Benelli lancar Leoncino 500


Nah kita saksikan pula satu lagi model menarik yang akan dijual di Malaysia!
Benelli Leoncino 500 akan dijual oleh Benelli Malaysia pada separuh kedua tahun 2017 ini.

Ia dibekalkan enjin 500cc dwi selinder DOHC empat lejang suntikan bahanapi kawalan elektronik, dengan empat injap setiap silinder. Kuasa maksima 47 hp pada 8500 rpm dan penghasilan tork maksimum sebanyak 45 Nm dilaporkan. Pelinciran menggunakan sistem takungan basah, dan hantaran kuasa melalui klac hidraulik dan kotak gear 6-kelajuan.
Rangka trellis mendukung keseluruhan motosikal untuk kemantapan semua keadaan tunggangan. Rim  aloi 17’ menggunakan tayar depan 120/70-ZR17 dan belakang 160/60-ZR17. Suspensi hadapan  dengan diameter 45mm adalah jenis fork terbalik, dan lengan ayun belakang dipasang penyerap kejutan sisi. Brek merupakan jenis sistem ABS dengan empat angkup untuk hadapan dengan cakera 320mm dan satu angkup dengan cakera 260mm di belakang.

Menurut En. Asri Ahmad yang merupakan Pengurus Besar Operasi Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, Leoncino ini merupakan salah satu motorsikal yang akan menjadi sebuah model yang mudah didapati dengan harga yang kompetitif. Harganya akan diumumkan kemudian.




Sistem mata Demerit KEJARA usaha cegah kemalangan



KENYATAAN MEDIA OLEH KETUA PENGARAH JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA SEMPENA PELAKSANAAN SISTEM MATA DEMERIT 2017

 Sistem Mata Demerit diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kepatuhan pemandu kenderaan motor terhadap peraturan lalu lintas. Pemandu yang kerap melakukan kesalahan lalulintas serta mempunyai banyak rekod kesalahan lebih cenderung untuk membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Pelaksanaan Sistem Mata Demerit dilihat dapat membendung seseorang pemandu kenderaan motor itu daripada berterusan melakukan kesalahan dan akhirnya menyumbang kepada berlakunya kemalangan serta kehilangan nyawa. 

 Sistem Mata Demerit ini telah dilaksanakan di beberapa buah Negara termasuk negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia, Canada, German, Singapore dan lain – lain yang mana ternyata memberikan kesedaran dan peringatan seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan dan kematian di jalanraya.

 Seseorang pemandu kenderaan motor akan dikenakan mata demerit apabila mereka didapati melakukan kesalahan lalulintas. Mata demerit yang diberikan adalah berdasarkan jenis kesalahan yang telah disabitkan atau yang telah dikompaunkan. Mata-mata ini akan terkumpul dan apabila mencapai jumlah yang ditetapkan tindakan berikut akan diambil:

PEMEGANG LESEN MEMANDU KOMPETEN (CDL)
Mata Terkumpul              Tindakan                         Tempoh Gantung
20 Mata Pertama              Amaran                           -
20 Mata Kedua                 Gantung Kali Pertama   6 – 8 Bulan
20 Mata Ketiga                 Gantung Kali Kedua      8 – 10 Bulan
20 Mata Keempat             Gantung Kali Ketiga      10 – 12bulan 
Tiga Kali Penggantungan Dalam Tempoh 5 Tahun  - CDL Dibatalkan


PEMEGANG LESEN MEMANDU PERCUBAAN (PDL)
Mata Terkumpul               Tindakan                          Tempoh Gantung
20 Mata Pertama               Batal                                  -

Pemegang lesen yang telah mencapai jumlah mata demerit yang membolehkan
tindakan amaran/gantung/batal dikenakan akan diberikan notis tentang tindakan yang bakal dikenakan. Penggantungan/Pembatalan lesen memandu akan bermula sebaik sahaja lesen memandu diserahkan oleh pemegang lesen tersebut atau selepas tempoh 21 hari notis pemberitahuan tindakan dikeluarkan.


 Mana-mana pemandu yang lesen memandunya digantung atau dibatalkan perlu menyerahkan lesen memandu di mana-mana pejabat JPJ seterusnya dilarang untuk memandu kenderaan motor. Sekiranya disabitkan kesalahan memandu semasa lesen memandu digantung atau batal, mereka BOLEH DIDENDA TIDAK KURANG DARIPADA TIGA RIBU RINGGIT dan TIDAK LEBIH DARIPADA SEPULUH RIBU RINGGIT ATAU PENJARA TIDAK MELEBIHI TIGA TAHUN.

 Pembatalan lesen memandu akan menyebabkan seseorang itu perlu mengikuti semula proses mendapatkan lesen memandu sebagaimana yang dilalui oleh bakal pemandu baharu. 

 Mana-mana pemegang lesen yang telah mengumpul sejumlah mata demerit tetapi belum mencapai dua puluh mata boleh memohon untuk mengikuti kursus pemulihan yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah dan sekiranya lulus dengan jayanya kursus tersebut, sejumlah lima puluh peratus (50%) mata demerit yang terkumpul akan  ditolak sebagai insentif. Pemberian insentif ini adalah hanya sekali dalam tempoh memegang suatu lesen memandu. 


 Insentif pemanduan yang baik sebanyak lima puluh peratus (50%) pengurangan mata demerit juga boleh diberikan kepada pemegang lesen yang telah mengumpul sejumlah mata demerit tetapi tidak mencapai dua puluh mata dengan syarat mereka tidak pernah disabitkan atau dikompaunkan dengan mana-mana kesalahan terjadual dalam tempoh setahun daripada tarikh terakhir mata kesalahan terjadual direkodkan.
Untuk permulaan, hanya kesalahan yang melibatkan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah sahaja yang akan dikenakan mata demerit.  Pelaksanaan sistem ini akan mula dikuatkuasakan pada 15 April 2017.

  Sebarang pertanyaan mengenai inisiatif baru ini bolehlah di ajukan melalui email kepada kejara@jpj.gov.my.

 Jabatan Pengangkutan Jalan berharap dengan terlaksananya inisiatif baru ini dapat mendidik pengguna jalan raya dalam mematuhi peraturan seterusnya menyumbang kepada persekitaran jalan raya yang selamat.

Ibu Pejabat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Malaysia.





HLY Marine kini pengedar ekslusif enjin sangkut Yamaha

 Usui Hirofumi dan Dato' Jim Khor

HLY Marine Sdn Bhd hari ini telah menandatangani perjanjian dengan Yamaha Motor Co., Ltd  di ibu pejabat YMC di Iwata, Jepun, setelah HLY Marine dilantik secara eksklusif sebagai penjual semula dan pengedar produk enjin sangkut Yamaha Marine di Semenanjung Malaysia.

Dengan termeterainya perjanjian ini, HLY Marine yang merupakan anak syarikat milik penuh Hong Leong Industries Berhad, akan menawarkan dan melaksanakan konsep 3S yang merangkumi jualan, perkhidmatan dan alat ganti produk enjin sangkut Yamaha Marine bagi keseluruhan barisan enjin sangkutnya yang ringan, bertugas berat, cekap dan mudah alih.

"Sememangnya, kami teruja dengan pelantikan ini dan mempunyai penuh keyakinan dalam perkongsian ini. HLY Marine mempunyai kepakaran yang diperlukan, dan juga berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan tahap kualiti dan perkhidmatan yang akan diperlukan oleh pelanggan," kata Pengarah HLY Marine, Dato' Jim Khor. "Pelantikan ini juga mengesahkan rekod prestasi kami yang kukuh dengan YMC," tambahnya.

Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar Kanan, Operasi Perniagaan YMC Marine, En Usui Hirofumi, turut mengiktiraf hubungan kukuh tersebut. "Kami berharap untuk bekerjasama rapat dan yakin dengan HLY Marine sebagai rakan pengedar eksklusif kami, ke arah menjalin rangkaian pengedaran baharu yang lebih kuat di Semenanjung Malaysia," katanya.
Kiri ke kanan: En Chow Khee Thiam, Dato' Jim Khor, En Usui Hirofumi dan En Ando Satoshi.

HLY Marine akan beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor, dan akan menempatkan pusat servis utama mereka yang dilengkapkan oleh YMC.

Pada majlis tersebut, HLY Marine diwakili oleh pengarahnya Dato' Jim Khor, dan Pengurus Besarnya En Chow Khee Thiam, manakala YMC pula diwakili oleh En Usui Hirofumi dan Pengurus Besar, Bahagian Pemasaran Satu, Operasi Perniagaan Marine, En Ando Satoshi.