Yamaha Y15ZR SE Edisi MotoGP kini ditawarkan

Segmen moped dan skuter membentuk kira-kira 80% daripada jumlah motosikal yang dijual di jalan raya di Malaysia. Peminat motosikal moped tentunya telah mengetahui bahawa Yamaha Y15ZR merupakan alternatif yang bersesaran lebih besar dari Yamaha LC135, malah ada yang memanggilnya sebagai LC150. Namun begitu, sebenarnya Yamaha Y15ZR merupakan model yang agak tersendiri dan berbeza, malah telah mencetuskan seakan satu fenomena bila ia nya dilancarkan.
Jentera ini turut di kenali sebagai Yamaha Exciter 150 FI atau Jupiter MX King di sesetengah negara Asean, dan merupakan antara moped paling berkuasa dan terbesar dalam kelasnya. Kapasiti enjin 150 cc nya adalah antara kapasiti enjin terbesar dalam segmen underbone, ditambah pula dengan system sejukan cecair dan sistem suntikan bahan api. 
Yamaha Y15ZR ini di kuasakan enjin 150cc SOHC sejukan cecair yang berkuasa dengan penggunaan bahan api yang cekap dan mesra alam. Enjin dengan kotak gear lima kelajuan ini diambil dari enjin suntikan bahanapi FZ150 yang kemas dipasang dalam kerangka mopednya. Ia mampu menjana 15.2hp pada 8,500rpm dan menghasilkan tork maksimum 18.5Nm pada 7000rpm.
 Tangkas meningkat sehingga ke garis merah 10,000 rpm, sistem suntikan bahan api pada motosikal moden dipilih bagi pembakaran yang lebih efisien, sekaligus menjadikan enjin lebih cekap bagi membakar bahan api pada campuran yang tepat dan menjimatkan. Peralihan gear sewaktu tunggang-uji yang dijalankan juga dirasakan kemas dan agak tangkas tanpa tersangkut, dan nisbah gear akhir dengan penghantaran rantai ini mampu menghasilkan kelajuan maksima yang mampu melebihi 130kmj di jalan rata (pada meter). Dengan bekalan bahanapi penuh sebanyak 4.2 liter, ia dijangka mampu mencapai jarak sehingga 160km.
Kuasa hentian Yamaha Y150ZR ini berbekalkan sistem brek cakera depan dan belakang, serta dibekalkan gabungan suspensi yang memuaskan bagi tunggangan harian. Suspensi depannya adalah sama seperti yang terdapat pada LC135, dan mungkin harus lebih besar sedikit diameternya bagi meningkatkan keupayaan fork depan untuk mempunyai daya penerapan kejutan yang lebih baik bagi bahagian depan.
Rekabentuk Yamaha Y15ZR tentunya tidak mengecewakan dengan penampilan gaya moden tersendiri yang mengambilkira ciri ciri aerodinamik yang lebih efisyen, dan sudah tentunya menyumbang kepada nilai estetika yang menarik perhatian semua golongan tua dan muda. Lampu kedudukan LED dengan 8 mentol menyediakan cahaya keselamatan yang lebih terang yang membolehkan dilihat dari jauh. Lampu belakang LED nya juga cerah untuk membantu agar kelihatan apabila menunggang dalam gelap dan semasa membrek.
Cuma ruang simpanan barangannya amat terbatas, dan akan memerlukan anda menggalas beg jika ada barangan yang perlu dibawa. Pemasangan bakul barangan bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi mungkin akan mengganggu rupabentuk estetiknya yang merarik itu. Gegancu belakangnya juga dipasang pelindung rantai bagi mengelakkan rantai terbelit jika ia nya putus. Oleh itu bagi mereka yang gemar menggunakan mangga kunci untuk dipasang ke gegancu belakang haruslah memilih mangga kunci yang bertangkai panjang sedikit.

Bagi meraikan acara MotoGP tahun ini, Yamaha Y15ZR kini datangkan dalam skim warna dan grafik khas. Harga asas yang ditawarkan bagi Yamaha Y15ZR ini adalah RM 8,891.28 termasuk GST (tanpa insurans dan cukai jalan).

Spesifikasi 2015 Yamaha Y15ZR teknikal:
Enjin 149.7cc satu selinder 4 lejang, 4 injap, SOHC, sejukan cecair
Gerek X lejang 57.0 x 58.7 mm
 nisbah mampatan 10.4: 1
Kuasa maksima 15.2hp / 8500 RPM
 Tork maksima 13.8 N · m (1.4 kgf · m) / 7000 RPM
Penghidup Elektrik
Kapasiti minyak 1.15 liter
Kapasiti bahan api 4.2 liter
Suapan Suntikan bahan api
Nyalaan T.C.I (Digital)
Hantaran Akhir - Rantai
Sistem klac emparan basah
Nisbah penghantaran  5-kelajuan
1: 2,833
2: 1,875
3: 1,429
4: 1,143
5: 0,957
Kerangka jenis keluli struktur berlian
Tayar 70 / 90-17M / C 38P / 120 / 70-17M / C 58P (tanta tiub)
Brek depan satu angkup cakera hidraulik (diameter 245,0 mm)
Brek belakangsatu angkup cakera hidraulik (diameter 203,0 mm)
Suspensi depan  Teleskopik
Suspensi belakang monocross
Lampu depan Halogen 12V 35 / 35W × 1
Dimensi 1970 mm × 670 mm × 1080 mm
Ketinggian pelana 780 mm
Jarak roda 1,290 mm
Berat kering 115 kg
Kelegaan bumi 135mm






















Super Cub Cross Cub bakal diperkenal Honda


Super Cub 110 Konsep
Honda diberitakan merancang untuk mendedahkan model pengeluaran baharu dan dua Super Cub konsep pada pameran Tokyo yang akan datang. Siri Cub ikonik ini akan menyambut ulangtahun ke-60 pada 2018, dan dalam bulan Oktober ini pengeluaran kumulatifnya akan mencecah 100 juta unit.

Pameran Motor Tokyo tiap dua tahun itu merupakan pameran kereta dan motosikal yang paling berprestij di Jepun dan dua kebetulan akan menjadikan edisi ke-45 pameran ini menjadi lebih istimewa buat Honda.

Perayaan berganda ini akan diterajui oleh pengenalan Cross Cub (atau CC 110) baharu, varian yang pertama kali diperkenalkan sebagai model konsep di pameran Osaka pada tahun 2013. Walaupun ia dinanti dengan penuh semangat di seluruh dunia, ia tidak pernah sampai ke pasaran barat, dan hanya untuk dijual di Jepun sebagai model bukan eksport (digambarkan di bawah).
Cub Cross 110
Pada masa ini Honda tidak menjelaskan sama ada model baharu itu dirancang untuk pengedaran ke seluruh dunia atau tidak, tetapi kemungkinan ia nya masih menggunakan platform Wave 110i yang terbukti sangat berjaya.

Selain Cross Cub, Honda juga mengumumkan kehadiran dua Super Cub konsep baharu iaitu model 110 dan juga 125C. Model 110 itu akan menjadi model keluaran bersempena pengeluaran 100 juta unit yang dihasilkan setakat ini, sementara model 125C mungkin akan menjadi permulaan model pengeluaran masa depan.
Honda Super Cub 50 ini masih lagi dikeluarkan di Jepun atas dasar penghormatan kepada model ini sebagai motosikal kecil yang telah memulakan segala galanya.

GO Auto terajui pengeluaran kenderaan elektrik komersil





GO Auto kini dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar dan komponen kenderaan elektrik (EV) serantau apabila mereka memperkenalkan bas elektrik dalam masa terdekat. Pengarah Eksekutif Go Auto, Dato' SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata mereka kini berada di berada atas landasan tepat  dan semua prototaip EV kini sudah hampir siap sepenuhnya.

Go Auto diberikan kepercayaan untuk membekalkan bas elektrik yang melibatkan kos pelaburan bernilai RM30 juta daripada kerajaan negeri Melaka. "Unit terawal bas elektrik dijangka diserahkan pada hujung tahun ini," tambah Azli lagi. Go Auto kini dalam peringkat perbincangan terakhir untuk beberapa projek baharu lagi bagi membekalkan bas elektrik lain.  
 Selaras Dasar Automotif Negara (NAP) 2014, Malaysia menetapkan sasaran satu juta jumlah jualan industri (TIV) menjelang 2020, dan 10 peratus ialah EV. Pembabitan Go Auto dalam membangunkan EV dan komponen berteknologi tinggi adalah sebahagian usaha menjayakan NAP2014.

Ia secara tidak langsung meletakkan Go Auto sebagai antara syarikat peneraju utama yang komited mahu membangunkan ekosistem EV secara serius.

"Kami berbangga apabila diberikan kepercayaan dan komited mahu membangunkan komponen EV untuk pasaran Malaysia dan ASEAN.   

"Bagi memastikan penghasilan komponen EV berjalan lancar, kami menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar EV seperti pembuat bateri Microvast dari Amerika Syarikat dan pengeluar bas Higer,” kata Azli lagi. 


'The Masseuse' juara produksi Filem Pendek BMW Shorties





Penglibatan pihak swasta dalam memajukan khazanah seni negara sememangnya harus dialu alukan. Salah sebuah syarikat automotif yang giat menyokong industri perfileman ialah BMW Malaysia.

BMW Shorties telah diperkenalkan sebagai satu platform untuk pembikin filem meneroka dan berkongsi bakat mereka. Kembali untuk tahun ke sebelas, tema BMW Shorties untuk tahun 2017 ialah “Visi”. Ia bertujuan menyerlahkan elemen futuristik dan kesan pertandingan ini terhadap industri perfileman di Malaysia. Selepas meraikan penganjuran selama 10 tahun pada tahun lalu, BMW Shorties nyata positif dengan impak ke atas rakyat dan industri filem Malaysia pada masa depan. 

Pertandingan filem pendek BMW Shorties menawarkan pembikin filem peluang untuk memenangi hadiah utama berupa geran produksi bernilai RM75,000 selain prospek dalam industri pembikinan filem. Antara anugerah yang disediakan kepada pembikin filem berpotensi ialah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik,  Pelakon Wanita Terbaik,  Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik,  Reka Bentuk Produksi Terbaik,  Suntingan Terbaik, Reka Bentuk Bunyi Terbaik dan Anugerah Pilihan Penonton.  


BMW Group Malaysia telah mengadakan tayangan perdana ‘The Masseuse’, produksi BMW Shorties terkini daripada pemenang Hadiah Utama BMW Shorties 2016, Tan Ce Ding. Sama seperti filemnya, ‘Hawa’ yang memenangi anugerah tahun lalu, filem pendek terkini Tan Ce Ding itu menyerlahkan visi beliau dalam genre sains fiksyen. Ia mengisahkan tentang kisah cinta di antara robot dan manusia pada masa depan serta peranan mereka dalam masyakat yang maju. 


 ‘The Masseuse’ ialah sebuah kisah cinta sains fiksyen dalam setting Kuala Lumpur yang futuristik di antara seorang tukang urut humanoid dan jurutekniknya. Dia memiliki masa silam yang kelam, terganggu dan agenda yang masih belum dapat dilunaskan. Filem ini bertumpu kepada hubungan di antara robot dan manusia pada masa depan serta peranan mereka dalam sebuah masyarakat yang maju.
 

Ce Ding menjelaskan bahawa inspirasi di sebalik ‘The Masseuse’ adalah minatnya terhadap kisah-kisah sains fiksyen yang mempunyai pengikut tersendiri di negara ini. Jelasnya, “Saya memang seorang yang sentiasa ingin membawakan kisah manusia biasa berdepan dengan kepelbagaian yang luar biasa ke layar skrin. Malah dalam filem pendek ‘Hawa’ sebelum ini, konsepnya adalah untuk menunjukkan bagaimana kanak-kanak normal di Malaysia menjalani hidup dan memberi reaksi apabila berdepan dengan cabaran masa depan. Dalam filem baru ini, saya mahu meneroka elemen emosi manusia dan robot dengan tema cinta, benci, gembira, sedih dan penolakan.” 

“Apabila saya dan pasukan memenangi geran produksi berjumlah RM75,000 kami terus melihat peluang untuk meneroka satu lagi sisi genre filem sains fiksyen. Seterusnya mengembangkan elemen-elemen masyarakat Malaysia pada masa depan yang kami telah cipta terlebih dahulu dengan ‘Hawa’. ‘The Masseuse’ merupakan satu projek yang menarik kerana kami berpeluang untuk memikirkan bagaimana robot dan manusia boleh hidup bersama di Kuala Lumpur yang moden,” kata pembikin filem, Tan Ce Ding.


Watak lelaki utama dalam filem pendek ini dimainkan oleh Koe Shern, pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam filem pendek bertajuk ‘32° C Fall In Love’ dalam BMW Shorties 2013, hasil karya Tan Seng Kiat. Manakala watak humanoid pula dimainkan oleh Candy Ice,  pelakon wanita utama dalam filem pendek bertajuk ‘Murdered’, nukilan Chua Dick Woei yang memenangi anugerah pada BMW Shorties 2012.    

 Selain meneroka idea-idea pembikinan filem, medium dan saluran yang baru. Sebagai seorang pembikin filem, Ce Ding mengetengahkan satu visi yang fokus terhadap elemen dan genre futuristik serta sains fiksyen. Digabungkan dengan keberanian, ia jelas melengkapkan beliau dengan potensi untuk menyertai pergerakan yang mendefinisikan semula generasi baru menerusi filem.

Pertandingan pada tahun ini diadili oleh barisan pembikin filem terbaik Malaysia yang terdiri daripada penerbit kreatif yang memenangi anugerah, Nandita Solomon; penulis lakon layar dan pembikin filem yang kian meningkat naik, Nadira Ilana; penulis skrip dan pelakon, Redza Minhat serta pembikin filem yang memenangi anugerah, Ho Yuhang dan Tan Chui Mui.

Penyertaan pertandingan BMW Shorties 2017 kini masih terbuka hingga Jumaat, 20 Oktober 2017. Maklumat lanjut mengenai BMW Shorties dan bagaimana untuk turut serta, layari laman web rasmi BMW Shorties: www.bmwshorties.com.my atau laman Facebook rasmi BMW Shorties: www.facebook.com/bmwshorties.





Menangi sejuta hadiah dengan belian Toyota

 Pembelian sebuah Totoya kini mungking membolehkan anda memenangi hadiah bernilai RM1 juta dalam kemeriahan "Toyota RM1,000,000 Bonanza" dari 1 Okt hingga 31 Dis 2017. Jumlah nilaian hadiah tersebut termasuklah tiga unit Toyota Camry 2.5 Hybrid sebagai Hadiah Utama dan 100 unit telefon pintar bernilai RM5,000 setiap satu.
Pengedar Toyota di Malaysia iaitu UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) sentiasa berusaha memberikan promosi yang cemerlang pada bulan Oktober dengan tawaran istimewa bagi pelbagai model Toyota. Rebat sehingga RM7,000 boleh didapati bagi model terpilih dan dipadankan dengan aksesori Toyota yang bernilai sehingga RM5,790. Terdapat juga perkhidmatan servis berjadual percuma (termasuk alat ganti yang diperlukan) sehingga 3 tahun untuk model terpilih.

Pelanggan yang membeli salah satu model Toyota terpilih akan menikmati tawaran berikut:

Model
Promosi Rebat Tunai
  Vios
 Rebat Tunai sehingga RM3,000* + Aksesori Percuma (bernilai sehingga RM4,100)
  Hilux
 Rebat Tunai RM4,000 DC 2.4G (M), DC 2.4G (A) & DC 2.8G (A)
  Camry
  Rebat Tunai RM7,000  + Servis Percuma 1 Tahun
  Altis
Rebat Tunai  RM5,000 + Aksesori Percuma (bernilai RM5,790)
  Innova
 Rebat Tunai RM3,000 + Servis Percuma 1 Tahun
  Fortuner
 Rebat Tunai RM3,000
  Avanza
 Rebat Tunai RM2,000
  Sienta
 Rebat Tunai RM4,000 atau Rebat Tunai RM3,000  +Servis Percuma 3 Tahun
  (Semua tawaran adalah untuk varian terpilih dan tertakluk kepada Terma dan Syarat, sementara stok terakhir).
 Pelanggan yang memerlukan pelan pembiayaan juga boleh menyemak tawaran perkhidmatan Toyota Capital seperti pelan pembiayaan Toyota 2-Peringkat yang menawarkan ansuran bulanan yang lebih rendah untuk graduan dan pelan pembiayaan Toyota Drive, yang pertama seumpamanya, yang lebih menjimatkan bagi pelanggan.

Datang ke di ruang pameran Toyota pada 6 & 7 Okt di cawangan Kelantan & Terengganu atau 7 & 8 Okt di semua cawangan Toyota yang lain di seluruh negara. Anda boleh menikmati hidangan ringan, aktiviti yang menyeronokkan, peluang memandu uji dan banyak lagi!

Semua model Toyota yang dijual oleh UMW Toyota Motor datang dengan jaminan selama 5 tahun dan perbatuan tanpa had (kecuali Toyota Hilux dengan jarak tempuh maksimum 150,000 km) untuk pemilikan yang menenangkan. Waranti boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya jika tempoh lakunya masih sah.

Untuk maklumat lanjut tentang pakej-pakej pembiayaan dan tawaran ini, layari www.toyota.com.my.