Can-Am Spyder pemasangan tempatan






USF-Hicom lancar Can-Am Spyder pemasangan tempatan

MOTOSIKAL unik BRP Can-Am Spyder kini dipasang dalam negara oleh pengedar barunya iaitu USF-Hicom (Malaysia) Sdn Bhd. Pemasangan tempatan ini berikutan kejayaan DRB-Hicom mendapat hak pengedaran motosikal beroda tiga tersebut, yang dikeluarkan oleh Bombardier Recreational Products (BRP). Usaha tersebut dilakukan agar motosikal tesebut mampu ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik.

Motosikal Can-Am SPyder ini telah terjual di lebih 58 buah negara semenjak mula diperkenalkan lima tahun lepas. Model terkininya merupakan model Can-Am Spyder Roadster yang telah dipertingkatkan dari segi prestasi dan ciri kemewahan berbanding model terdahulu. Motosikal Spyder ini unik dari segi tapak rekabentuknya yang berbentuk 'Y' dengan dua roda di hadapan dan satu di belakang. Dua model Spyder ini ditawarkan untuk pengguna Malaysia iaitu model Roadster Sports bagi mereka yang menginginkan gaya tunggangan aktif dan sporti, manakala Roadster Touring pula lebih disasarkan bagi perjalanan kembara jarak jauh.

Kedua dua nya dikuasai enjin Rotax 998cc dengan kekotak gear lima kelajuan. Teknologi Bosch turut digunakan untuk kawalan stabiliti kenderaan nya (Bosch Vehicle Stability System) yang mengabungkan kawalan brek ABS, kawalan pacuan TCSdan juga kawalan stabiliti, di samping stering kuasa dinamik (Dynamic Power Steering DPS).

USF-Hicom menyasarkan jualan sebanyak 15 hingga 18 unit an-Am Spyder sebulan bagi tahun 2012 dan setakat ini telah menerima 50 tempahan pra-pelancaran. Ia boleh didapati pada harga RM103,800.00 hingga RM129,190.00 bagi model RS, manakala model RT pula ditawarkan pada harga RM134,800.00 hingga RM159,290.00 dan didatangkan dengan jaminan dua tahun. Majlis pelancaran BRP Can-Am Spyder ini telah dilangsungkan oleh Menteri Pertahaman Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir di majlis tersebut merupakan Pengerusi DRB Hicom Datuk Syed Mohd Aidid Syed Murtaza, Pengarah Urusan DRB-Hicom Datuk Mohd Khamil Jamil dan juga Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar.
-Salihin Abd Rahim-