jualan sebanyak 56,297 unit berbanding 50,091 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ini dapat dicapai meskipun keseluruhan jualan kereta pada September 2017 mengalami penurunan berikutan bilangan cuti umum yang banyak pada bulan tersebut. Peningkatan ini turut disebabkan oleh pertumbuhan sebanyak 1.7% tahun sehingga kini untuk jumlah besar industri (TIV) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"PROTON amat bernasib baik dengan perancangan model Saga dan Persona yang masing-masingnya dilancarkan pada Ogos dan September 2016. Dengan penambahbaikan yang dilakukan pada kedua-dua model ini, PROTON telah berjaya meningkatkan penjualan kereta, di mana sebahagian besarnya adalah melalui hasil jualan kedua-dua Saga dan Persona, iaitu 42.7% (24,061 unit) dan 27.4% (15,448 unit) bagi keseluruhan jualan kereta Proton setakat ini. Bagi tahun ini, jumlah jualan kedua-dua model ini juga lebih baik berbanding 2016 dengan peningkatan sebanyak 9,661 unit. Persona pula telah memperlihatkan kenaikan sebanyak 90% pada tahun sehingga kini berbanding tempoh yang sama tahun lepas," kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON, Abdul Rashid Musa.
 Pendekatan yang diambil Proton dalam membawa kereta Proton dekat kepada pelanggan telah mula menampakkan hasil. PROTON sedang giat melakukan siri jelajah dengan lebih agresif, memasuki ke lokasi kawasan yang sibuk terutama pada hujung minggu. Pameran ciri-ciri keselamatan utama yang ada pada kereta-kereta Proton di siri jelajah PROTON telah dapat menarik minat orang ramai. Ini menunjukkan tanda-tanda yang positif bagi PROTON dan inilah sebabnya PROTON memerlukan rakan kongsi yang baik untuk memastikan Syarikat dapat terus kekal berdaya saing di pasaran. PROTON sedar akan cabaran-cabaran yang mendatang dan bersama rakan kongsi baharu, Syarikat akan terus bekerja bersama untuk mendapatkan hasil yang lebih baik," tambah Rashid. Melihatkan kepada maklum balas positif yang diterima daripada pelanggan, PROTON kini meneruskan tawaran 5 nilai hebat dengan servis percuma selama 5 tahun* dan waranti selama 5 tahun* untuk setiap pembelian kereta Proton di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau e-mel kepada kami di customercare@proton.com. Pelanggan juga boleh layari www.proton.com atau Facebook rasmi PROTON di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi rasmi mudah alih MyProton, yang boleh didapati melalui Google Play dan Apple App Store.

 *Perkhidmatan percuma tamat selepas 5 tahun atau 100,000km (mana-mana terdahulu) termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja. Waranti tamat selepas 5 tahun atau 150,000km, mana-mana terdahulu. Tawaran bermula 1 Nov hingga 30 Nov 2017.

Perodua lancar kempen keselamatan 5-tahun

Perodua telah melancarkan satu kempen keselamatan jalan raya yang bertujuan menggalakkan tingkah laku pemandu untuk mematuhi undang-undang lalu lintas asas serta mengamalkan tabiat pemanduan yang baik. Kempen ini akan berlangsung selama lima tahun di seluruh negara.

Tumpuan awal program ini adalah pada empat tabiat pemanduan yang baik, iaitu memakai tali pinggang keledar, tidak menggunakan peranti mudah alih semasa memandu, penggunaan lampu isyarat tunjuk arah dan penggunaan kerusi kanak-kanak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata kempen keselamatan itu termasuk mempamerkan bahan promosi di kedai-kedai jualan dan servis Perodua di seluruh negara. Mesej keselamatan disasarkan untuk menjangkau 1 juta pelanggan dalam tempoh setahun dari program ini.

"Kami percaya bahawa sasaran 1 juta ini dapat dicapai dengan jumlah 1.2 juta pelanggan yang menjunjungi pusat jualan dan perkhidmatan kami setiap tahun, dan kami akan mengambil kesempatan ini untuk mendidik kebiasaan memandu positif menerusi sentuhan ini," kata Aminar .

Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua dan Tempat Duduk Kanak Kanak Perodua telah dilancarkan secara rasminya oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Dato 'Ab Aziz Kaprawi pada satu majlis di Perodua Sentral, Petaling Jaya di sini pada 30 Oktober lepas.

Mulai sekarang hingga Tahun Baru Cina 2018, tempat duduk kanak kanak ditawarkan pada harga pengenalan RM660 untuk Bayi dan RM780 untuk Kanak Kanak. Selepas tempoh promosi, Tempat Duduk Bayi akan berharga RM790 dan yang Kanak Kanak pada RM980.

"Kami percaya bahawa produk yang kami tawarkan bersaing dengan jenama lain, apatah lagi ia nya datang dengan pengiktirafan kami," kata Datuk (Dr) Aminar.

Tempat duduk bayi itu direka untuk bayi yang seberat sehingga 13 kg dan boleh didapati dalam warna merah atau kelabu. Sementara itu, kerusi kanak kanak adalah untuk kanak-kanak seberat 9-36 kg dan ditawarkan dalam warna merah atau hitam.

Satu lagi inisiatif keselamatan Perodua ialah pemeriksaan kenderaan Tweckbot. Perodua menjadi salah satu pembuat kereta pertama di Malaysia untuk memiliki kempen keselamatan berasaskan media sosial apabila Tweckbot dilancarkan pada tahun 2011.


Menawarkan pemeriksaan kenderaan 50-perkara percuma untuk semua kenderaan Perodua setiap tempoh perayaan, Tweckbot telah memeriksa kira-kira 5,000 kenderaan sejak penubuhannya, mewakili usaha Perodua untuk memastikan keselamatan dan kesesuaian kenderaannya.

"Sebagai sebahagian daripada Program Keselamatan Jalan Raya selama lima tahun, Perodua berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk membuat jalan raya lebih selamat. "

"Kami adalah penyokong kuat usaha kerajaan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan mahu memainkan peranan kami," kata Aminar.


Mara Liner Sdn Bhd jual bas elektrik


Jalinan kerjasama strategik bagi menjalankan pembangunan, pembuatan serta kejuruteraan bagi penghasilan bas elektrik untuk pasaran tempatan telah dimaterai antara GO Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GO Automobile) dan Mara Liner Sdn Bhd (MLSB) serta Higer Bus Company Limited .  Hasil kerjasama tersebut, MLSB juga dilantik sebagai wakil jualan sah selain menyediakan perkhidmatan selepas jualan bagi semua produk Go Auto termasuklah bas elektrik.

" Kami berbesar hati kerana diberikan peluang oleh MLSB," kata Pengarah Eksekutif GO Auto, Dato' SM Azli SM Nasimuddin Kamal. Pihaknya turut menyerah seunit bas elektrik kepada MLSB bagi tujuan latihan dan penyelidikan. Kerjasama ini dianggarkan menelan kos pelaburan lebih daripada RM30 juta selain bakal melonjakkan lagi GO Automobile dan MLSB dalam industri pengangkutan negara lebih berdaya saing dalam teknologi kenderaan elektrik (EV).  Ini secara tidak langsung meletakkan GO Automobile sebagai antara syarikat peneraju utama yang komited mahu membangunkan ekosistem EV secara serius.
 Go Automobile & MLSB menandatangai majlis perjanjian persefahaman (MoU) dalam acara Memacu Agenda Bumiputera pada April lepas yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Dengan perjanjian itu, GO Automobile bakal membekal bas elektrik kepada MLSB bagi program di bawah UNIBUS Initiative yang akan dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada Januari 2018 sebelum meneruskan ke universiti pengajian awam lain.

Akid mungkin muncul Juara Keseluruhan di Batu Kawan




Mohd Akid Aziz semakin hampir untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam kategori CP115 menjelang saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017. Pusingan 9 akan berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, 4 dan 5 November ini.

Juara bertahan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu pernah menyertai kem latihan YAMAHA VR46 MASTER CAMP kali ketiga bersama Valentino Rossi pada bulan Mei lepas.

Akid kini selesa mendahului kedudukan dengan mengumpul 155 mata, 48 mata mengatasi rakan sepasukan, Mohd Haziq Mohd Fairues di kedudukan kedua dengan 107 mata. Akid perlu menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 atau lebih baik bagi memungut minima dua mata untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP115 untuk tahun kedua berturut-turut. Cuma Haziq masih berpeluang mencabar, namun agak sukar dengan hanya baki dua pusingan sahaja lagi.
Gandingan Mohd Akid dan Mohd Haziq terlebih dahulu berjaya mempertahankan gelaran pasukan terbaik buat PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada musim lepas setelah perlumbaan pusingan 8 di Jempol, Negeri Sembilan berakhir. Pasukan ini turut telah mengesahkan status pasukan terbaik dalam kategori CP150 di Jempol.