Piaggio Medley S150 ABS berteknologi


Pengedar Piaggio di Malaysia kini memperkenalkan Piaggio Medley S 150 ABS baharu. Medley direka untuk individu yang memerlukan skuter moden untuk perjalanan komuter. Ia dilengkapi peralatan keselamatan tinggi seperti brek dwi-cakera dengan ABS dan roda diameter besar.

Penampilan bahagian depannya menonjolkan paparan klasik skuter roda tinggi. Permukaannya lebih luas bagi meningkatkan lagi perlindungan aerodinamik dan meningkatkan keselesaan menunggang. Hendalnya dibentuk agar mampu memberikan perlindungan kepada penunggang, dan menempatkan sebuah kluster instrumen yang diperhalusi dengan bingkai kromium.
Paparan digital sedia memaparkan semua maklumat yang diperlukan, sementara susunan lengkap lampu amaran mengawasi semua fungsi, bermula dengan ciri henti dan jalan "Start & Stop" dan kemudiannya merankumi pemeriksaan sistem suntikan, tekanan minyak, penunjuk pengaktifan ABS dan pelumpuh enjin (immobilizer).

Penghadang depannya mempunyai petak simpanan luas yang dapat dicapai dengan mudah dari tempat duduk penunggang. Terdapat juga soket USB di dalam petak simpanan tersebut untuk anda mengecaj telefon atau peranti pintar anda.
Pelana yang besar dan selesa buat kedua dua penunggang dan pembonceng dibuka secara elektrik dengan menekan butang pada hendal, namun terdapat juga kunci mekanikal tradisional yang terletak di bahagian simpanan penghadang kaki pembonceng. Terdapat juga lampu siang LED yang inovatif dan menerlahkan ciri tersendiri skuter ini.

Bahagian depan skuter ini diapung dengan tupang atau fork bergaris pusat 33 mm, dan diseimbangkan dengan sepasang penyerap kejutan berpegas gegelung dengan pramuat boleh-laras 5-tahap. Roda hadapan 16" menawarkankan kestabilan, keselamatan dan keselesaan. Roda aluminium ini mempunyai reka bentuk berjejari enam yang elegan. Konfigurasi rim roda besar depan 16" dan belakang 14" yang diperbuat daripada aloi aluminium dengan enam jejari dan tayar 100/80 dan 110/80 itu menjanjikan kestabilan yang baik dan kelincahan bagi skuter seberat 132 kg (basah) ini.

Mengekalkan garis-arus praktikal, bahagian ekor mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan dua buah topi keledar. Ia dimungkinkan dengan rekaan bentuk ekor dan penempatan semula tangki bahan api di bawah papan pemijak kaki. Tangki bahan api berpusat di tengah ini juga membantu Medley dalam pengendaliannya memandangkan berat badan kini difokuskan kepada bahagian tengah skuter seperti banyak skuter lain terdahulu.

Sistem brek ini terdiri daripada satu cakera depan 260 mm, dengan angkup dwi-omboh terapung, disokong cakera 240 mm di belakang. ABS dwi-saluran ini adalah peralatan standard dan memastikan roda tidak terkunci di jalan licin.

Medley dikasakan enjin 150 cc i-Get yang dilengkapi dengan sistem henti dan mula "Start & Stop" (yang akan mematikan enjin di hentian lampu isyarat, dan hidup semula apabila pendikit dikilas), suntikan bahan api elektronik, empat injap dan penyejukan jenis cecair. Ia dikatakan enjin berkategori atasan dari segi prestasi dan endah alam sekitar. Ia menjana 15 hp pada 7,750 rpm manakala tork berdaya kilas 14.4 Nm pada 6,400 rpm, lebih daripada mencukupi untuk memastikan perjalanan tangkas di sekitar bandar. Enjin Piaggio Medley baharu ini menjamin jurang perkhidmatan dan penyelenggaraan yang panjang, dengan penukaran minyak dan penapis pada sela masa setiap 10,000 km dan kelegaan injap hanya perlu diselaraskan setiap 20,000 km. Penggunaan bahan api secara keseluruhan mencapai 45.9 km bagi setiap liter.

Bersempena dengan NAZA Merdeka Autofair 2017, 33 unit pertama terjual akan dibekalkan rak barangan belakang, kotak atas, pelapik rehat belakang, pelapik lantai dan perkhidmatan servis percuma selama dua tahun selain jaminan pengeluar dua tahun standard. Piaggio Medley S 150 ABS ini berharga RM17,000.00 tanpa GST.