Konvoi kesedaran Hari Aids Sedunia


Hari pertama bulan Disember saban tahun adalah bilamana Hari AIDS Sedunia disambut untuk mewujudkan kesedaran mengenai penyakit tersebut. Bermula pada tahun 2011, sambutan Hari AIDS Dunia di seluruh dunia membawa tema "Mencapai Sifar bagi Jangkitan HIV Baru, Sifar Diskriminasi dan Sifar Kematian Berkaitan AIDS".


Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran awam, Jabatan Kesihatan Selangor telah menganjurkan konvoi motosikal dan kereta pada 2 Disember 2012 lepas. Menyasarkan generasi muda, konvoi yang terdiri dari 70 motosikal yang disertai gerombolan kereta dan kenderaan rasmi Jabatan Kesihatan telah berlepas dari Klinik Kesihatan Botanic di Bukit Tinggi, Kelang.

Konvoi ini diketuai oleh Pegawai Perubatan Daerah Kuala Langat Dr Ismail Mohd Lasa, menuju ke Pasaran Sehari di Stadium Shah Alam untuk mengedarkan risalah mengenai kesedaran AIDS. Kumpulan ini kemudiannya meneruskan perjalanan ke Masjid Kota Damansara untuk majlis pelancaran sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat Negeri Selangor yang telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Selangor Dr Hj Zainuddin Abd Wahab.


Kemuncak sambutan Hari Aids Sedunia 2012 Selangor ini akan diadakan di Dataran Morib pada 15-16 Disember 2012. Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang hujung minggu tersebut seperti pertunjukkan motosikal dan kereta, serta gerai pameran oleh pelbagai organisasi dan jabatan-jabatan kerajaan. Kehadiran semua adalah dialu-alukan.

No comments: