Modenas Kriss 120

Modenas telah melancarkan sebuah lagi model moped terbarunya iaitu Kriss 120. Motosikal empat lejang ini merupakan hasil rekabentuk anak Malaysia sepenuhnya dan diasaskan daripada model terdahulu iaitu Kriss 110. Enjin baru ini menjanjikan lebih kuasa dan ujian yang menyeluruh telah dijalankan kepada model ini untuk memastikan ketahanan enjin dan juga komponen keseluruhan motosikal ini. Di antara ujian yang telah dilalui termasuklah ujian ketahanan jalanraya, melalui simulasi banjir sedalam 0.4m, ujian di jalan kampung dan ladang, ketahanan brek dan ujian penggunaan minyak. Ujian siraman air berkelajuan tinggi juga telah dijalankan pada pusingan enjin sebanyak 8,000 rpm unuk memastikan enjin mampu berfungsi baik dan komponen lampu keseluruhan adalah kalis air dan tidak diresapi. Sebagai kesinambungan kepada siri ujian ini, Modenas telah menjemput pihak media untuk menjalani sesi uian pengendalian model Kriss 120 ini bersama Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, di litar Pasir Gudang Johor, pada 1 Nov 07 yang lepas. Setelah taklimat teknikal dan juga litar, para media jemputan diberi peluang untuk menguji 10 buah Kriss 120 yang disediakan. Motosikal yang disediakan adalah dengan spesifikasi standard seperti yang ditawarkan di pasaran. Para peserta yang terdiri dari pihak media bebas untuk memilih dan menukar mana mana motosikal yang disediakan bagi menilai motosikal ini secara lebih adil dengan cara homogolisasi ataupun secara purata dan tidak terbatas kepada sesebuah motosikal sahaja untuk memberikan penilaian yang lebih sekata dan tidak terbatas kepada kegemaran atau kehendak individu sahaja. Secara keseluruhannya, modal Kriss 120 ini didapati mampu memberikan tunggangan yang terkawal dan selesa, dengan respons brek yang mencukupi untuk kegunaan di jalanraya. Bagi sebuah motosikal yang berspesifikasi standard, ianya di dapati mampu memenuhi kehendak penunggangan agresif di litar Pasir Gudang. Penunggang yang bersaiz biasa sekitar 60kg akan berpuas hati dengan daya pecutan dan juga pengendalian motosikal ini di selekoh. Bahkan bagi penunggang yang lebih besar saiz pinggangnya juga tidak menghadapi masalah kawalan motosikal ini di selekoh, cuma mungkin agak kecewa di laluan lurus kerana di potong oleh penunggang lain yang lebih ringan! Kawalan jentera pada ujian brek kecemasan juga adalah terkawal, dan kedudukan suis dan kawalan lain seperti lampu dan hon adalah baik dan mudah di capai. Grafiknya juga adalah menarik dan terkini. Prestasi enjin Modenas MACS SOHC ini juga memberangsangkan dan disesuaikan dengan kekotak gear empat kelajuan kawalan rotary yang sesuai dengan kehendak penunggangan yang pelbagai. Sememangnya ini merupakan satu lagi model yang baik buat pilihan pengguna dan penggemar motosikal di Malaysia.

1 comment:

Unknown said...

Congrats bro for being a blogger!
Keep up the good work!