Yamaha menyerlah di Cub Prix Musim 2017

Kejayaan pasukan pasukan berasaskan jentera Yamaha yang bertanding dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 menjadi bukti kemampuan jenama tersebut dalam memenuhi cabaran getir dan ketahanan yang didambakan dalam dunia perlumbaan motosikal tersohor tempatan itu. Pasukan pasukan yang didokong Yamaha telah berjaya menguasai ketiga tiga jategori utama yang dipertandingkan dalam kejohanan tersebut iaitu kategori perdana CP150, kategori pertengahan CP115 dan kategori Wira yang merupakan kategori kemasukan pelumba muda.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor membuktikan kedudukan mereka selaku pasukan terbaik dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS setelah merangkul gelaran juara keseluruhan berpasukan dan juga individu. Ia merupakan tahun kedua berturut-turut mereka menyapu bersih kesemua piala utama selepas turut melakukannya pada musim 2016. Ayam tambatan mereka, Kasma Daniel Kasmayuddin telah merangkul gelaran juara keseluruhan kelas perdana yang kedua dengan memenangi kejuaraan julungkalinya untuk kategori CP150, selepas memenangi gelaran CP130 pada musim 2016. Pasukan ini turut diwakili Md Ramdan Rosli dan pelumba senior Ahmad Fazli Sham.

Tempat kedua bagi kategori ini telah dimenangi oleh pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ yang diwakili Md Iqbal Amri Abd Malek, Md Fitri Ashraff Razali dan Ahmad Afif Amran. Afif juga merupakan penyandang tempat kedua dalam kejuaraan keseluruhan. Tempat ketiga juga diduduki oleh satu lagi pasukan Yamaha iaitu pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang yang diwakili Md Adib Rosley, Md Izzat Zaidi Md Salehan dan Md Azhar Abd Jalil.
Dalam kategori pertengahan CP115 pula, seorang lagi pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor  iaitu Mohd Akid Aziz pula berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan CP115 buat tahun kedua berturut-turut. Akid telah digandingkan dengan Md Haziq Fairues untuk menghadiahkan gelaran juara berpasukan kategori ini kepada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor. Tempat kedua kategori ini juga diungguli pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ bersandarkan gandingan Nazirul Izzat Md Bahauddin dan Ahmad Syukran Aizat. Sementelah itu, gandingan Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Tengku Amirul Haffirudin dalam pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang telah menempatkan mereka sebagai pasukan ketiga terbaik dalam kategori CP115 ini.
Kejayaan yang sama turut dicatat pasukan Yamaha dalam kategori Wira bilamana Md Aiman Tahiruddin yang menunggang untuk pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - AFB Tech telah muncul sebagai juara keseluruhan musim 2017.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor juga mempunyai satu lagi misi penting iaitu untuk memenangi gelaran individu kategori Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang akan berlangsung di Thailand, awal Disember nanti. Pasukan ini telahpun dinobatkan sebagai gelaran pasukan terbaik kategori tersebut musim 2017 ini.


No comments: