Honda Civic Type R pertama diserah pada pemilik

Akkbar bersama Adrian di majlis penyerahan
Adrian Salleh Bin Hashim menjadi pemilik pertama yang menerima Honda Civic Type R di Malaysia dalam satu majlis penyerahan rasmi yang diadakan di Botanic Auto Mall Sdn. Bhd. semalam.

Model global yang membawa teknologi paling canggih Honda ini sangat eksklusif sebagai model Honda yang paling berkuasa pernah dijual di Malaysia. Setiap Honda Civic Type R adalah unik, dengan plat nombor bersiri khas diletakkan secara strategik di pusat konsol.

Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial berkata, "Civic Type R menonjol mengatasi yang lain, dan menyampaikan prestasi perlumbaan yang sangat baik namun menyesuaikan diri dengan kehendak pemanduan harian di jalan raya Malaysia."
Encik Adrian Salleh merupakan salah seoang pelanggan pertama yang ditemuramah untuk mendapatkan maklum balas Type R, yang membantu menyumbang kepada wawasan pasaran terutamanya dalam mengenal pasti permintaan dan keperluan segmen pelanggan baharu. Pada tahun 2007, Malaysia menjadi satu-satunya negara di luar Jepun untuk melancarkan model FD2R secara rasminya. Honda Malaysia telah menjual 420 unit FD2R antara tahun 2007 hingga 2011. Pencapaian ini mungkin disebabkan oleh populariti dan permintaan kereta sporti yang boleh dipandu di jalan raya. Malaysia telah menyaksikan peningkatan bilangan peminat kereta dan juga Honda, yang berminat dengan model seperti Type R. Honda Malaysia telah menerima lebih daripada 70 tempahan untuk Type R ini.
Selain menjadi rakyat Malaysia yang pertama untuk memandu pulang Civic Type R, Adrian juga menerima barangan Honda khusus, sebuah GoPro HERO 5 dan salutan Badan Kereta Ultra Honda dengan Ultra Window bernilai RM5,300 sebagai tanda penghargaan daripada Honda Malaysia di Malaysia.

Honda Civic Type R yang diimport sepenuhnya ini berharga RM320,000 di atas jalan tanpa insurans. Pelanggan boleh melawat mana-mana 20 pengedar Honda Sport untuk melihat dan menempah Civic Type R. Pengedar Honda Sport merupakan pengedar bertauliah yang dilantik untuk mengedar Type R di Malaysia. Untuk lebih maklumat mengenai Honda Civic Type R, sila hubungi nombor Bebas Tol Honda di 1-800-88-2020 atau layari ke www.honda.com.my

Zaqhwan berdepan misi sukar pertahan kejuaraan ARRC

Pelumba SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi mengakui berasa sedikit tertekan menghadapi pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) dalam misi untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada perlumbaan kemuncak di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand bermula 30 November hingga 3 Disember ini.

Bebanan lebih terasa memandangkan pada tahun ini juara keseluruhan 2014 dan 2016 itu beraksi tanpa gandingan pelumba berpengalaman sebaliknya bertindak selaku pelumba utama pasukan bergandingan dengan pelumba kurang berpengalaman, Teppei Nagoe di dalam pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing.
  “Saya terpaksa bekerja lebih keras pada tahun ini. Rakan sepasukan, Teppei merupakan pelumba muda berbakat namun ini merupakan tahun pertamanya dalam kelas 600cc dan memerlukan sedikit masa untuk bersaing di kelompok depan. Ini menyebabkan saya bersendirian tanpa rakan sepasukan ketika bersaing di kelompok depan bersama pelumba berpengalaman yang lain,” jelas Zaqhwan. Tambah juara bertahan itu, dia tidak menyangka untuk menjadi pendahulu setelah kehilangan banyak mata ketika terjatuh pada Perlumbaan 2 di Pasir Gudang manakala meraih keputusan tidak begitu baik pada pusingan berikutnya di Thailand.

 Sebaliknya rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman yang lebih menonjol pada permulaan musim sebelum juara tahun 2013 itu terbabit kemalangan dan mengalami kecederaan menyebabkannya gagal untuk mengekalkan momentum terbaik pada beberapa pusingan lepas. Keputusan konsisten meraih dua gelaran juara dan lima penamat di podium sepanjang lima pusingan lepas membantu Zaqhwan untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, namun dicabar rapat Yuki Ito dan Taiga Hada yang mengekori rapat dengan 134 mata. “Berdasarkan keputusan lepas, jentera Kawasaki dan Yamaha lebih laju ketika di laluan lurus dan memberi mereka banyak kelebihan di Buriram. Saya dan pasukan perlu mendapatkan pelarasan terbaik dan merencana strategi serta pemilihan tayar tepat yang akan memain peranan besar pada perlumbaan minggu ini,” jelas Zaqhwan.

Kedudukan Keseluruhan SuperSports 600cc
1 Md Zaqhwan Zaidi (MAS) MUSASHi Boon Siew Honda Racing 138 mata
2 Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing 134 mata
3 Taiga Hada (JPN) RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 134 mata
4 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 128 mata
5 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 110 mata

Kedudukan Keseluruhan Pasukan SuperSports 600cc
1 Manual Tech KYT Kawasaki Racing 155 mata
2 MUSASHi Boon Siew Honda Racing 146 mata
3 RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 140 mata
4 Yamaha Racing 140 mata
5 Yamaha Thailand Racing Team 115 mata

Rawang Bypass dibuka hari ini

Pintasan Rawang atau Rawang Bypass seperti yang lebih gemar disebut banyak pihak, telah boleh dilalui secara rasminya hari ini. Jalan pintas yang dibina bagi menguraikan kesesakan bandar Rawang ini telah dibuka dari jam 6 pagi semalam untuk upacara perasmiannya. Ia mempunyai jambatan bertingkat sepanjang 2.7km yang setinggi hingga 58.2m dari atas tanah sebagai sebahagian daripada lebuh raya sepanjang 9km yang menghubungkan Rawang dan Serendah tersebut.

Tinjauan kami hari ini walaubagaimanapun mendapati bahawa ramai pengguna ke bandar Rawang yang masih tidak sedar bahawa laluan tersebut telah dibuka, dan telah terlajak masuk ke laluan tersebut yang akan membawa mereka melepasi langsung bandar Rawang.

 Mungkin punca utamanya adalah kerana TIADA PAPAN TANDA YANG MENUNJUK ARAH KE BANDAR RAWANG!!
 



 Pun begitu, mereka tidak sepatutnya bersikap mementingkan diri sendiri dan mengambil jalan mudah dengan berundur menongkah aliran trafik dan menyebabkan bahaya dan kesukaran kepada pengguna jalanraya yang lain. Walaupun telah tersilap masuk, mereka sepatutnya meneruskan perjalanan dan mencari jalan lain untuk berpatah balik, seperti keluar di persimpangan Sungai Choh yang hanya beberapa kilometer ke depan sahaja.

Pada majlis pelancaran itu semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia merupakan kejayaan kejuruteraan dan menandakan keupayaan dan komitmen Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap projek yang kompleks tanpa mengorbankan alam sekitar.

"Projek ini menggunakan Sistem Perancah Bolehgerak (MSS) untuk memelihara ekosistem dengan menghalang penggunaan jentera berat dan penebangan pokok yang berlebihan.

"Ketinggiannya juga menjadikannya unik kerana ia kelihatan seperti anda memandu melalui awan di waktu pagi atau selepas cuaca hujan. Bahagian ini juga menawarkan pemandangan panorama indah bandar Rawang," katanya.
 Projek itu di Taman Warisan Selangor itu hanya memerlukan pembangunan kira-kira 9.7 hektar tanah berbanding 25 hektar jika binaan itu dibina tanpa bahagian jambatan tinggi tersebut. Reka bentuk jambatan itu juga bertujuan untuk melindungi spesies pokok  yang jarang ditemui iaitu Merawan Kanching atau Giam Kanching di taman itu.

Fadillah berkata pintasan itu akan mengurangkan kesesakan dan masa perjalanan antara Rawang dan Serendah, yang kadang kala mengambil masa sehingga dua jam akibat kesesakan lalu lintas melalui bandar tersebut.

"Laluan ini akan memberi manfaat kepada penduduk Hulu Selangor, Selayang dan Rawang dengan mengurangkan aliran trafik di kawasan itu," katanya.

 

Fatah Amin bawa siapa ke Toyota GAZOO Racing Festival?



 
 Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival yang melabuhkan tirai hujung minggu lalu berjaya mencapai sasarannya untuk menjadi sebuah acara festival sukan permotoran ulung dengan kehadiran lebih kurang 20,000 orang pengunjung bertempat di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) untuk mengalami sendiri aksi perlumbaan serta hiburan yang disediakan.

"Ribuan pengunjung yang turut serta hujung minggu lalu telah menjadikan penganjuran acara berskala besar seperti ini sangat bermakna buat kami. Saya sangat gembira dan bersyukur di atas sokongan yang ditunjukkan oleh mereka terhadap acara TGR ini. Untuk itu, kami akan terus berusaha untuk mempromosi sukan permotoran diperingkat akar umbi di negara ini," jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama yang turut bersaing sebagai pelumba dalam kategori Promotional.
 Takeyama turut memuji pemandu-pemandu yang bersaing di dalam perlumbaan Vios Challenge, yang telah menunjukkan banyak peningkatan berbanding penampilan sulung mereka di Batu Kawan Ogos lalu. "Saya sendiri menimba banyak pengalaman berlumba daripada cabaran sengit yang diberikan oleh peserta-peserta lain.  Saya juga dapat melihat kemahiran mereka bertambah baik. Inilah tujuan sukan permotoran, untuk kita sentiasa memperbaiki kemampuan diri," tambah beliau.

Vios Challenge menampilkan 40 pemandu yang berlumba menggunakan jentara Toyota Vios 1.5J yang identikal di dalam tiga kategori berbeza dan ia menjadi tarikan utama acara berkenaan. Aksi di MAEPS melibatkan litar sepanjang 1.9 km dan 17 selekoh serta lima peralihan ketinggian permukaan litar menjadikannya lebih mencabar untuk pemandu dan memberi keseronokkan untuk penonton.

Aksi perlumbaan itu juga ditayangkan pada skrin besar di sekitar litar berkenaan dengan bunyi tayar dan deruman enjin yang jelas kedengaran di sepanjang laluannya. Dengan keupayaan jentera yang sama, pemandu perlu membuktikan tahap kemahiran memandu, untuk mengatasi pesaing mereka.
 Kategori Sporting yang menampilkan barisan pemandu baru yang belum pernah memenangi kejuaraan utama sebelum ini memberikan antara aksi yang menarik. Dengan penggunaan jentera Vios yang sama, peluang mereka untuk menang. Ini terbukti dengan catatan masa yang begitu hampir dalam kalangan pemandu ketika pusingan kelayakan.

Ini membawa kepada kejutan utama perlumbaan itu apabila Brendan Paul Anthony, seorang pendatang baru yang baru saja membuat penampilan sulung dalam Vios Challenge mendahului dengan masa terbaik bersama jentera pasukan Dream Chaser dalam pusingan kelayakan. Beliau seterusnya mendahului di dalam Perlumbaan 1 dan mengatasi pemandu berpengalaman lain seperti Brendon Lim, Ken Foo, Kenneth Koh dan Clement Yeo.

Perlumbaan 2 bagaimanapun lain pula ceritanya bagi beliau. Patrick Tam yang mewakili Team Nanoplus memberi saingan sengit kepada Brendon Lim dari pasukan Tedco Racing mencuri tumpuan di dalam litar kering. Ini telah memaksa Brandon sekadar berpuas hati ditempat ketiga dan kedudukan podium kedua bagi dirinya.

Bagi kategori Promotional, apa yang kelihatan seperti laluan mudah buat pendahulu perlumbaan Shawn Lee tidak berakhir seperti yang dijangka. Sekali lagi beliau membuktikan ketangkasannya dengan muncul juara bagi Perlumbaan 1 pada Sabtu, dengan Shukri Yahaya dan Danny Koo mengikuti di belakang mengulangi kedudukan seperti di Batu Kawan sebelum ini. Namun bagi Perlumaan 2, ia sama sekali berbeza.


Kesilapan ketika memasuki selekoh ke-6 menyaksikan keretanya berpusing. Perlu menunggu sehingga semua pelumba melepasi selekoh berkenaan dengan selamat sebelum beliau dibenarkan untuk masuk semula ke dalam litar, insiden itu telah meletakkannya dikedudukan terakhir. Ini memberi peluang kepada Shukri untuk melebarkan jarak dan diikuti rapat oleh Danny. Diana Danielle juga tidak melepaskan peluang itu untuk memberikan prestasi terbaiknya untuk meraih kedudukan ketiga; beliau juga menjadi pemandu wanita pertama yang berjaya menaiki podium Vios Challenge.


 Semua selebriti TGR seperti Danny Koo, Diana Danielle, Fattah Amin, Geraldine Gan, Janna Nick, Shawn Lee, Shukri Yahaya dan Venice Min melakukan kunjungan kerap untuk mengagihkan cenderahati dan bergambar bersama peminat.

Turut memeriahkan suasana di pentas utama ialah barisan selebriti bersama bas Drama Sangat Media Prima yang terdiri daripada Bell Ngasri, Chacha Maembong, Izzue Islam, Johan Ashaari, Nad Zainal, Puteri Aishah, Raja Afiq dan Zoey Rahman yang turut menghiburkan peminat.

"Ia menjadi hujung minggu yang cukup meriah dengan aksi perlumbaan berkualiti. Saya sendiri sangat seronok berada di situ untuk mengalami sendiri pemandangan serta mendengar deruman bunyi dan aroma udara yang tersendiri yang menjadikan acara sukan permotoran ini begitu istimewa seperti yang kami inginkan. Saya juga amat bersyukur kepada peminat-peminat yang sanggup meredah hujan lebat untuk kekal bersama kami hingga akhir acara. Jutaan terima kasih saya ucapkan," ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

TGR Racing Festival menjadi satu daripada karnival sukan permotoran terbesar di Malaysia dan ia akan melebarkan sayapnya ke Medini, Iskandar di Johor pula selepas ini. Peminat-peminat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri acara yang akan berlangsung dari 19 hingga 20 Januari 2018 nanti. Perhatikan juga pengumuman bagi pemenang hadiah utama Toyota Vios SE yang akan dilakukan menerusi saluran komunikasi rasmi UMW Toyota Motor sebelum 7 December 2017.

Untuk maklumat lanjut, khalayak awam boleh mengikuti perkembangan di laman rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia serta laman web rasmi UMW Toyota Motor termasuk laman Facebook dan Instagram.










Tentunya yang dinanti-nantikan pengunjung ketika acara berkenaan ialah aksi perlumbaan bagi kategori Super Sporting. Kategori ini terdiri daripada pemandu-pemandu profesional ternama tempatan yang ternyata memberikan pengalaman menyaksikan perlumbaan yang bermakna buat penonton sejak dari Perlumbaan 1 bermula pada pagi Ahad lagi.

Menafikan Tengku Djan dari kedudukan utama, Mark Darwin berhasil untuk kekal mendahului di depan sebelum merapatkan sudut ketika di selekoh pertama. Bagaimanapun, Djan mengekalkan garisan pemanduanya dengan kemas, sebelum kenderaan mereka bersentuhan dan menyebabkan kereta Darwin merempuh dinding dan kemudiannya tidak dapat lagi meneruskan perlumbaan. Pengadil dari AAM menyifatkan ia merupakan insiden kemalangan dan membenarkan Djan untuk berlumba ketika perlumbaan dimulakan sekali lagi. Akina Teo dari Team Mudah Racing juga menjadi mangsa di dalam situasi sama dan terpaksa menarik diri dari meneruskan perlumbaan.

Tanpa sesiapa di sisinya dipetak permulaan, Djan melebarkan jurang jarak dari perlumba lain. Impak dari kemalangan awal itu bagaimanapun menyaksikan bahagian bamparnya semakin longgar dan pada pusingan ke-4, pegawai perlumbaan mengarahkannya untuk masuk ke laluan pit sekaligus menamatkan penguasaan beliau di tempat pertama. Ini memberi peluang kepada William Ho untuk mendahului, dan diikuti oleh Mitchell Cheah dan Ser Meng Hui untuk kedudukan podium. Namun, tidak lama selepas itu Mitchell pula tersasar ke sebelah kanan litar dan William kekal berusaha untuk mengawal kenderaannya, menyebabkan kit badan sisinya tercabut. Meng Hui dari MMCS Sport mengambil peluang itu untuk merebut tempat pertama hingga ke akhir perlumbaan.

Mitchell dikenakan penalti 15 saat kerana terlebih awal memulakan perlumbaan dan beralih ke tempat ke-6. William juga terpaksa memasuki pit untuk menanggalkan bahagian kit badan yang hampir tercabut. Ini memberikan ruang kepada Syafiq Ali dari M7 Racing Team dan Boy Wong dari ST Wagon untuk mengisi kedudukan podium yang ditinggalkan.

Perlumbaan 2 tidak kurang dramatik, dengan hujan lebat mencurah dan menangguhkan seketika permulaannya selama sejam. Dengan kedudukan enam pelumba teratas dalam posisi terbalik di grid permulaan, Mitchell mengisi posisi utama dengan Djan di sisinya. Pemandu muda ini kekal tenang ketika Djan memberikan tekanan dari belakang. Mereka bersentuhan beberapa kali dengan jentera dipandu Cheah terpusing dalam dua kejadian, tetapi tanpa kemalangan teruk. Aksi berkenaan membenarkan William Ho merapatkan jarak dan ketika dia menghidu peluang, William terus memanfaatkannya di selekoh 16 untuk memaksa Djan melebarkan garisan pemanduannya.

Kedua-dua jentera mereka bersentuhan sekali lagi ketika laluan mendaki di selekoh ke-17. Insiden berkenaan menyebabkan rim jentera Djan patah dan menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan perlumbaan. Willian sendiri juga terpaksa berdepan dengan masalah tayar bocor. Beliau dikenakan denda 15 saat di atas tindakannya terhadap Djan tetapi berjaya menghabiskan perlumbaan ditempat ketiga. Mitchell Cheah berhasil mengungguli saingan di tempat pertama dan mendahului Boy Wong yang lebih tenang tetapi konsisten disepanjang perlumbaan.

Turut mengujakan pengunjung ialah pertunjukkan drift oleh juara dunia dari Jepun, Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino yang membuat persembahan terbaik mereka menggunakan kereta Toyota 86 Toyo Tires. Melakukan aksi itu di litar utama, pengunjung dapat menyaksikan kecermatan kedua-dua pemandu ini mengawal kenderaan mereka yang hanya beberapa inci sahaja dari dinding penghadang.

Selain itu, tagline "All About The Drive" yang digunakan oleh Toyota tidak akan bermakna sekiranya tiada model-model terkini jenama itu dipamerkan. Antara tarikan utama diruang berkenaan ialah model C-HR yang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai di mana juga ia dipamerkan.

Selain pandu uji, pengunjung juga diberi peluang untuk mengalami sendiri keseronokkan di dalam model 4x4 lagenda, Hilux dan Fortuner. Laluan yang dibina khas memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui keupayaan kenderan berkenaan, antaranya ketika memanjat binaan rel yang tinggi serta halangan dilaluan off-road.

Pilihan makanan juga antara yang terbaik; sebanyak 20 trak makanan utama di negara ini dijemput untuk menyajikan hidangan mereka kepada pengunjung sepanjang hujung minggu lalu. Aroma yang menyelerakan memenuhi segenap ruang tempat acara ini berlangsung.

Dengan keluasan tapak acara yang lebih kompak berbanding di Batu Kawan, Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival di MAEPS minggu lalu dipenuhi dengan kehadiran pengunjung yang tak putus-putus yang mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan. Ini termasuk persembahan di pentas utama yang turut menampilkan ramai selebriti.