Monster dengan ABS



SATU lagi model yang menarik telah ditambah kepada barisan penawaran motosikal Ducati di Malaysia. Next Bike Sdn Bhd, pengedar tunggal ikon Itali itu telah melancarkan motosikal Monster terbaru mereka, Ducati Monster 795 ABS, pada 7 Februari 2013 lepas. Hadir pada pelancaran itu ialah Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza Group of Companies; En Nik Danial Nik Mahmood, Naib Presiden NAZA Bahagian Dua Roda ; Encik Juan Chow Wee, Pengurus Besar Next Bike Sdn Bhd; Encik Paolo Ciabatti, Pengarah Projek Ducati MotoGP ; Encik Vitioriano Guareschi, Pengurus Ducati MotoGP Team serta penunggang MotoGP Ducati iaitu Nicky Hayden dan Andrea Dovizioso. Pelancaran model baru telah dijalankan di paddock Ducati selepas selesainya Ujian Musim Sejuk MotoGP di Sepang.

Ducati berhasrat untuk terus merangsang senario motosikal dunia terutamanya Malaysia dengan pengenalan model baru dan juga penubuhan rangkaian baru bagi membolehkan mereka untuk lebih mendekati pelanggan dan meningkatkan program gaya hidup tempatan dan antarabangsa, yang akan memastikan keistimewaan pemilikan yang unik.

"Tahun ini kami menjangkakan Ducati akan mampu meningkatkan jumlah jualan dan mengekalkan bahagian pasaran sebagai motosikal jenama premium yang popular," kata Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza Group of Companies. "Ducati Malaysia pastinya siap-siaga untuk berkhidmat kepada para Ducatisti Malaysia dalam tahun 2013. Dengan kemenangan baru-baru ini untuk anugerah 'Pembukaan Ruang Pameran Terbaik 2012 dan pelancaran Monster 795 ABS, kita berada pada permulaan yang hebat!"

Encik Pierfrancesco Scalzo, Pengarah Jualan Ducati Asia Pasifik menambah bahawa Ducati akan terus menawarkan pelbagai motosikal premium, dan belum ada rancangan dalam masa terdekat untuk memulakan pengeluaran model motosikal yang lebih kecil dalam masa terdekat ini, tidak seperti pesaing mereka.
Penambahbaikan Teknologi akan terus ditekankan oleh Ducati untuk mengekalkan kepimpinan pasaran mereka dalam menawarkan motosikal yang hebat kepada orang ramai.

Majlis pelancaran itu juga dihadiri oleh ahli-ahli Ducati Club Malaysia yang telah berkesempatan untuk bertemu dengan penunggang MotoGP Ducati bagi sesi autograf eksklusif. Monster 795 ABS ini ditawarkan pada harga RM 66,888.00.