Akid mungkin muncul Juara Keseluruhan di Batu Kawan




Mohd Akid Aziz semakin hampir untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam kategori CP115 menjelang saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017. Pusingan 9 akan berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, 4 dan 5 November ini.

Juara bertahan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu pernah menyertai kem latihan YAMAHA VR46 MASTER CAMP kali ketiga bersama Valentino Rossi pada bulan Mei lepas.

Akid kini selesa mendahului kedudukan dengan mengumpul 155 mata, 48 mata mengatasi rakan sepasukan, Mohd Haziq Mohd Fairues di kedudukan kedua dengan 107 mata. Akid perlu menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 atau lebih baik bagi memungut minima dua mata untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP115 untuk tahun kedua berturut-turut. Cuma Haziq masih berpeluang mencabar, namun agak sukar dengan hanya baki dua pusingan sahaja lagi.
Gandingan Mohd Akid dan Mohd Haziq terlebih dahulu berjaya mempertahankan gelaran pasukan terbaik buat PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada musim lepas setelah perlumbaan pusingan 8 di Jempol, Negeri Sembilan berakhir. Pasukan ini turut telah mengesahkan status pasukan terbaik dalam kategori CP150 di Jempol.

No comments: