Kasma catat sejarah juara kesemua kategori berturut turut

Hasrat pelumba kelahiran Johor, Kasma Daniel Kasmayuddin untuk menamatkan musim dengan muncul juara di laman sendiri tidak kesampaian setelah sekadar berada di kedudukan keempat yang menyaksikan kemenangan menjadi milik rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli dengan masa keseluruhan 19’42.832s. Tempat kedua menjadi milik Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) dengan masa 19’43.972s.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Motor yang telahpun mengesahkan gelaran keseluruhan sebaik pusingan kesembilan di Pulau Pinang berakhir, awal November mengakhiri musim 2017 dengan mengumpul 138 mata keseluruhan termasuk lima gelaran juara.

Kasma Daniel Kasmayuddin sekaligus mencatat nama selaku pelumba pertama muncul juara keseluruhan dalam tiga kategori berbeza secara berturut-turut dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Musim 2017 kejohanan telah melabuhkan tirai di Dataran Bandar Penawar, Johor, hari ini.

Hadiah kepada pemenang-pemenang disampaikan oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.


Kasma yang bermula dari petak pertama ketinggalan di kelompok pertengahan pada pertengahan perlumbaan setelah dua kali terjatuh namun berjaya bangkit untuk tamat di kedudukan keempat setelah dipintas pada saat akhir oleh Mohd Helmi Azman (Onexox TKKR Racing).

“Perasaan saya bercampur-baur. Walaupun gembira dengan gelaran keseluruhan, namun saya agak kecewa kerana gagal memenangi perlumbaan terakhir sebagai hadiah kepada penyokong dan keluarga di laman sendiri,” jelas Kasma.

Tambahnya, “Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan apa yang dicapai pada hari ini. Bukan mudah untuk menjuarai tiga kategori perlumbaan secara berturut-turut. Kerja keras dan pengorbanan saya, keluarga dan pasukan dibayar dengan kejayaan. Namun perjalanan saya masih jauh dan lebih banyak cabaran menanti pada masa akan datang.”

KEPUTUSAN                                                                                            
CP150
1 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 19:42.832s
2 Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 19:43.972s
3 Md Helmi Azman (SGR) Onexox TKKR Racing Team 19:48.798s
4 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 19:48.809s
5 Md Fitri Ashraff Razali (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 20:02.221s

Kedudukan Keseluruhan
1 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 138 mata
2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 107 mata
3 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 95 mata
4 Ahmad Fazli Sham (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 84 mata
5 Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 77 mata




No comments: