Rossi mungkin beraksi di GP Aragon?

 Berikutan kemalangan enduronya pada 31 Ogos lepas, Valentino Rossi telah berusaha gigih untuk pulih daripada kecederaan patah tulang kaki kanannya. Semalam Juara Dunia sembilan kali itu cuba menilai tahap kecergasannya dengan menunggang beberapa pusingan di sekitar Litar Dunia Misano Marco Simoncelli dengan jentera YZF-R1Mnya, sebelum hujan mengganggu percubaannya itu.

Pelumba Itali itu dijangka terlepas pusingan Aragon Grand Prix hujung minggu ini berikutan kecederaan motocrossnya itu.

Pelumba World Superbike, Michael van der Mark telah dipilih oleh Yamaha sebagai pengganti sementara Rossi pada acara di Sepanyol tersebut.

Tetapi Rossi telah muncul pada hari Isnin lepas di Misano untuk menilai keadaan kecederaannya, hanya 18 hari selepas kemalangannya walaupun disarankan oleh para doktor untuk menjalani tempoh pemulihan selama 30-40 hari.

Pelumba berusia 38 tahun itu hanya dapat melengkapkan hanya beberapa lap dengan jentera R1M sebelum ujian itu terganggu oleh hujan.

"Valentino hanya menyelesaikan tujuh atau lapan pusingan sebelum hujan," kata Graziano iaitu bapa Rossi.

"Saya dimaklumkan dia amat merasakan kesakitan di kaki kanannya, tetapi dengan hanya beberapa pusingan sebegitu, dia tidak dapat menentukan sama ada mampu beraksi di Aragon atau tidak.

"Perancangannya adalah untuk kembali ke Misano esok [Selasa], dengan harapan hujan tidak mengganggu, jadi Valentino boleh kembali menjalani penilaian samada akan beraksi di Aragon atau tidak."

Sekiranya Rossi memilih untuk berlumba di Aragon dan diluluskan untuk menunggang, dia boleh menggunakan sesi latihan pembukaan hari Jumaat untuk menentukan kesesuaiannya untuk bersaing, dengan van der Mark bersiap sedia sekiranya dia terpaksa menarik diri.

Bos Yamaha Lin Jarvis telah mencadangkan bahawa Rossi hanya harus berlumba di Aragon jika dia merasakan berpeluang untuk bertarung dalam kelopok lima teratas.

Selepas terpaksa mengundurkan diri dari perlumbaan di Misano, Rossi kini berada di tangga keempat dalam kedudukan keseluruhan MotoGP, dan berada 42 mata di belakang Marc Marquez dan Andrea Dovizioso.

No comments: