Skuter ke Kapcai...?

Motosikal merupakan satu mod pengangkutan yang amat popular di dunia. Selain praktikal, ia nya juga mampu menjimatkan masa perjalanan, terutama sekali di bandar yang sesak. Selain pantas dan memberikan ketenangan minda, penggunaan motosikal juga mampu mengurangkan perbelanjaan harian memandangkan ianya amat menjimatkan. Motosikal yang boleh diharap juga akan menjamin belanja penyenggaraan yang rendah. Mungkin tidak disedari ramai bahawa penggunaan motosikal membantu mengurangkan tekanan perasaan yang berpunca dari terperangkap dalam kesesakan jalanraya jia berkereta.

Jenis motosikal yang popular di Malaysia dan juga beberapa negara Asean adalah motosikal kapcai. Nama kapcai ini berasal dari motosikal kerangka tetulang bawah atau "underbone" pertama yang dikeluarkan secara besar besaran pada tahun 1958, iaitu Honda Cub 50. Jenis motosikal sebegini telah berkembang pesat dengan pengeluaran pelbagai model motosikal yang diasaskan kepada konsep yang sama. Jenis enjin kapcai kemudiannya juga telah merangkumi enjin dua lejang. Diantara enjin dua lejang terawal ialah enjin DKW RT125, dan beberapa model kapcai dua-lejang yang popular ialah Suzuki RG Sports dan Yamaha 125Z yang kekal mendapat sambutan hingga kini.

Motosikal kapcai kini banyak menggunakan enjin empat lejang yang lebih mesra alam. Kapchai kini juga nampak makin ranggi dan makin sporti, dan kebanyakan masih menggunakan rangka besi tetulang sebatang. Ada juga kapchai moden yang menggunakan rangka perimeter framed atau boxed chassis yang lebih tegap. Kebanyakan kapchai mempunyai tangki minyak dibawah pelana. Bagi kapchai, sistem gear biasa digunakan tetapi klac kebanyakannya adalah automatik.

Diantara kapcai empat lejang  yang popular pada masa kini ialah dari jenama Honda, dengan model  EX-5 Dream dan Wave S 125. Pembuat motosikal tempatan, Modenas, juga tidak kurang popular dengan Kriss 120 nya dan kini tampil dengan GT128, Suzuki dengan Shogun 125RR, Naza dengan Flash 125, manakala Yamaha pula tampil dengan pengaruh besar ke atas pasaran tempatan dengan model Y15, LC135, di samping model Lagenda.

Satu lagi jenis motosikal yang tidak kurang peminatnya ialah skuter. Secara umumnya pengguna sedia tahu bahawa skuter tidak memerlukan pemilihan atau penggunaan gear dan bentuk badannya amat berbeza dari kapchai. Skuter mungkin mengingatkan kita kepada zaman pop yeh yeh satu ketika dulu, dengan keluaran skuter Vespa dan juga Lambretta. Penampilan semula genre skuter kini telah menyaksikan pelbagai model menarik untuk pilihan pengguna tempatan.

Skuter dibina dengan casis atau rangka besi sebagai asasnya, dengan enjin yang dibaringkan selari dengan lantai, dan enjin ini lazimnya merupakan sebahagian dari lengan ayun untuk roda belakang. Oleh kerana binaannya yang sebegini, bahagian skuter yang paling lemah ialah di bahagian tengah di mana penunggangnya meletakkkan kaki. Bahagian ini mungkin meliuk sewaktu mengambil selekoh atau melanggar lopak, dan ini mungkin akan memberi kesan kepada kawalan motosikal. Roda skuter juga jauh lebih kecil berbanding kapcai, dengan saiz lazim 10 dan 12 inci, malah ada skuter yang mempunyai dua roda di hadapan, seperti Piaggio MP3 dan juga Gilera Fuoco 500.

Skuter kini menggunakan sistem transmisi CVT atau Continuous Variable Transmission. Ia tidak mempunyai pengubah gear tetapi dipacu talisawat yang berubah kelajuan mengikut input dua aci disetiap hujungnya. Oleh itu, pengendalian skuter moden adalah lebih mudah kerana tidak ada tuil gear untuk digunakan, tidak seperti skuter dulu yang menggunakan sistem klac dan penukaran gear. Jika anda lebih banyak menggunakan motosikal di dalam bandar, skuter pasti menjadi pilihan anda. Skuter juga lazim mempunyai ruang di bawah pelana  untuk menyimpan topi keledar, baju hujan dan juga barangan kecil.

Kesemua skuter yang ditawarkan di pasaran Malaysia kini ialah dari jenis empat lejang. Di antara model terkini yang ditawarkan adalah Honda icon dengan transmisi AT seperti yang digelar oleh Honda, yang merupakan transmisi CVT Honda V-matic. Model pemasangan tempatan ini merupakan turutan pengenalan skuter pertama Honda iaitu Honda Click, dan ianya menggunakan enjin 110cc sejukan udara, tidak seperti Click yang menggunakan sistem sejukan cecair. Yamaha juga menawarkan siri skuter dengan model Nuovo dan juga Ego-S, begitu juga Modenas dengan Elegan dan juga Elite Sports. Ada juga skuter lebih besar sesaran enjinnya seperti SYM GTS200 dengan enjin 180cc dan juga Aprilia Sportcity 200cc, Yamaha pernah tampil dengan Yamaha T-Max 600cc, begitu juga dengan Gilera yang kini juga menawarkan skuter besar dengan GP800 nya, BMW dengan siri 650 mereka dan Aprilia dengan SRV 850 yang dikatakan sebagai skuter terlaju di dunia.



Pilihan diantara kapcai dan skuter memang merupakan sesuatu yang peribadi dan mengikut citarasa atau keperluan individu. Dengan pelbagai model yang terdapat di pasaran tempatan masakini, tentunya pengguna mampu memilih sebuah motosikal yang praktikal dan menjimatkan. Malaysia agak ketinggalan dalam peratusan penggunaan skuter dengan hanya lebihkurang 20% dari jumlah keseluruhan motosikal dalam negara, manakala beberapa negara jiran sudah mencecah angka kegunaan atau pemilikan skuter melebihi 45%. Skuter kian diterima dan menjadi pilihan ramai terutamanya dengan kepelbagaian jenis dan kapasiti enjin yang ditawarkan dalam pasaran masa kini.

No comments: