Akademi SuperKIP kan sertai Cub Prix 2018

Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi berhasrat untuk mencurah ilmu dengan melatih pelumba-pelumba muda melalui penubuhan akademi perlumbaannya sendiri iaitu Akademi SuperKIP Racing. Usia muda dan sibuk dengan jadual padat di saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tidak menghalangbeliau dari memberi latihan di akademi yang berpusat di Kampung Gajah, Perak itu.

kademi SuperKIP ini juga akan menjadikan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS  sebagai pentas pengesahan kemampuan mereka bermula pada tahun 2018 di dalam kategori CP115 dan Wira. Barisan awal pelumba muda yang akan membawa cabaran Akademi SuperKIP ini kan terdiri dari adik Khairul iaitu Anuar Ibrahim Pawi, di samping pelumba Cabaran Honda Wave Alpha seperti Md Afizat Supaat, Md Amer Rossi Amidi serta gandingan adik beradik, Md Hazim dan Md Haziq Rosmaza.

“Pemilihan pelumba telah dilakukan sejak pertengahan musim Kejuaraan Cub Prix 2017 dimana kami melihat dan menilai pelumba-pelumba berpotensi yang bersaing di dalam perlumbaan satu pengeluar Honda. 

“Selepas menyenaraikan beberapa pelumba, kami menjemput mereka untuk menjalani sesi latihan bersama saya sebaik Kejuaraan Cub Prix berakhir di Johor, November lepas. Kami melakukan pendekatan berbeza dimana pelumba-pelumba ini bukan sahaja menjalani latihan secara intensif, malah turut disediakan tempat tinggal di sini. Selain latihan di litar, mereka turut menjalani latihan seperti kecergasan, berbasikal, dan lain-lain mengikut jaual yang ditetapkan,” jelas pelumba berusia 19 tahun itu.

Mengulas mengenai sasaran terhadap kesemua pelumba, Khairul berkata, “Ini tahun pertama pasukan bersaing di Cub Prix manakala pelumba juga beraksi buat pertama kali di dalam kelas lebih tinggi. Kami tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, cukup jika dapat menempatkan diri di kelompok lima pelumba terbaik, dan satu pencapaian membanggakan jika mereka dapat menaiki podium.
“Saingan sangat sukar tambahan pula terpaksa berdepan pasukan dan pelumba lebih berpengalaman termasuk bekas pasukan saya, Idemitsu Kozi Yam Honda Racing. Saingan pastinya hebat dan saya harap pelumba dapat menimba pengalaman berguna pada tahun ini.” 

Tambahnya, “Pasukan ini akan dijaga oleh ayah saya memandangkan saya banyak berada di Eropah pada tahun depan. Namun begitu saya akan sentiasa menyaksikan mereka berlumba secara langsung di media sosial seandainya tidak terlibat dengan perlumbaan selain sentiasa mendapatkan perkembangan terkini dari pengurusan pasukan.”
Bapa Khairul, Pawi Omar yang akan bertindak sebagai pengurus pasukan. "Rancangan menubuhkan akademi ini timbul selepas kejayaan Khairul memenangi perlumbaan Moto3 di Argentina dan Jerman," jelas beliau. “Pada peringkat awal akademi ini diwujudkan adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada remaja-remaja setempat yang berminat dengan perlumbaan sebelum membuat keputusan untuk pergi lebih jauh.

“Cara bagaimana kami membentuk Khairul selama ini akan digunakan pula kepada pelumba-pelumba lain. Paling penting adalah sokongan daripada keluarga pelumba itu sendiri. Kami gembira kerana keluarga pelumba-pelumba yang berada dalam akademi ini memberi sokongan sepenuhnya dan sanggup melepaskan anak mereka untuk tinggal bersama kami bagi menjalani latihan dan persediaan untuk menghadapi perlumbaan Cub Prix nanti,” jelasnya.

No comments: