Land Rover Experience Cameron Highlands 20 Nov 08

Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd (Auto ConneXion), anak syarikat milik penuh Sime Darby Motor Division yang sekarang menguruskan jenama Ford, Land Rover dan Alfa Romeo, yakin bahawa kejayaannya mendapatkan harga yang kompetitif bagi rangkaian kenderaan sport utiliti (SUV) mewah Land Rover dan keupayaan untuk menyediakan liputan luas di seluruh negara akan mencetuskan kebangkitan semula lambang ikonik itu di Malaysia.


Setakat ini, 25 tempahan yang disahkan telah diterima selepas Auto ConneXion menganjurkan acara uji pandu Freelander 2 dan versi terkini Discovery 3, Range Rover Sport dan Range Rover yang telah sekian lama dinantikan. Freelander 2 TD4 yang dilengkapi enjin diesel turbo 160 bhp 2.2 liter dengan transmisi automatik enam kelajuan berharga RM271,388 manakala harga bagi Discovery 3 TDV6 dengan enjin diesel turbo 189 bhp 2.7 liter ialah RM382,388.


Auto ConneXion menawarkan Range Rover Sport yang berkuasa dan bergaya dalam dua versi. Versi diesel turbo V6 2.7 liter dijual pada harga RM522,388 dan ke atas manakala versi lebih berkuasa yang dilengkapi enjin petrol V8 4.4 liter berharga RM565,888.


Sebagai lambang keunggulan jenama, Range Rover yang dipasang dengan enjin diesel TDV8 3.6 liter boleh didapati pada harga daripada RM623,888. Semua harga adalah harga atas jalan, tidak termasuk insurans.



Ketibaan model baru pikap Defender 110 PUMA (RM146,888) dan crew cab (RM178,888) bermakna Auto ConneXion kini menawarkan rangkaian lengkap kenderaan terbaru Land Rover di pasaran Malaysia.