Kawasaki GTR 1400


Lazimnya kalau kita memperkatakan tentang motosikal sports-touring, kelajuan terpaksa diimbangkan (atau dikorbankan....) untuk mendapat tunggangan yang selesa. Tetapi dengan Kawasaki GTR 1400, keseimbangan yang diinginkan penunggang telah dapat dicapai dengan menggabungkan kedua dua keselesaan dan kelajuan mutakhir. Emjin DOHC bersesaran 1352cc nya dilengkapi sistem Variable Valve Timing dan mampu menjana 155 kuasa kuda, cukup untuk mengekalkan keseronokan menunggang sebuah superbike Kawasaki dengan ciri roket yang lazim apabila melepasi 4,000rpm, dan mampu mencecah kelajuan tiga angka berkepala 2 dengan mudah melalui kekotak gear enam kelajuan. Berat 308kg keseluruhan tidak seberapa terasa dengan posisi tunggangan yang selesa seperti motosikal touring yang kebiasaan, lengkap dengan penghadang angin atau visor yang boleh dilaraskan dengan kuasa elektrik. Paparan meternya juga menarik dengan paparan purata penggunaan minyak, tekanan angin tayar, jarak berbaki perjalanan dengan bahanapi yang ada dalam tangki, selain paparan odometer yang biasa. Kuasa pemberhentiannya dihalusi dengan penggunaan sistem ABS yang memberikan keyakinan tunggangan, dan pengendalian jentera yang agak besar ini tidak terasa kekok walaupun melalui kesibukan ibukota. Suspensi bolehlarasnya membuatkan tunggangan terasa seperti di jalan baru yang amat rata dan selesa. Rupabentuk menariknya menjadi perhatian setiapkali berhenti di persimpangan, dan agak retro walaupun dilengkapi pannier atau kotak sisi yang mampu menyimpan helmet penuh. Sistem kuncinya juga menggunakan sistem fob sensor yang di bawa dalam kocek, dan kunci utama yang dikekalkan di motosikal tidak akan dapat digunakan apabila penunggang melangkah jauh dari motosikal. Jentera ini 60mm lebih panjang dari saudaranya iaitu ZX14 dan lebih tinggi harganya, namun berbaloi dengan perbezaan penunggangan yang agak ketara dari segi keselesaan. Waktu bukan lagi ukuran, jarak bukan lagi halangan, ketahanan bukan lagi satu masalah. Nikmati tunggangan semampunya.

No comments: